19 October 2006

Perjuangan Belum Selesai


"dah puas pelihara baru hantar balik. Selagi ada hayat saya tak akan ucap terima kasih." Begitulah bunyi ucapan TG Dato' Nik ABdul Aziz apabila ditanya oleh wartawan di rumahnya semalam selepas lima tahun anaknya ditahan di dalam penjara tanpa pembicaraan.

"Anak-anak dan isteri yang masih menunggu kepulangan orang tersayang janganlah berputus asa dan kecewa apabila suami dan ayah mereka tidak termasuk dalam 11 orang dibebaskan semalam, teruskan desakan menuntut keadilan." Demikian pula kenyataan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh apabila dihubungi wartawan untuk mengulas pembebasan 11 tahanan ISA yang didakwa terbabit dalam Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiyyah (JI).

“Tempoh pembebasan mereka belum ditetapkan lagi sehingga kerajaan berpuas hati dengan tingkah laku mereka di bawah pengawasan polis."Kata Timb. Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum.

Inilah antara reaksi-reaksi dan komen spontan berikutan pembebasan 11 tahanan ISA tersebut. Apa-apa pun hal yang berlaku episod kezaliman akta zalim ISA ini tidak mudah untuk dilupakan. Rakyat tidak mudah untuk dikaburi oleh sedikit tindakan kerajaan yang penuh dengan seribu satu plot drama bersirinya itu. Perjuangan perlu diteruskan.

sumber : Berita Harian Online

13 October 2006

Sebelum Terlambat

Debar hatiku semakin bergelora. Aku tak tahu mengapa. Semakin hari semakin debar hati ini. Oh, dunia sememangnya begitu. Tak pernah adil. Mengapa aku yang menjadi mangsa? Ya, Allah! Jauhilah aku dari fitnah dunia.Aku tak mampu untuk menanggungnya. Kau peliharalah hati ini dari segala sifat tercela. Kau hidupkanlah hati ini dengan kalimah zikir Mu. Aku begitu gelisah dan derita saat ini. Aku tak tahu lagi yang mana jalan hidayah Mu. Aku keliru ya Allah!

Ah, sungguh haus rasanya. mencekik-cekik tekakku. Mengapa rasa mencucuk-cucuk tekakku ini ya Allah? Berduri dan berbulu rasanya. Apa yang telah aku telan? Pedihnya tak terucap kata-kata. Tak pernahku rasakan saat seperti ini. Aku makin derita saat ini. Ah, panas! Panaas!

Mataku kini seakan berbalam-balam. Berpinar dan kelabu. Aku tak kenal lagi antara warna hitam dan putih. Oh, sungguh seksa rasanya. Betulkah apa yang aku lihat ini? Kenapa warna hitam yang menyelubungi? Kemana hilangnya warna putih? mana perginya pancaran terik mentari? Aku tak nampak apa-apa sekarang ya Allah!Di mana aku sekarang ya Allah? di manaaa???

Ucaplah Laa Ilaaha Illallah.... Ah, ah! Aku tidak tahuuuuu..

10 October 2006

taubatku kembali bertunas


Kembang lagi bunga-bunga asmara
tatkala rintik hujan kian menghujung
bukan kerana titisan yang berpanjangan
tapi kerana hidayah yang menjelang

daun-daun di rimbunan jua meluruh
warna dan seri jua melusuh
bukan kerana ribut yang merusuh
maghfirah merimbun meresahkan guruh

kini pohon kembali merendang
menongkah usia masa yang tua mendatang
mengharap redha kembali berpaut tenang
setelah lama dosa meredup malang

setelah lama maksiat dicantas
taubatku kini kembali bertunas..

03 October 2006

Percintaan di bulan Ramadhan

Sudah lebih seminggu umat Islam berpuasa. Pelbagai program telah diatur dan diadakan bagi menghidupkan bulan yang mulia ini. Semua pihak bertungkus lumus mengimarahkannya tidak kira dari kerajaan,media massa,agensi-agensi tertentu malahan dari kalangan individu perseorangan tidak ketinggalan mengambil peluang. Penasalju menyambut baik segala program yang dianjurkan oleh sebilangan pihak tersebut. Namun begitu, ada beberapa persoalan yang penasalju ingin utarakan;apakah segala program tersebut menepati syariat Islam?adakah program tersebut telah meningkatkan amalan seseorang dalam bulan yang mulia ini?adakah wujud istilah 'madrasah ramadhan' pada program-program tersebut?adakah bulan ramadhan yang dimuliakan atau pun sambutan hari raya yang lebih diutamakan?....

Ramadhan sebagai satu madrasah

Apabila disebut sebagai madrasah, maka terbayanglah di fikiran kita tentang suasana belajar semasa di sekolah dahulu yang diatur perjalanan hidup kita oleh ibu bapa tatkala di rumah dan diatur oleh guru-guru ketika di sekolah.dari deringan loceng pertama masuk kelas hingga deringan terakhir tatkala selesainya waktu pembelajaran. Pelbagai perkara yang dipelajari sebagai seorang budak kecil yang baru ingin mengenal erti hidup yang diselang seli antara tangisan air mata dan gelak ketawa keriangan. Ya, segalanya adalah satu latihan dan pengajaran. Sungguh indah waktu itu.

Jika itu yang dirasai sewaktu di zaman persekolahan, maka hal yang sama yang akan kita rasai dalam Madrasah Ramadhan ini. Dari hari pertama kita berpuasa hingga ke hari terakhir di bulan Ramadhan ini akan kita persiapkan jadual harian kita dengan pelbagai aktiviti hidup yang boleh meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita kepada kekasih yang Agung.Moga segala amalan kita ini lebih menambahkan lagi rasa kecintaan terhadap kekasih awal dan akhir ini dan tenggelam dalam dunia asyik kerinduan yang sekian lama kita dambakan.

lafaz Cinta Sejati

Jika dulu amat sukar untuk menatap surat cinta dari Allah yang bernama Al-Quran, maka kini ringan-ringankan tangan untuk menyentuh dan menghayati lafaz cinta Allah itu kepada kita. sudah sekian lama kekasih abadi mengutus surat cinta kepada kita,apakah tidak sudi walau sesaat untuk merenunginya.Alangkah kecewanya dan terlerainya perasaan hati si kekasih pujaan. Cubalah hayati bait-bait kata cinta yang syahdu itu. Tak tersentuhkah hati kita yang gersang ini? Ungkaplah kata cinta kita kepadanya hanya dengan melayan bicara kata cintanya itu.Sebutlah satu persatu ayat-ayat cintanya itu agar meresap rasa cinta kita kepadanya.Oh, alangkah nikmatnya satu percintaan..

Demi Cinta

Andai dulu terasa berat untuk menghulurkan sedikit harta dari genggaman tangan yang polos ini. kendurkanlah sedikit urat pergelangan tangan yang liat itu dan bukakan sedikit jari jemari untuk menikmati rasa sayang sesama makhluk ciptaan Allah. Biar terkejap dalam hati erti ketulusan dan keikhlasan yang hakiki. biarlah kasih sayang kekasih idaman itu berpanjangan. Apakah mungkin kita akan selamanya akan dicintai andai kita hanya mengungkap rasa cinta tapi tanpa bukti perasaan cinta kita itu. apabila kita buktikan rasa cinta kita itu, lautan api neraka mampu untuk kita rentangi kelak, bergunung dan berhamparan padang mahsyar pun kita mampu hadapi. Bahagianya orang yang bercinta..

Nikmat Percandaan

Jika dulu amat jarang kita bercanda asmara dengan kekasih sejati walhal telah bertemu lima kali sehari semalam, bahkan kini ada pula siri-siri pertemuan yang lebih syahdu dan mengasyikkan dari itu. Kini ada pertemuan selepas Isyak yang dinamakan pertemuan teraweh, tidak cukup dengan itu ada pula pertemuan yang lebih romantik di waktu malam dikala semua makhluk lain tak mungkin merasainya.Apa bentuk percandaan pun kita boleh nikmati bersama kekasih pujaan hati ini. Tak cukup lagikah pertemuan asyik masyuk ini? Ah, alangkah berahinya nikmat ini..

Selamanya berbulan madu

Apakah ungkapan ini tak mampu untuk kita gapai dek berahi nafsu? Jika itu dikatakan satu kenikmatan nafsu. Ataupun dirasai oleh kecerdikan akal? Andai itu boleh ditakkul oleh akal. Waima dijiwai oleh perasaan yang bergelora? Itupun kalau boleh dihalusi dan ditulusi jiwa si pencinta. Tiada nikmat yang lebih besar daripada menatap wajah kekasih yang Agung. Apatah lagi dapat berbulan madu dengannya buat selamanya ..