Salam kelahiran untuk semua umat Islam untuk kesekian kalinya. Setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan puasa akhirnya kita kembali menjadi fitrah putih bersih. Suci dari dosa dan noda. Dengan jiwa baru dan misi baru untuk kehidupan yang mendatang.
Inilah hebatnya Islam yang begitu menjiwai kemulusan ciptaan makhluk bernama manusia. Makhluk yang sentiasa lupa dan leka terhadap amalan dan perbuatannya sendiri. Makhluk yang sentiasa melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Makhluk yang mempunyai seribu satu kelemahan dan kekurangan. Namun, makhluk ini juga lah yang diangkat oleh Allah sebagai makhluk terbaik ciptaanNya. Mahkluk yang mengatasi kesempurnaan malaikat dan kehebatan syaitan. Makhluk yang penuh kesederhaaan antara malaikat dan syaitan ini dinobatkan oleh Allah sebagai makhluk yang sebaik-baik kejadian ( at-Tin:4 ). Akan tetapi,kita juga jangan lupa bahawa pangkat yang diberikan ini tidak menjaminkan apa-apa sekiranya kita terus-menerus bergelumbang dengan kelemahan dan kekurangan itu tanpa sedikit perasaan menyesali dan bertaubat atasnya. Andai kita merasakan 'kelebihan' itu sebagai satu tiket untuk terus bermaksiat kepada Allah, maka neraka jahanam lah jawapan kembali untuk kita ( at-Tin: 5 ).
Ingatlah, setiap berakhirnya titik noktah, pasti selepasnya akan bermula ayat baru yang akan menyambung ayat sebelumnya sehinga selesai sebuah karya si pengarang. Setiap ayat demi ayat yang disambung pasti ada ditengahnya tiitk-titik noktah yang melengkapkan sebuah karya ciptaannya. Yakinlah, titik noktah yang kita alami sekarang ini bukanlah titik noktah yang mengakhir sebuah karya kehidupan kita. Ia hanya satu titik penyambung antara ayat-ayat kehidupan yang kita tempuhi di alam ini. Sematkan dalam hati; "Setiap noktah pasti ada permulaan selepasnya."