15 September 2009

Berbeza itu satu kehebatan


Salam motivasi tauhid..
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya miliki dari sudut yang sedikit berbeza dari kebiasaan penyampaian para 'ustaz'. Ingatlah, berbeza bukan bermakna satu kekurangan pada seseorang tapi satu kelebihan. Bahkan ia akan menjadi satu kehebatan bagi pemilik 'majazi' tersebut.

Masih ingatkah kita pada satu hadis Rasulullah SAW yang berbunyi
" Sesungguhnya Islam itu ganjil dan beruntunglah orang-orang yang ganjil." Dalam kalimah yang digunakan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda itu adalah perkataan 'gharib'. Menurut makna harfiah ia bermaksud asing, dagang dan ganjil. Tidakkah perkataan itu seerti dengan perkataan berbeza,berlainan dan pelik yang sering kita gunakan dalam percakapan harian kita? Nah, apa yang kita risaukan lagi? kita telah mendapat pengiktirafan dari Baginda Rasulullah SAW.

Satu lagi sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi berbunyi
"Sesungguhnya Allah itu 'al-witr' dan ia suka kepada 'al-witr'". Tengok, Allah sendiri menyukai orang - orang yang ganjil. Tidakkah kita merasa hebat kerana berbeza daripada orang lain? Tidakkah kita merasakan ia juga satu pengiktirafan daripada Allah Taala. Jadi, kenapa kita mesti merasa rendah diri kerana berbeza dengan orang lain. tunjukkan pada orang lain bahawa kita berbeza kerana kita seorang yang hebat. Tunjukkan pada dunia bahawa kita berbeza kita permata yang sukar di cari di dunia ini.

Namun begitu, sahabat - sahabat..
Janganlah kita mencipta keganjilan dan kelainan yang tidak diiktiraf oleh syariat Allah Taala. Bertindak ganjillah dalam lingkaran syariat Allah. Itu formula penting yang mesti kita ketahui. Insyaallah, setiap yang kita perbuat akan ada hasilnya.Untuk akhirnya, renungkanlah satu firman Allah ini,
"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai penghiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya." ( al-Kahfi : 7)

13 September 2009

Aku hambaMu ya, Allah...


Dalam berjuta - juta umat Islam di dunia kini, mungkin aku kah yang paling rugi? Mungkinkah aku jua yang paling malang dalam meraikan kehadiran Ramadhan kini? Dosaku bagai tidak surut walaupun kau datang membawa kerahmatan dan keampunan dari Tuhan Yang Esa. Oh, celakanya hidupku andai hari -hari yang berlalu di bulan ini tanpa diisi dengan seribu satu amal dan kebajikan untuk Mu yang Allah. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Celakalah sesiapa yang melalui bulan Ramadhan tetapi dia tidak bertambah dekat dengan Allah." Ya, Allah! Layakkah aku mendiami syurgaMu andai aku bukan hamba yang dekat denganMu? Tapi Aku juga tidak mampu untuk menanggung segala seksa api neraka Mu ya, Allah. Ya, Allah! Berilah aku kesempatan masa yang masih berbaki ini untuk aku berbuat taat kepadaMu. Berilah aku sedikit lagi ruang untuk beramal soleh kepadaMu. Berikanlah aku walau sesaat ya Allah untuk berbuat ibadah kepadaMu. Janganlah engkau golongkan aku di kalangan orang-orang yang rugi ya, Allah.

Sungguh nikmat masa -masa yang berlalu di bulan ini jika dipenuhi amal ketaatan kepadaMu. Setiap detik kupenuhi dengan mengingati namaMu, mengagungi zatMu dan mendekatkan diriku padaMu. Sedetik waktu kubangun untuk bersahur di bulan ini, kuisinya dengan menunaikan solat tahajjud padaMu, mengalunkan KalamMu dan melafazakan kalimah kebesaranMu. Sebelum kaki melangkah ke rumahMu di awal subuh, ku tunaikan dulu tiga rakaat solat witir yang amat Kau sukai itu. Tatkala berada di rumahMu, kumulai dengan solat Wudhu' dan diikuti dengan solat sunat Tahyatul Masjid sebanyak dua rakaat. Sementara menunggu Bilal melaungkan kalimah agung di awal hari, aku memenuhi masa yang ada dengan melafazkan kata-kata kebesaran dan keagunganMu ya, Allah..'Astagfirullahal 'Azim, Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar selang seli meniti di bibirku ini melahirkan seribu satu makna ketaatanku padaMu. Lebih teruja jiwa ini bila kaki melangkah masuk menghadapMu ya, Allah pada permulaan hari itu di subuh hari. Antara takut dan harap kuserahkan jiwaku padaMu agar solatku itu diterima olehMu dengan baik. Janganlah engkau campakkannya kembali padaku seumpama kain buruk nilainya. Ampunkanlah apa yang kurang dari sisi hambaMu ini ya, Allah.

Ya, Allah! Menjalani seharian pada hari itu tanpa mengingati namaMu ya, Allah adalah begitu membosankan. Bagaikan hidup ini tidak bererti sedikit pun. Nikmat dan anugerah yang engkau berikan bagaikan tidak kuhargai. Oh, sia-sia engkau ciptakan hamba yang tidak pandai bersyukur ini ya, Allah. Alangkah baiknya, di waktu Dhuha yang panjang itu ku penuhi dengan dua rakaat solat Dhuha. Tanda syukurku padaMu ya, Allah atas segala nikmat yang telah engkau berikan selama ini padaku. Namun, itu pun belum cukup lagi rasanya untuk membuktikan tanda syukurku pada segala nikmatmu ini ya, Allah. Mungkin ia hanya sekadar tanda syukur di atas nikmat sendi - sendi yang engkau berikan padaku. Nikmatnya sendi -sendi ini memudahkan segala pergerakanku selama ini. Dengan nikmat sendi ini jugalah aku berkemampuan umtuk melangkahkan kakiku ke rumahMu untuk menunaikan kewajipan rukunku yang fardhu itu ya, Allah. Dengan nikmat sendi ini jugalah aku mampu untuk memegang kemas kitabMu untukku mentadabburnya setiap kali ya, Allah. Dengan nikmat sendi ini jua, aku mampu untuk menjalankan segala tanggungjawab sebagai seorang hamba kepadaMu ya, Allah. Oh, sungguh besar nikamt sendi -sendi ini ya, Allah. Tidak cukup kalau sekadar menunaikan dua rakaat solat Dhuha ini kiranya.

Ya, Allah! Sebelum matahari tergelincir dari tegangnya pancarannya di hari itu, biarlah kedua - dua kaki ini melangkah dulu ke rumahMu sekali lagi. Kewajipanku pada hari itu tidak selesai lagi hanya dengan menunaikan solat Dhuha tanda kesyukuran itu. Ada perkara yang lebih fardhu untuk ditunaikan pada hari itu. Buat kali kedua pada hari itu, biarlah kutunaikan solat yang fardhu itu di rumahMu sekali lagi. Engkau ringankanlah ya, Allah kaki ku untuk melangkah ke rumah Mu. Catatkanlah amal solat Zohorku di hari itu dengan menunaikannya secara berjemaah di rumahMu. Kemudian, biarlah kuiringinya dengan empat rakaat solat Rawatib di pangkal dan hujungnya ya, Allah. Biar sedikit bermakna perjalanan hidupku pada hari itu.

Ya, Allah! Tanggungjawab ummah perluku jua laksanakan. Alangkah indah, di bulan yang mulia ini juga banyak tanggungjawab ummah kulaksanakan ya, Allah dalam mengiringi kewajipan harianku yang lain. Apatah lagi ia disusuli pula dengan amal - amal ketaatan yang lain. Janganlah engkau alpakan aku menunaikan tanggungjawab seorang khalifah ini ya, Allah. Inilah jalan untukku meraih RedhaMu. Biarlah ketuanan Islam tertegak dengan hasil tanganku jua ya, Allah. Aku ingin sekali menjadi sebahagian penegak agamaMu ya, Allah. Biarpun usahaku seumpama si pipit menjirus air ke dalam api yang membakar kekasihMu Ibrahim A.S. ya, Allah. Engkau golongkanlah aku dalam kalangan pejuang agamaMu itu ya, Allah.

Selang masa Zohor dan Asar tidak begitu jauh. Masanya telah tiba untuk kewajipan yang kesekian kalinya ya, Allah. Alangkah indahnya hidupku, andai setiap detik waktuku diselang seli dengan amal ibadah dan tanggungjawab ummah itu ya, Allah. Sebelum kaki meneruskan agenda ummah di luar rumahMu itu, biarlah kulantunkan dulu ucapan KalamMu dalam beberapa waktu ya, Allah. Kemudian, biarlah aku melangkah sekali lagi ke dalam perjuangan agamaMu sehingga ke waktu terbenamnya matahari ya, Allah.

Detik waktu RamadhanMu ini ya, Allah tidak akan lengkap tanpa ketaatan yang paling utama ini ya, Allah iaitu berbuka di awal waktu. Sebagai ketaatan kepadaMu, kuletakkan diri ini di depan juadah seawal dari tenggelammnya matahari di ufuknya adalah kerana melaksanakan ketaatan padaMu ya, Allah. Andai Engkau firmankan untuk berbuka di akhir waktu, maka di akhir waktu jualah aku melaksanakannya ya, Allah. Ketaatanku padaMu melebihi segalanya. apatah lagi solat Maghrib juga kutunaikan di awal waktunya bersama keluarga sejurus sedikit juadah menggalas perutku ya, Allah.

Ya, Allah. Kulengkap putaran bulan Ramadhan ini dengan menunaikan solat Terawih ya, Allah. Tatkala selesainya solat sunat Ba'diah Isya', Terawih kukerjakan sebanyak yang Engkau perintahkan ya, Allah. Lagi mengasyikkan ya, Allah, bait - bait KalamMu itu yang begitu indah dilantunkan oleh Imam dalam solat itu ya, Allah kuhayati penuh tawadhu' makna - makna kalimahnya ya, Allah.

Aku memanjatkan keagungkan dan kesyukuran di atas kebesaranMu ya, Allah. Aku bersyukur kerana aku kini masih seorang Muslim ya, Allah. Alangkah indahnya juga ya, Allah. Engkau masih golongankan aku dalam kalangan hambaMu yang beriman ya, Allah. Itulah sebesar - besar nikmat yang Engkau berikan padaku ya, Allah. Alhamdulillah, ku bersyukur padaMu ya, Allah..