28 October 2009

Mencari Watak Tun Perak

Babak 1

Hang Jebat memulakan bicara setelah ditendang oleh Hang Tuah ke sudut dinding, "Tuah, dalam firasatku, selagi keris Taming Sari ini ada di tangan ku, kau takkan dapat membunuh aku. Jauhlah kau dari pintu, biar aku keluar mengamuk, membunuh segala pengkhianat-pengkhianat itu, Tuah."

"Jebat, kau adalah sebagai saudaraku, Jebat. Tapi maksud mu tak dapat lah aku membenarkannya. Aku terpaksa menjalan titah Tuanku untuk membuang kau Jebat." Hang Tuah menjawab penuh nilai kasih sayang dan persaudaraan serta dipadukannya dengan nilai ketaatan dan kesetiaan pada raja tanpa berbelah bagi.



Babak 2

Setelah beberapa ketika saling bertikam keris, Hang Jebat berhenti seketika dan terus berbicara kepada Hang Tuah."Nampaknya sungguh-sungguh benar kau nak membunuh aku, ya? Nah, ambil keris ni. Apa yang kau bimbangkan lagi, Tuah? Aku rela mati di tangan kau. Beri keris kau itu padaku. Ya, mari kita bertikam buat penghabisan bagiku. Patah sayap bertongkat paruh, namun gunung ku daki, ku daki juga." Hang Jebat mencampakkan keris Taming Sari kepada Hang Tuah. terlihat jelas nilai persaudaraan disatukannya dengan nilai pengorbanan.


Mungkin semua masih ingat dialog yang dipaparkan ini, Hang Tuah versi P. Ramlee. Tanpa sedar kita telah menjadikan watak Hang Tuah dan Hang Jebat ini sebagai ikon kita. Ada yang kata, "Akulah Hang Tuah, Langkah mayat ku dulu. Berilah kercayaan kepada pimpinan." Namun, tidak kurang yang berwatakkan Hang Jebat dalam membela kebenaran. " Raja Adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah" menjadi prinsip pegangan dalam menzahirkan hasrat keresahan. Siapa pun kita, di mana pun kita. Hatta watak apa pun yang kita imejkan pada diri kita. Semuanya bertolak pada titik nilai kehidupan.


Watak Hang Tuah

Bagi pencinta kesejahteraan, perpaduan, keharmonian dan semangat persaudaraan menjadikan watak Hang Tuah begitu sinonim denganya. Mereka rela dianggap pengecut, penakut, bodoh dan sebagainya demi sebuah kesejahteraan. Bagi mereka, apa pun tindakan biarlah berlapik dengan adab dan akhlak. Sejauhmana salah dan silap pimpinan selagi tidak berlanggar dengan hukum syariat, meraka akan cuba menyelesaikannya dengan kaedah yang beradab dan beretika. lembut dan sopan. Itu menjadi inti prinsip mereka. Asas kepada saranan berakhlak dalam al-Quran dan Hadis menjadi kekuatan pendirian mereka.



Watak Hang Jebat

Namun, watak Hang Jebat tidak seperti itu. salah tetap salah, tidak kira siapa yang melakukannya. Tindakan dan hukuman tidak memilih jawatan atau kedudukan. Keadilan dan kebenaran mesti diletakkan dihadapan. Selagi tindakan masih dalam konteks syariat dan tidak mendatangkan dosa, itulah pilihan yang mereka akan lakukan. Menyalahi adab tidak bermakna mereka tidak berakhlak. Rakaman sirah para sahabat yang ditegur di khayalak awam menjadi sandaran hujah membenarkan tindakan mereka.


Watak Tun Perak

Namun, adakah kita lupa pada watak Tun Perak waktu itu? Bukankah Tun perak yang memperkenalkan mereka pada sultan? Bukankah Tun Perak juga yang telah sembunyikan Hang Tuah dari menjatuhkan hukum kepadanya? Bukankah Tun Perak juga yang mencadangkan pada sultan supaya memberikanTaming Sari kepada Hang Jebat? Bukankah Tun Perak yang mencadangkan kepada sultan supaya Hang Tuah menjadi ketua rombongan untuk melamar Puteri Gunung Ledang?

Itulah Tun Perak.satu watak yang bijak menangani suasana. Bukan seperti Hang Tuah yang setia membuta. Bukan juga seperti Hang Jebat yang berani semborono.Tapi sayang, tidak ramai yang ingin berwatakkan Tun Perak. Seorang bendahara yang setia tapi kritis. Seorang bendahara yang berani tapi berwaspada. Itulah dia Tun Perak..satu watak yang jarang ada pada insan yang menggelarkan diri sebagai pejuang kehidupan dan kematian sekarang..

20 October 2009

Biarkan Aku Melangkah


Align CenterBiarkan derap tapak ini melangkah
Jangan dihalang walau senafas

Biarkan derap tapak ini melangkah
Menjangkau kemuncak yang teratas


Aku akan terus melangkah setia

Biarpun rebah akan aku menjengah semula

Biarpun tertiarap akan aku mendongak jua
Aku pasti akan melangkah jaya


Duri atau kemucup di hadapan

Akan aku hayun hingga bersua Yang Terulung

Sungai atau gunung di seberang

Akan aku rentas hingga kalamNya terus disanjung

Biarkan aku terus melangkah
Selama-lamanya tidak akan aku mengalah

15 October 2009

Cita Pemuda

video

Sempena Perhimpunan Pemuda UMNO.
Saya tujukan khas kepada para pejuang pemuda.

12 October 2009

Bacalah Buku


Hari ini saya beli dua buah buku ; Magnet Diri Cipta Pengaruh Luar Biasa dan Berjaya karya Amin Idris. Satu lagi bertajuk Catatan Kanvas Kehidupan hasil tulisan Us. Riduan Mohamad Nor. kedua-duanya perlu dihabiskan dalam masa seminggu ini.

Sejak akhir-akhir ini memang saya kurang baca buku. Hari inilah saya kembali mendapat momentum baru untuk membaca setelah sekian lamanya terhenti. Dua buah buku ini pun memang telah lama saya impikan untuk dijadikan koleksi peribadi saya tapi baru hari ini tercapai hasrat tersebut. Tup,tup tengok ada di MPH bookstores di Alamanda Putrajaya terus saja saya beli.

Selepas solat Maghrib tadi terus sahaja saya menyambar buku Magnet Diri. Baca dua, tiga bab tutup sekejap. Kemudian ambil pula buku Us. Riduan. Masih berkira-kira yang mana mahu dihabiskan terlebih dahulu. Tabiat saya baca buku memang begini, baca ikut mood. Sebab tu lah apabila saya membeli buku mesti lebih dari dua buah buku. Biasanya dalam kategori yang berbeza. Buku yang selalu menjadi pilihan saya ialah agama, pengurusan diri, motivasi, sejarah dan politik gerakan Islam. Kadang-kadang tu ada juga membeli buku dari jenis lain seperti novel-novel yang maskulin dan aksi. Namun, novel jenis itu hanya sekadar bacaan pinggiran sahaja. Sudah kurang berminat berbanding pada awal usia meniti kedewasaan dahulu. Novel-novel sekarang terlalu banyak aspek cintan-cintun. Semasa saya pusing-pusing di MPH tadi pun banyak novel-novel cintan-cintun saja. Segan pula nak berada lama-lama di situ.


Hmm..walau apapun, amalan membaca buku mesti menjadi satu tabiat kepada rakyat Malaysia. Barulah hasrat untuk menghasilkan rakyat berfikiran kelas pertama akan terhasil. Itulah acuan yang ingin dibentuk mengikut hasrat kerajaan kita. Tapi apa yang lebih penting adalah atas kesedaran diri kita sendiri kerana membaca ini adalah satu pelaburan untuk masa depan. Akhir sekali, sambutlah motivasi pertama dari al-Quran untuk umat Islam ini:


"Bacaalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq: Ayat 1-5)

09 October 2009

Bicara tenang di kala malam

Sudah lama saya tidak berjaga malam. Setelah saya disahkan mengidap penyakit darah tinggi saya telah merubah jadual harian saya secara tidak langsung. Aktiviti menulis pun makin berkurang walaupun saya bukanlah seorang penulis yang prolifik.

Namun, malam ini saya terasa sekali ingin menarikan kembali tinta yang telah lama beku dari pena yang kesaljuan ini. Biarkan ia mengisi segenap ruang putih segi empat tepat ini. Biarkan ia menjengah minda separa sedar setiap orang yang membaca bicara ini. Biarkan ilham yang Tuhan campakkan ini ke segenap dada–dada yang tersedia menerima santapannya.

Campakkan bayangan renungan sedalamnya pada bicara tanpa suara ini. Merenung sedikit bingkisan kata untuk sedetik ketenangan dan kedamaian. Ya, biarkan hati untuk merasai ketenangan dan kedamaian. Setenang air di lautan malam dan sedamai kicauan burung di rimbunan hutan.

Memang jiwa akan menjadi tenang apabila hati bertaut pada ciptaanNya. Memang hati akan menjadi damai apabila jiwa nerasai keagungan kekuasaanNya. Dan sememangnya benar firmanNya :


“ Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”


Apakah anda merasai ketenangan hati di saat ini. Jika jawapannya TIDAK, maka anda masih belum dalam kalangan orang yang mengingati Allah. Jika jawapannya YA,..alangkah bahagianya seorang mukmin itu apabila telah mencapai tahap ‘kedekatan’ dengan sang Pencipta ketenangan itu.Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 41 hingga 43:


"Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan mengingat (namaNya) sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikatNya (memohon keampunan untukmu), agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman."




06 October 2009

Jadilah Ahli Ilmu

Terkesima aku seketika apabila aku didakwa sebagai orang yang ta’sub kepada fahaman As-Asyairah gara-gara aku bercadang ingin membuat kajian ilmiah MA ku berkenaan tajuk sebegitu. Aku sedikit kaget bercampur keliru dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang kawanku itu. Aku juga tertanya-tanya sendirian dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu, samada ia betul-betul bermaksud demikian atau sekadar satu gurauan semata. Aku tidak hairan sekiranya ia sekadar gurauan kerana aku tahu sahabatku yang seorang ini memang suka megusik orang. Namun, dalam hal ini sedikit kesilapan jika ia juga dianggap satu gurauan. Ini kerana ia adalah persoalan akidah. Walaupun ia bukan perkara usul dalam akidah bahkan hanya masalah cabang dari persoalan akidah, namun ia satu perkara yang sentitif pada masyarakat Islam sekarang terutama di rantau nusantara ini. Bagi aku, perkara cabang yang telah menjadi sensitif pada pandangan masyarakat maka tidak usahlah dipanjangkan sangat. Banyak lagi persoalan usul dalam akidah yang perlu diambil berat oleh sekelian umat Islam.

Sebenarnya aku berasa sedikit kagum dengan umat Islam sekarang yang sudah ada kesedaran untuk menyatakan pendirian Islam dengan mengemukan sebarang hujah berdasarkan al-Quran mahupun al-Hadis. Namun begitu, aku berasa sedikit gusar dengan fenomena ini kerana bimbang ia akan menyampaikan maklumat yang silap dan tersasar dari maksud sebenar ajaran Islam yang murni ini. Mereka mungkin bermaksud ingin meyebarkan ajaran Islam yang praktikal ini namun disebabkan kekurangan ilmu yang ada pada mereka menyebabkan berlaku sedikit kesilapan dalam meyampaikan dakwah Islam ini. Aku tidaklah bermaksud ingin mematahkan semangat mana-mana individu yang suka meyampaikan dakwah Islam ini tetapi sekadar peringatan bersama agar tidak berlaku kesilapan maksud pada intipati Islam itu sendiri.Ya, memang betul Rasulullah SAW bersabda bahawa

“sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat”.

Tetapi kita juga jangan lupa pada satu lagi sabda Baginda SAW iaitu

“sesiapa yang berlaku dusta padaku, maka neraka jahanam adalah lebih utama baginya”.

Aku juga yakin, kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad ini pasti beriman dengan kedua-dua hadis ini.Oleh itu, sama-samalah kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik untuk Islam.