12 December 2007

Hadiah Menurut Islam


Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian ‘athiyyah dan seumpamanya. Amalan ini boleh memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu, seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim. Bahkan ianya dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan-kelebihan dan fadilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.

Rasulullah saw juga sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Nabi saw suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu Baginda bersembahyang dua rakaat. Dan Baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian Baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya (untuk disedekahkan)”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Baginda lagi ketika di atas mimbar yang bermaksud: “Dan Baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

PENGERTIAN HIBAH

Dari segi bahasa: pemberian atau kurniaan

Sebagaimana firman Allah taala:

الحمد لله الّذى وهب لى على الكبر اسمعيل واسحق انّ ربّى لسميعالدّعاء.

Maksudnya: “segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepadaku pada usia tuaku Ismail dan Ishak, sesungguhnya tuhanku amat mendengar doa”. (surah Ibrahim14 : 39)

Dari segi istilah: memberi milik tanpa sebarang gantian.

Daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi Muhammad saw bersabda:

يا نساْ المسلمات لا تحقرت جارة لجارتها ولو فرسن شاة

Maksudnya: “wahai wanita-wanita Islam, janganlah seseorang jiran wanita menghina terhadap jiran wanitanya walaupun dengan memberi kaki kambing”.(Al-Mundziri, 2004)

Hadis ini menggalakkan supaya memberi sesuatu antara satu sama lain walaupun sedikit, terutama antara jiran sesama jirannya. Contoh memberi kaki kambing adalah anggaran yang sedikit.

Daripada cUrwah daripada cAishah r.a bahawasanya ia berkata kepada cUrwah:

يا ابن أختي ؛ ان كنا لننظر الى الهلال ؛ ثلاثة أهلة في شهرين ؛ وما أوقدت في أبيات رسول الله (ص) نار. فقلت : يا خالة ؛ ما كان يعيشكم ؟ قالت الاسودان : التمر والماء ؛ الا انه قد كان لرسول الله (ص) جيران من الانصار ؛ كانت لهم منائح ؛ وكانوا يمنجون رسول الله (ص) من ألبا نها قيسفينا.

Maksudnya: “wahai anak saudaraku, sesungguhnya kami melihat kepada anak bulan kemudian satu anak bulan sehingga tiga anak bulan dalam masa dua bulan dan tidak di nyalakan api dalam rumah-rumah Rasulullah. Aku berkata: wahai ibu saudaraku! Apakah yang menghidupkan kamu? Ia menjawab: cAswadan iaitu tamar dan air. Melainkan Rasulullah saw ada jiran daripada kalangan yang mempunyai unta atau kambing yang mempunyai susu dan mereka memberi susu-susu mereka kepada Rasulullah saw lalu baginda memberi minum kepada kami”. (Al-Mundziri, 2004)

Hadis ini menunjukkan Rasulullah saw pernah menerima pemberian daripada para sahabatnya. Pemberian seperti inilah yang disebut sebagai hibah.


PERBEZAAN ANTARA SEDEKAH, HADIAH DAN ‘ATHIYYAH

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 26/324)

Sementara yang dikatakan sebagai ‘athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan ‘athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (Al-Tahzib: 4/509)

Di dalam istilah syara‘ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.


HUKUM MEMBERI HIBAH

Menurut ijmak ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan, dan belas kasihan. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur‘an, (Mughni Al-Muhtaj: 2/53)

sebagaimana firman Allah:

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”. (Surah Al-Maidah: 2)


RUKUN PEMBERIAN

Menurut ulama Syafi‘eyah, pemberian itu mempunyai beberapa rukun iaitu pemberi, penerima, barang atau benda (sesuatu) yang diberi dan lafaz pemberian (ijab dan qabul). Terdapat beberapa syarat tertentu bagi orang yang memberi, orang yang menerima dan barang atau benda (sesuatu) yang diberikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

(i) Syarat bagi pemberi hendaklah orang itu baligh, berakal, tidak ditegah membelanjakan dan mempergunakan hartanya, dia memberian dengan kehendaknya sendiri dan memiliki sesuatu yang akan diberikan. Maka tidak sah pemberian daripada seorang kanak-kanak, orang gila, muflis, orang yang dipaksa dan daripada orang yang bukan pemilik sesuatu yang diberikan itu.

(ii) Syarat bagi penerima pula ialah hendaklah dia boleh memiliki sesuatu yang diberikan kepadanya. Maka kanak-kanak kecil adalah sah menjadi penerima, tetapi yang menerima bagi pihak dirinya ialah bapa atau penjaganya. Oleh itu tidak sah suatu pemberian jika penerimanya itu masih janin (anak yang masih di dalam kandungan ibunya) atau penerimanya adalah haiwan kerana keduanya tidak boleh memiliki sesuatu.

(iii) Syarat bagi sesuatu yang diberikan itu hendaklah suci, bukan darah, bangkai, arak dan seumpamanya. Hendaklah sesuatu yang diberikan itu boleh memberi manfaat dan boleh diserahkan (bukan barang kepunyaan yang kena rampas). Barang pemberian itu hendaklah ada dalam milik dan kekuasaan pemberi, dan barang yang akan diberikan itu hendaklah diketahui oleh pemberi dan penerimanya.

(iv) Lafaz pemberian pula ialah setiap perkataan atau ucapan yang membawa erti memberi atau menerima, sama ada berupa perkataan atau perbuatan, umpamanya si pemberi berkata: “Aku berikan buku ini kepadamu”, lalu si penerima berkata: “Aku terima pemberianmu”.

Menurut mazhab Syafi‘e perkara hibah, pemberian (‘athiyyah) tidak sah melainkan dengan ijab dan kabul. Ini kerana akad pemilikan itu sendiri memerlukan adanya ijab dan kabul seperti akad nikah. Walau bagaimanapun menurut Ibnu ‘Uqail (ulama mazhab Hanbali) muamalah cara mu‘atah (meletakkan harga barang dan mengambil (membeli) barang itu tanpa ijab dan kabul) dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijab dan kabul sekalipun tanpa lafaz adalah memadai dan mencukupi. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah:

Maksudnya: “”Menurut qaul Al-Shahih Muamalah secara Mu‘atah dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijab dan kabul itu adalah memadai atau mencukupi, tidak memerlukan lafaz. Inilah qaul (pendapat) yang dipilih oleh Ibnu ‘Uqail, kerana Nabi saw pernah memberi hadiah dan diberi hadiah, dan Baginda pernah memberi dan diberi. Baginda juga membahagikan dan mengagihkan sedekah (zakat) dan memerintahkan para sacie (pekerja atau petugas dalam perkara zakat) supaya membahagi dan mengagih-agihkannya. Baginda ada menerima zakat, para sahabat juga berbuat demikian. Tidak ada riwayat daripada mereka tentang wajib ijab dan kabul. Nabi tidak pernah memerintahkan sahabat Baginda dan mengajarkannya tentang wajib ijab dan kabul. Jika ini (ijab dan kabul) merupakan syarat, tentu ada riwayat secara periwayatan yang masyhur daripada mereka. Ketika Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) menunggang unta kepunyaan Umar, lalu Baginda bersabda kepada Umar: “Juallah unta itu kepadaku? Umar menjawab: “Dia (unta itu) untukmu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: “Dia (unta itu) untuk mu wahai Abdullah bin Umar. Buatlah dengannya sebagaimana yang engkau suka”. Tidak ada riwayat bahawa Nabi mengucapkan lafaz kabul daripada Umar, demikian juga tidak ada lafaz kabul daripada Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) yang dia menerima daripada Nabi saw. Kalaulah ini (ijab dan kabul) menjadi syarat sudah pasti Nabi akan melakukannya dan Baginda akan mengajarkannya kepada Ibnu Umar, di samping itu Nabi tidak akan memerintahkannya (Abdullah bin Umar) untuk membuat apa sahaja terhadap unta itu sebelum ada lafaz kabul (penerimanya) oleh Ibnu Umar. (Al-Mughni li Ibnu Qudamah: 6/238)

Oleh yang demikian demi menghormati pendapat semua ulama fiqh, jika hendak menyumbangkan atau memberikan sesuatu kepada seseorang hendaklah ijab dan kabul itu dilakukan dengan ada ucapan (lafaz) memberi dan ucapan menerima terhadap barang yang disumbangkan atau diberikan itu.

PELBAGAI BENTUK PEMBERIAN

Pada dasarnya sesuatu pemberian harus diterima melainkan pemberian yang haram atau berasal daripada yang haram atau tujuan pemberian itu berunsur rasuah. Oleh kerana itu pemberian itu ada berbagai bentuk;

i.Pemberian yang halal bagi pemberi dan penerima.

ii.Pemberian yang haram bagi kedua-dua pihak.

iii.Pemberian yang halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.

Pemberian yang halal bagi penerima ialah pemberian seseorang kepada seseorang yang lain seperti kepada isteri, anak, sahabat, kawan karib dan lain-lain dengan tujuan supaya tercipta perasaan kasih sayang, mahabbah, keakraban dan silaturrahim sesama mereka. Perkara inilah yang sangat digalakkan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah saw di atas. (Maksudnya: “Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu saling cinta mencintai antara sesama kamu”.)

Manakala pemberian haram bagi si pemberi dan penerima ialah apabila pemberian yang diberikan kepada seseorang itu dengan tujuan atau harapan hajatnya akan tercapai, dipenuhi dan diluluskan. Bentuk pemberian seumpama ini disebut juga sebagai rasuah. Dalam hal ini Rasulullah saw memberi amaran, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan) kepada saudaranya, kemudian dia mendapat hadiah diatas pertolongan tersebut, lalu dia menerimanya, maka dia (si penerima hadiah) telah mendatangi satu pintu besar dari pintu-pintu riba”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Ibnu Taimiyah juga ada menyatakan:

Maksudnya: “Sesiapa yang memberikan hadiah kepada wali al-amr untuk melakukan perbuatan yang tidak diharuskan (haram) maka hadiah tersebut haram bagi pemberi dan penerima. Inilah hadiah berbentuk rasuah yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya”. (Fatwa: 5/244)


HIBAH KEPADA ANAK

Daripada cAmar berkata:

عن النعمان بن بشير ؛ رضي الله عنهما قال : أعطلني أبي عطية ؛ فقالت عمرة بنت رواحة : لا ارضى حتى تشهد رسول الله (ص) ؛ فأتى رسول الله (ص) فقال : اني أعطيت ابني من عمرة بنت رواحة عطية ؛ فأمرتني أن أشهدك يا رسول الله ؛ قال : أعطيت سائر ولدك مثل هذا ؟ . قال : لا ؛ قال : فأتقوا الله واعدلوا بين أولادكم . قال : فرجع فرد عطيته .

Maksudnya: al-Nucman bin Basir r.a, ketika ia berada diatas mimbar berkata: bapaku telah memberi kepadaku satu pemberian, lalu cUmrah binti Rawahah berkata: aku tidak senang sehingga engkau menjadikan Rasulullh saw sebagai saksi, lalu ia (bapaku) datang kepada Rasulullah saw dan berkata: Sesungguhnya aku telah memberi kepada anakku daripada cUmrah binti Rawahah satu pemberian. Lalu ia menyuruh aku menjadikan engkau sebagai saksi wahai Rasulullah saw. Rasulullah saw bersabda: apakah engkau memberi kepada semua anak engkau seumpama itu? Bapaku menjawab: tidak. Rasulullah saw bersabda: takutlah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berlaku adil antara anak-anak kamu. Al-Nucman berkata: lalu bapaku balik dan mengambil kembali pemberian itu.

Hadis ini menunjukkan bahawa sah hibah bapa kepada anak, tetapi hendaklah dilakukan secara adil dan saksama antara mereka. Namun demikian harus bagi bapa mengambil semula hibahnya daripada anaknya.


HIBAH KEPADA YANG LAIN

Daripada Kuraib Hamba Ibn cAbbas:

أن ميمونة بنت الحرث رضي الله عنها أخبريته انها أعتقت وليدة ولم تستأذن النبىّ (ص) ، فلمّا كان يومها الذى يدور عليها فيه قالت : أشعرت يا رسول الله أنى أعتقت وليدتى ؟ قال : أو فعلت ؟ قالت : نعم . قال : أما انك لو أعطيتها أخوالك كان أعظم لأجرك.

Hadis ini menunjukkan seseorang harus memberi dan menghibahkan hartanya kepada siapa sahaja yang ia kehendaki. Namun begitu hibah yang dilakukan oleh seseorang kepada yang lain daripada anaknya sendiri adalah tidak harus dirujuk semula kerana hadis Rasulullah saw:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما : أنه شهد عند مروان لبني صهيب أنّ رسول الله (ص) أعطى صهيبا بيتين وحجرة ، فقض مروان بشهادته لهم.

Maksudnya: Diriwayatkan dari ‘Adullah bin ‘Umar r.a bahawa dia bersaksi kepada Marwan (berkaitan dengan anak-anak Shuhaib) bahawa Rasulullah saw telah memberikan kepada Shuhaib dua ekor kudadan sebuah kamar. Maka Marwan memberikan keputusan dengan kesaksiannya (Ibn ‘Umar).

Sebagai kesimpulan, hibah adalah salah satu cara untuk memberi dan menguniakan harta kepada seseorang. Sesiapa sahaja harus menghibahkan hartanya kepada siapa sahaja yang ia kehendaki. Bapa juga boleh menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya dengan saksama. Cara ini adalah agak terbaik bagi seseorang bapa untuk melihat dan melatih anak-anaknya menyelengarakan harta yang diberikan kepadanya.


HADIAH DISEBABKAN JAWATAN

Daripada Abu Hamid al-Sycidi r.a berkata:

"cUmar bin Abd cAziz menegaskan bahawa “hadiah yang berlaku pada zaman Rasulullah saw adalah hadiah dan hadiah yang berlaku pada hari ini adalah rasuah”

Sesetengah dikalangan ulama ada yang berpendapat bahawa hadiah biasanya mempunyai tiga tujuan:

· Untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang yang dihadiahkan. Hadiah untuk tujuan ini adalah dikira terbaik.

· Untuk mendapatkan harta benda daripada orang lain yang dihadiahkan. Hadiah untuk tujuan ini adalah harus kerana mengharapkan pertambahan harta dengan cara yang baik.

· Untuk mendapatkan pertolongan daripada orang yang dihadiahkan. Hadiah untuk tujuan ini mempunyai faktor yang menentukan kedudukan hukumnya iaitu arah tujuan pertolongan berkenaan. Sekiranya pertolongan yang dikehendaki itu maksiat maka hadiah berkenaan adalah tidak halal, sekiranya pertolongan yang dikehendaki itu taat maka hadiah berkenaan adalah sunat dan sekiranya pertolongan yang dikehendaki itu harus maka hadiah berkenaan adalah harus sekiranya orang yang dihadiahkan itu bukan hakim.(Ibn Hajar, 1989)

Ibn Bhatol berpendapat, hadiah kepada camil Pegawai) berlaku disebabkan kesyukuran terhadap kebaikannya, disebabkan kekaguman terhadapnya atau disebabkan ketamakan supaya ia mengugurkan kewajipan. Ibn Hajar menegaskan, sekiranya bentuk yang ketiga itu berlaku kepada camil maka ternyata tidak halal secara jazam (tepat tanpa sebarang andaian) dan bentuk-bentuk yang sebelumnya (yang pertama dan kedua) berada pada tahap boleh diperbincangkan.(Ibn Hajar, 1989)

Para pegawai dicegah daripada menerima sebarang hadiah daripada orang-orang yang berada dibawah tadbirannya. Sekiranya ketua negara tidak mengizinkan kepadanya untuk berbuat sedemikian. Manakala Ibn al-Munir pula berpendapat bahawa para pegawai harus menerima hadiah daripada mereka yang menghadiahkan kepadanya sebelum ini (sebelum pegawai berkenaan menjadi pegawai). Ibn Hajar bersetuju dengan pendapat ini dengan syarat hadiah berkenaan tidak melebihi kebiasaan.(Ibn Hajar, 1989)

Daripada kenyataan tersebut diatas tidak jauh sekiranya disimpulkan bahawa hadiah yang diberikan secara tertutup kepada mana-mana pegawai kerajaan disebabkan jawatan yang disandangnya dan pemberiannya mempunyai kepentingan untuk mendapat atau menghindarkan sesuatu dengan cara yang tidak betul adalah haram.


MENGAMBIL KEMBALI PEMBERIAN

Adapun mengambil kembali pemberian merupakan satu sifat buruk lagi keji. Sabda Rasulullah saw:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : قال النبي (ص) : العائد في هبته كالكلب؛ يقيء ثم يعود في قيئه

Maksudnya: “Orang yang mengambil balik pemberiannya, samalah seperti anjing yang muntah lalu ia menjilat balik muntahnya”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hal ini kita juga sering mendengar di kalangan masyarakat perumpamaan orang tua-tua iaitu “buruk siku”, perumpamaan ini bukan sahaja menggambarkan keji dan buruknya mengambil balik suatu pemberian tetapi realitinya perbuatan mengambil balik pemberian itu suatu tegahan agama.


HIBAH MERUPAKAN AMALAN YANG DIGALAKKAN

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:

تهادوا فان الهدية تﺫهب وعز الصدر

Maksudnya: hendaklah kamu saling hadiah menghadiahkan antara satu sama lain kerana sesungguhnya hadiah mampu memadamkan rasa marah yang terpendam didada (didalam hati).

Hadis ini menggalakkan supaya saling hadiah menghadiahkan antara satu sama lain kerana hadiah mampu memadamkan berbagai perasaan yang tidak baik yang terpendam didalam jiwa manusia.

Daripada Anas r.a:

ان النبي صلى الله عليه وسلم أتي بلحم تصدق به على بريره فقال: هو عليها صدقة وهو لنا هدية

Maksudnya: sesungguhnya Rasulullah saw dihadiahkan dengan daging yang disedekahkan kepada Barirah. Lalu baginda bersabda: ia adalah sedekah untuknya (Barirah) dan ia adalah hadiah kepada kami.(Ibn Hajar, 1989).

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw juga boleh menerima hadiah.

Daripada cAsma’ binti Abu Bakar r.a berkata:

قدمت علي امي و هي مشركة ؛ في عهد رسول الله (ص) ؛ فاستفتيت رسول الله (ص) ؛ قلت : ان أمي قدمت و هي راغبة ؛ افا صل أمي ؟ قال : نعم ؛ صلي أ مك.

Maksudnya: sesungguhnya ibuku datang kepadaku dan ia sebagai seorang musyrik pada zaman Rasulullah saw. Lalu aku meminta petua daripada Rasulullah saw dengan kata: sesungguhnya ibuku datang (kepadaku) dan ia berhajat kepada sesuatu, apakah boleh aku menghubungi ibuku? Rasulullah saw bersabda: hubungilah ibu engkau.(Ibn Hajar, 1989)

Hadis ini menunjukkan harus bagi orang Islam menghadiahkan sesuatu kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam seperti firman Allah taala:

لا ينهكم الله عن الّذين لم يقيلوكم فى الدّين ولم يخرجوكم مّن ديركم أن تبرّوهم وتقسطوااليهم انّ الله يحبّ المقسطين.

Sebagai kesimpulan, orang Islam harus menghadiahkan sesuatu kepada Rasulullah saw, kepada sesama orang Islam, sama ada yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau tidak, samada jiran atau tidak dan kepada orang kafir yang tidak menjadi musuh agama dan negara. (surah al-Mumtahanah 60: 8.)


PENUTUP

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah saw di dalam hadis-hadis Baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya:

Maksudnya: “Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan”.(Hadis riwayat Malik)

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadaNya. Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau riya’ adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil itu disebut melalui sabda Baginda:

يا نساْ المسلمات لا تحقرت جارة لجارتها ولو فرسن شة.

Maksudnya: “Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing”.(Hadis riwayat Muslim)


RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

Al-Bukhari. Sahih al-Bukhari.

Al-Falimbani, Syekh Abd Al-Samad. 2003. Sair al-Salikin ila cibadah rabbi al-calamin. Kedah: Khazanah Banjariah.

Ibn Hajar, Ahmad bin cAli bin Hajar. 1989. Fath al-Bari bi syarah sahih al-imam Abi cAbdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Al-Matbacah al-Salafiyah.

Al-Mundziri, Zaki al-Din Abd al-Azhim. 2004. Ringkasan Sahih al-Bukhari. Selangor: Crescent News sdn bhd.