Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts

04 November 2008

Tokku Pulau Manis

Nama Tokku Pulau Manis sememangnya telah begitu masyhur di kalangan penduduk Terengganu sebagai seorang ulama dan juga pejuang tanah air pada waktu penjajahan British dahulu. Namun begitu, tidak ramai yang mengenali susur galur dan juga sejarah hidup ulama Melayu ini.Nama beliau yang sebenar ialah Shaikh Abdul Malik bin Abdullah. Shaikh Abdul Malik adalah berasal dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang merupakan seorang raja di Baghdad. Kemudian beliau telah merantau ke Terengganu dan menjadi pemerintah di Terengganu yang dikenali dengan Kerajaan Temir.


Pada tahun 1650, Shaikh Abdul Malik telah dilahirkan di Kampung Pauh, Kuala Berang. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu. Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah s.a.w.

Kehidupan Shaikh Abdul Malik di istana adalah juga merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya dan melakukan ibadat. Hasil dari Sifat-sifatnya yang mulia dan daya intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan kepimpinan.

Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik, dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya.

Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan juga ulama tempatan, Shaikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar ke Aceh bersama dengan sahabat-sahbatnya. Di sana, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok Shaikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.

Apabila Shaikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaicah oleh Shaikh Abdul Malik dengan tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga muridnya yang lain iaitu Shaikh Yusuf Khalawati al-Mankatsi dari Bugis Mekasar, Shaikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Shaikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai beberapa maqam padanya. Akhirnya, Shaikh Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di Terengganu apabila pulang ke negerinya.

Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Shaikh Abdul Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu, Shaikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di Mekah, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah seorang darinya ialah Shaikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Shaikh cAbdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Shaikh Ahmad Qusyasyi.

Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Shaikh Ibrahim al-Kurani telah kembali ke RahmatuLlah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syarif Abdul Malik kembali ke tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Shaikh Abdul Malik telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya makin hampir.

Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya telah menjodohkan Shaikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya telah menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila.

Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.

Setelah ayahandanya mangkat, Shaikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk. Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk mencari pengganti dirinya.

Setelah itu, Shaikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun takhta dan menggantikannya dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Shaikh Abdul Malik. Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Shaikh Abdul Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah di Terengganu.

Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan tarekat Shatariah. Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Shaikh tarekat Shatariah dan telah diizinkan untuk membaicah dan membimbing suluk para muridnya.

Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya, murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.

Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M/ 1149 H, Tok Pulau Manis telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya disembahyangkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makan dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan Zainal cAbidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan diletakkan batu ’bereluk’ di sekelilingnya. Makamnya juga hendaklah ditutupi dengan kain kelambu berwarna kuning.



*Sumber:
Manaqib Syeikh Abdul Malik Abdullah (Tokku Pulau Manis) oleh Syeikh Ibrahim Mohamad

16 April 2008

Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab

Nama penuh beliau ialah Syeikh al-Islam al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab bin Sulaiman bin ‘Ali bin Muhammad bin al-Masyarif al-Tamimi al-Hambali al-Najdi. Beliau di lahirkan pada tahun 1115H atau 1701M di kampung ‘Uyainah di Najd iaitu lebih kurang 70 km arah barat laut dari kota Riyadh, Arab Saudi. Beliau meninggal dunia pada 29 Syawal 1206H atau 1793M dalam usia 92 tahun dan dikebumikan di Dar’iyyah ( Najd ).. Beliau juga memegang jawatan sebagai menteri penerangan Arab Saudi. Beliau hidup pada abad yang ke-12 Hijriyyah manakala Ibn Taymiyyah hidup pada abad ke-7 Hijriyyah.

Pendidikan dan Pengalaman

Semenjak kecil lagi beliau dididik dan diasuh dengan pengajaran agama yang secukupnya daripada ayahnya sendiri dan mempunyai kecerdikan dan kecerdasan akal serta sikap beliau yang tidak suka membuang masa. Beliau telah dapat menghafaz keseluruhan ayat-ayat al-Quran sebelum berumur 10 tahun lagi. Setelah mencapai usia dewasa beliau telah diajak untuk menunaikan haji ke Makkah pada musim haji dan terus tinggal di sana untuk menuntut ilmu dalam beberapa waktu. Kemudiannya berpindah pula ke Madinah untuk melanjutkan pengajiannya.

Di Madinah beliau berguru dengan dua orang ulama yang masyhur pada zaman tersebut iaitu Syeikh ‘Abdullah bin Ibrahim bin Saif al-Najdi dan Syeikh Muhammad Hayah al-Sindi. Di Madinah, beliau melihat ramai umat Islam di situ memohon syafaat dan hajat di perkuburan. Perkara ini baginya adalah salah di sisi agama Islam yang sebenar.

Kejadian-kejadian inilah yang membuatkan beliau terdorong untuk mendalami pengkajian tentang bidang ilmu tauhid yang sebenar dan murni secara mendalam dalam bidang ilmu tauhid salafiyah terutamanya kitab-kitab tauhid ulama’ pada abad-abad silam dan yang paling menarik perhatiannya iaitu kitab yang ditulis Ibn Taymiyyah yang sangat terkenal pada abad ke-7 Hijriyyah. Setelah itu, beliau berpindah pula ke Basrah. Di Basrah beliau tinggal lebih lama dan menimba banyak ilmu-ilmu seperti ilmu hadith dan mustalah, fiqh dan usul fiqh dan ilmu-ilmu bahasa Arab.

Mulai Berdakwah

Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab mula berdakwah di Basrah. Akan tetapi dakwahnya kurang berjaya mendapat sambutan kerana halangan daripada ulama’-ulama’ tempatan. Antara penyokong kuat dakwah beliau di Basrah ialah Syeikh Muhammad al-Majmu’i. Oleh kerana demikian itu, beliau berpindah pula ke negeri-negeri Islam lain untuk meneruskan dakwahnya tanpa apa-apa tentangan lagi.

Di samping mempelajari tentang keadaan negeri Islam sekitarnya, yang mana perkara itu penting untuk masa depan dakwahnya. Beliau kembali semula kepada gurunya, Syeikh ‘Abdullah bin Abd al-Latif al-Ihsai untuk mendalami beberapa bidang pengajian ilmu yang belum sempat beliau mendalaminya.

Kemudian beliau kembali ke kampung tempat asalnya iaitu ‘Uyainah, akan tetapi beliau tidak lama di situ kerana pada 1140H, Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab menyusuli ayahnya ke Haryamla. Di Haryamla, beliau dan ayahnya mengembangkan ilmu, mengajar dan berdakwah selama 13 tahun lamanya sehingga ayahnya meninggal di Haryamla pada tahun 1153H.

Selama 13 tahun beliau berdakwah, beliau telah mengajak pihak berkuasa setempat untuk bertindak tegas dengan kumpulan penjahat di situ yang selalu melakukan rompakan, rusuhan dan pembunuhan. Oleh yang demikian itu, kumpulan tersebut mengugut Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab dengan ugutan bunuh. Maka beliau terpaksa berpindah ke kampungnya kembali iaitu ‘Uyainah.

Keadaan Negeri Najd, Hijaz dan Sekitarnya Sebelum Berlakunya Gerakan Wahhabiyyah

Keadaan negeri Najd, Hijaz dan sekitarnya telah ada krisis aqidah yang teruk, yang mencapai kemuncak kemerosotannya. Berpunca daripada Kekuasaan khalifah yang berpusat di Turki sudah mula mengalami kelemahan akibat berlakunya kekacauan dalam negeri dan kelemahan khalifah serta sultan-sultannya sendiri, pembesar-pembesar negeri Arab yang bercita-cita untuk melepaskan negerinya daripada kekuasaan pusat dan hasutan daripada penjajah British dan Perancis supaya bangsa Arab dan umat Islam berjuang untuk kemerdekaan daripada kekuasaan Turki.

Kebudayaan masyarakat Islam ketika itu sudah mencapai satu tahap yang boleh dipanggil sebagai budaya Jahiliyyah. Budaya jahiliyyah yang mereka lakukan seperti mendekatkan diri kepada maqam yang mereka anggap sebagai keramat dengan memohon syafaat, meminta keampunan, meminta dimaqbulkan hajat. Contoh maqam Syeikh ‘Abd al-Qadir Jailani dan maqam-maqam lain. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Tanah Arab tetapi seluruh dunia Islam ketika itu diselubungi oleh perkara tersebut.

Awal Pergerakan Wahhabiyyah

Dengan adanya peristiwa seperti yang telah diceritakan tadi, maka Allah telah melahirkan seorang pentajdid yang agong iaitu Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab sebagai mujaddid Islam untuk mengubah masyarakat Islam yang tenggelam dengan budaya jahiliyyah ke arah Islam yang sebenar.

Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab memulakan pergerakannya di ‘Uyainah iaitu kawasan perkampungannya sendiri. Pada waktu itu ‘Uyainah diperintah oleh seorang penguasa yang bernama Amir Uthman bin Mu’ammar. Amir Uthman menyambut baik idea dan pergerakan beliau serta berjanji untuk membantu beliau sehingga kejayaan tercapai.

Pada suatu ketika, Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab meminta izin daripada Amir Uthman untuk menghancurkan sebuah bangunan yang dibina di atas maqam Zaid bin al-Khattab. Maka Amir Uthman menyediakan 600 orang tentera untuk mengiringi dan mempertahankan beliau dalam proses perobohan tersebut.

Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab tidak terhenti di situ sahaja dalam memperjuangkan aqidah salafiyyah akan tetapi mengambil tindakan memusnahkan seluruh bangunan yang dibina di maqam-maqam yang dianggap boleh merosakkan aqidah umat Islam yang berselerakan di ‘Uyainah. Maka pusat-pusat kemusyrikan di ‘Uyainah telah dihapuskan sepenuhnya.

Pandangan masyarakat ‘Uyainah dan sekitarnya ketika itu terdapat dua persepsi yang berbeza iaitu persepsi yang positif dan negatif. Antara orang yang memandang negatif kepada pergerakan Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab ialah penguasa wilayah al-Ihsa’I dan pengikut-pengikutnya dari Bani Khalid Sulaiman bin Ari’ar al-Khalidi. Mereka ini adalah dari suku badwi yang suka merampas, merompak dan membunuh serta terkenal dengan mempunyai hati yang keras.

Pihak berkuasa al-Ihsa’i sangat khuatir jikalau pergerakan Wahhabiyah ini tidak dipatahkan lebih awal akan menyebabkan wilayah kekuasaannya nanti akan direbut oleh pergerakan tersebut dan bimbang kedudukannya juga akan hilang. Maka mereka mengugut untuk memutuskan semua ufti dan cukai kepada kerajaan ‘Uyainah, jikalau tidak mahu membunuh Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab. Oleh yang demikian itu, beliau terpaksa berundur dari ‘Uyainah.

Syeikh Ibn Abd al-Wahhab di Dar’iyyah ( Najd )

Selepas itu, beliau berpindah pula ke Dar’iyyah. Di Dar’iyyah, beliau telah singgah di rumah seorang terkenal soleh di kawasan tersebut iaitu Muhammad bin Sulaim al-‘Arini. Ibn Sulaim melaporkan tentang kedatangan tetamunya kepada Amir Muhammad bin Saud. Maka iapun pergilah bersama-bersama beberapa orang penting dalam kerajaan ke rumah Ibn Sulaim, yang mana tempat Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab bermalam.

Dalam pertemuan bersejarah tersebut, Amir Ibn Saud telah berjanji dengan Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab untuk sama-sama berjuang dalam mencapai cita-cita kedua-duanya, yang mana membawa satu lembaran baru bagi dakwah wahhabiyyah untuk lebih berkembang maju. Implikasi dari kenyataan tersebut, maka ramailah orang dari Jazirah Arab seperti dari ‘Uyainah, Urgah, Manfuhah, Riyadh dan negeri-negeri jiran lain yang datang ke Dar’iyyah untuk menetap di situ dan menuntut ilmu, ini juga adalah kesan dakwah yang disebarkan oleh Syeikh Ibn ‘Abd al-Wahhab dan kemasyhuran nama serta ajaran-ajarannya.

Syeikh Ibn ‘Abd al-wahhab mula membuka madrasah dengan menggunakan kurikulum berasaskan kepada pengajian seperti al-Quran, tafsir, fiqh, usul fiqh, hadith, mustalah hadith, nahu saraf dan pelbagai ilmu lagi. Di samping pendidikan yang formal tersebut, ada juga majlis-majlis ta’lim yang dibuka kepada masyarakat umum.

Dakwah Melalui Surat-menyurat

Dalam proses mengembangkan lagi dakwahnya, beliau mula menulis surat kepada tokoh-tokoh tertentu supaya bergabung dengan barisan Muwahhidun di bawah pimpinan beliau sendiri. Hal ini adalah rangka pergerakan pembaharuan tauhid untuk membasmi syirik, bid’ah dan khurafat di negeri masing-masing. Dalam langkah pergerakan tersebut, beliau memulakannya di negeri Najd dengan mengirimkan surat-suratnya kepada ulama’ dan penguasa di sana.

Beliau juga mengutuskan surat-surat dakwahnya kepada ulama’ dan umara’ Riyadh dan Khariq serta negeri-negeri selatan seperti al-Qasim, Hail, al-Wasyim, Sudair, al-Ihsa’I, Mesir, Syria, Iraq, India, Yaman dan lain-lainnya. Dalam surat-surat tersebut, beliau menjelaskan tentang bahayanya syirik, bid’ah, tahyul dan khurafat yang melanda seluruh dunia Islam ketika itu.

Hubungan surat-menyurat dengan ulama’-ulama’ di dalam dan luar negeri, telah memasyhurkan nama dan gerakannya juga telah mempengaruhi ramai dikalangan ulama’ dan pemikir Islam diseluruh dunia seperti di India, Pakistan, Indonesia, Afghanistan, Maghribi, Mesir, Syria, Iraq dan lain-lain lagi. Demikian banyaknya surat-surat yang diutuskan kepada ulama’-ulama’ di dalam dan luar Jazirah Arab sehingga menjadi dokumen-dokumen yang berharga dan penting. Begitu juga tulisan-tulisan anak-anak dan cucu-cucu beliau serta pendukung-pendukung yang mewarisi ilmu-ilmu beliau.


Ulasan Para Ahli Sejarah Tentang Ibn ‘Abd al-Wahhab dan Pergerakan Wahhabiyah

1) Taha Husin dalam kitabnya, al-Alwan. Beliau menyatakan bahawa ajaran Ibn ‘Abd al-Wahhab adalah mazhab yang baru dan lama. Dimaksudkan dengan lama di sini ialah baru bagi masyarakat masa kini dan baru mengenali ajaran ini. Lama pula adalah kerana ajaran ini telahpun disebarkan dan diajar oleh Nabi s.a.w. sejak dahulu lagi. Beliau juga mengatakan bahawa dakwah aqidah Ibn ‘Abd al-Wahhab adalah semurni-murni aqidah yang boleh disamakan sebagaimana pada zaman Nabi s.a.w.. Beliau juga menyamakan strategi dakwah, sejarah dan lain-lainnya sama dengan zaman Nabi s.a.w.

2) Ulasan Lothrop Stordard seorang orientalis Amerika yang dinukil oleh Amir Syakib Arsalan yang menceritakan tentang keadaan dunia Islam pada abad ke-18 Masihi. Yang mana keadaan dunia Islam ketika itu telah kembali kepada zaman jahiliyah semula.

Antara penulis dan sejarawan lain adalah seperti al-Gibirti, Rasyid Ridha dan lain-lain.

Pengaruh Wahhabiyah Terhadap Gerakan Pembaharuan Islam Antarabangsa

Faktor-faktor yang menyebabkan kejayaan pergerakan Wahhabi adalah:

1) Kerjasama yang baik dengan pengasas kerajaan Saudiyah iaitu Amir Ibn Saud yang menjadi pemerintah di Dar’iyyah ( Najd ).

2) Penguasaan mereka ke atas kota Makkah dan Madinah yang menjadi kato suci bagi umat Islam.

3) Masyarakat Islam di abad moden ini mula berfikiran terbuka dan mulai cenderung untuk meninggalkan ketaksuban.

4) Negara Arab Saudi yang kaya dengan minyak, yang dapat menarik perhatian dunia Islam dan dapat membantu negara Islam lain.

Faktor-faktor tersebut menyebabkan Kerajaan Saudiyah Wahhabiyah tidak dipinggirkan daripada dunia Islam, yang mana pada suatu ketika hampir dipinggirkan.



*Sumber:

hasil kerjasama dengan Hilman