Showing posts with label Kreatif. Show all posts
Showing posts with label Kreatif. Show all posts

25 November 2008

Upih


Upih memerhati dari jauh pada tiga susuk tubuh itu. Tiga orang lelaki yang asing dengannya. Asing kerana bangsanya, asing dari agamanya, asing dari bahasanya dan juga asing dari tanah airnya. Namun, dia merasakan ada satu perkara yang membuatkan mereka begitu beriya-iya untuk berkawan dengan penduduk kampungnya. Tapi dia sendiri tidak pasti apa yang menyebabkan mereka begitu berminat terhadap kampung mereka jauh di pendalaman itu. Namun, Upih semacam rasa tidak gembira dengan kedatangan mereka walaupun Upih melihat kelakukan mereka begitu baik sekali. Upih merasakan ada sesuatu di dalam lubuk hatinya yang tidak dapat menerima kedatangan tetamu tidak diundang itu. Kadang-kadang, dia juga rasa sesuatu yang tidak kena terhadap amalan kepercayaannya selama ini. Entah apa kepercayaannya. Dia pun tidak pasti. Dia ikut sahaja apa yang dilakukan oleh datuk moyangnya selama ini.

"Hai, buat apa tu?"
" Eeerrrr....tiada apa-apa lah." Upih cuba menyembunyikan tindakannya itu dari Kimong.
"Aku tahu, kau tengah perhatikan orang asing tu kan?"
"Ish..tidaklah."Upih cuba mengawal reaksinya dan terus berlalu meninggalkan Kimong keseorangan di sebalik celah-celah pohon buluh itu.

"Mong, apa nama mereka tu?" Upih bertanya kepada Kimong sewaktu mereka sedang mencari rotan di hutan.
"Siapa?"
"Ala, tiga orang asing tu la."
"Ohh, itu. kenapa?" Kimong menyoal sambil tersengih. ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya.
"Em, Saja nak tanya. tidak boleh ke?" Upih sedikit meninggi suaranya.

“Ala, janganlah marah. Gurau saja lah.” Kimong cuba menenangkan keadaan sambil tersenyum dan terus menjawab soalan yang diajukan oleh Upih tadi. “ Em, nama apa ya? Oo, aku ingat. Seorang tu nama Farid, yang rendah sikit tu Karim dan yang seorang lagi tu rasanya nama Hussain.”

“Eh, pelik betul nama mereka ya? Aku tak pernah dengar pun di kampung kita nama macam tu.”

“Mereka tu dari Malaysia. Katanya jauh sangat dari sini. Kena naik kapal terbang baru sampai ke sini.”

“Apa benda kapal terbang tu?” Upih cuba mendapat kepastian dari Kimong.

“Entah.” Jawab Kimong ringkas.

“Mereka boleh bercakap bahasa kita?” Upih semakin berminat.

“Kau tanya banyak-banyak ni kenapa? Kalau nak tahu sangat pergilah cakap dengan mereka. Baru kau tahu mereka boleh cakap bahasa kita ke tidak.” Kimong sudah mula tak tahan dengan Upih.

“ Jomlah kita terus cari rotan. Tidak payahlah kau sibuk-sibuk hendak tahu pasal mereka” Kimong mengajak Upih meneruskan kerja mereka setelah sejam mereka berehat. Upih hanya menurut sahaja ajakan Kimong. Namun, dia masih dengan pelbagai persoalan bermain di kepalanya.

“Apa nama kamu?” Upih terkejut bila Hussain cuba bercakap dengannya semasa majlis keramaian malam itu.

“Upih.” Jawabnya ringkas.

“Nama saya Hussain b. Ismail.” Hussain memperkenalkan namanya dengan sedikit senyuman.

Upih pun membalas senyuman Hussain. “ Yang lain-lain tu?” Upih memberanikan dirinya untuk terus bercakap dengan Hussain.

“Em, yang tu Abdul Karim b. Sulaiman dan yang tu Farid b. Yaakob. Yang seorang lagi tu namanya Hassan. Pembantu kami yang membantu kami datang ke sini.” Hussain menerangkan sambil menuding jarinya ke arah kawan-kawannya. Upih hanya mengangguk.

“kenapa kamu datang ke sini?” Upih tidak dapat menyembunyikan persoalan yang sudah lama tersimpan dalam fikirannya itu.

“Kami datang ke sini untuk menjalin persaudaraan.” Jawab Hussain dengan sedikit tersenyum.

“Menjalinkan persaudaraan?”

“ Ya, menjalinkan persaudaraan. Persaudaraan atas dasar satu kepercayaan demi menuju kebahagiaan” Dahi Upih sedikit berkerut.

“ Em, beginilah.” Hussain cuba menjelaskan apabila melihat riak wajah Upih itu.

“ Kita sebenarnya sama. Tapi sempadan dan jarak tempat kita sahaja yang jauh. Kita datang dari tempat yang sama dan akan kembali ke tempat sama suatu hari nanti,” Hussain mula menyampaikan dakwahnya kepada Upih yang merupakan generasi penerus kaum Dusun Kadazan di Hulu Tuaran itu. Sebelum itu Hussain telah menjalankan misinya di beberapa kawasan di Sabah seperti Keningau, Tambunan dan Ranau. Kedatangan mereka telah diatur dengan begitu tersusun sekali dalam menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat di pendalaman Sabah ini. Bahkan mereka telah menubuhkan satu pertubuhan khas bagi menjalankan kegiatan mereka iaitu Sabah Islamic Movement ( SIM). Pertubuhan ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya dari satu pertubuhan kerajaan di Malaysia iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ). Ketiga-tiga mereka juga telah dibahagikan ke tempat berasingan untuk menyebarkan dakwah mereka secara lebih meluas.

“Em, tak fahamlah?” Upih memecahkan lamunan Hussain.

“Ok, begini. Upih umur berapa sekarang?” Hussain cuba memancing lagi.

“22 tahun.”

“ Upih agak bila Upih meninggal dunia?”

“Tak Tahulah.” Hussain senyum lagi bila mendengar jawapan Upih itu.

“Upih percaya kepada tuhan?” Soalan yang sengaja diajukan untuk melihat sejauhman tahap kepercayaan Upih.

“Percaya.”

“Ok, apa yang Upih …” Hussain tidak sempat meneruskan kata-katanya. Beliau dan kawan-kawanya dipersilakan oleh Tok Batin ke rumahnya kerana acara malam itu telah tamat. Mereka dilayan dengan begitu baik sekali oleh penduduk masyarakat di situ. Masyarakat Dusun Kadazan begitu rapat dengan Hussain dan kawan-kawannya, semacam sudah menjadi saudara mereka sendiri. Hussain berpakaian macam mereka, boleh bercakap bahasa mereka, ikut budaya masyarakat mereka dan juga mesra dengan mesyarakat setempat.

Malam itu, perbagai soalan menerjah fikiran Upih. Perbualannya dengan Hussain masih tergiang-giang di telinganya. Upih tertanya-tanya tentang butir bicara akhir yang ingin disampaikan oleh Hussain.

“Apa yang ingin disampaikan oleh Hussain sebenarnya?” Upih terus terpinga-pingan sendirian.

“ Ah, sudah bangun.” Upih menggosok-gosok matanya, diperhatikannya di sekeliling. Pelik. Di setiap penjurunya tergantung kalimah ‘Allah’. Dia perhatiikannya lelaki di depannya. Berjubah, berserban dan juga berjaggut. Bersih sekali pakaiannya.

“Siapa kamu?” Upih tersekat-sekat suaranya.menampakkan sedikit ketakutan. Lelaki itu senyum sahaja.

“Jangan takut nak. Pakcik tidak akan mengapa-apakan kamu Pakcik terjumpa kamu terbaring di sini.” Lelaki tersebut Cuba menjelaskan. Upih makin binggung. Semalam rasanya dia bersama Hussain di majlis keramaian tapi kenapa pula dia di sini. Seingatnya dia tidak mabuk semalam. Minum tuak pun tidak. Upih cuba mengingat kembali peristiwa malam semalam.

“Nak minumlah dulu. Mungkin kamu haus sangat hingga pengsan di sini.” Lelaki tersebut memberinya segelas air. Sungguh lazat rasanya. Namun, dia tidak tahu air apa itu. Sungguh nikmat sekali.

“Aku dah mati ke?” Upih teringat kata-kata Hussain malam tadi. “Tidak aku tidak mahu mati lagi.” Upih terus bermonolog sendirian.

“Anak berehatlah ya. Pakcik ada urusan sedikit.” Lelaki tersebut minta diri dan berlalu jauh ke depan. Namun, Upih dapat melihat setiap pergerakan lelaki itu. Lelaki itu melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah dia lihat sebelum itu. Setelah selesai lelaki itu kembali semula ke tempat Upih direhat.

“Err..Pakcik buat apa tadi?” Upih bertanya untuk mendapatkan kepastian. Memang begitulah sikap Upih apabila melihat sesuatu perkara yang tidak difahaminya.

“Oh, itu. Pakcik Sembahyang Sunat Dhuha.”

“Sembahyang Sunat Dhuha? Apa tu?” upih makin bingung.

“ Em, Solat Sunat Dhuha ni adalah amalan ibadah kami bagi Umat Islam tanda syukur atas nikmat pemberian sendi-sendi badan kita oleh Allah.” Upih bagai nak gila. Setahunya, tanda syukur kepada tuhan adalah mengorbankan ayam atau binatang ternakannya di busut atau di pantai. Ini hanya dengan sembahynga sahaja. Malam tadi pun Hussain ada cakap pasal tuhan. Upih terus hairan.

“Upih.” Lelaki tersebut memanggil namanya. “

“Bila aku beritahu nama aku kepadanya?” Upih semakin hairan. Lelaki itu memnaggil namanya.

“Upih tak perlu takut dan perlu rasa hairan. Upih akan faham juga suatu hari nanti. Sebenarnya apa yang Upih dengar dari suara hati Upih selama ini adalah benar. Bila Upih balik ke kampug Upih nanti Upih akan lihat ramai penduduk kampung Upih berpakaian macam pakcik, melakukan amalan macam pakcik dan menganut kepercayaan macam pakcik. Upih juga akan merasai kedamaian dan ketenangan seperti berada di sini. Tiada pergaduhan, tiada sikap tamak dan pentingkan diri sendiri. Semua orang hidup senang dan waktu itu hanya satu kalimah yang sering bermain di bibir-bibir penduduk kampung Upih iaitu ‘Lailaha Illallah’.”Lelaki itu menghabiskan kata-katanya dengan tersenyum. Upih hanya diam. Tidak mampu untuk berkata apa-apa. Bagaikan lelaki itu sudah memaklumi tentang dirinya.Namun, Upih mengakui bahawa memang itulah yang diharapkan olehnya selama ini. Pergaduhan dan permusuhan yang terjadi kampungnya bwgitu merimaskannya. Sukar untuk mencari kawan yang betul-betul setia. Hanya Kimong yang boleh dipercayainya kini. Ibu bapanya telah lama meninggal dunia setelah dibunuh oleh Jatik masa dia kecil lagi. Itupun kerana bapanya telah memberitahu kepada Tok Batin tentang kelakuan Jatik yang mencuri di rumahnya. Jatik begitu bermusuhan dengan keluarganya sejak dulu lagi. Tidak tahulah kenapa.

“Pakcik..” Upih tiba-tiba ingin bertanya sesuatu kepada lelaki tersebut setelah lama dia termenung itu tapi dilihatnya lelaki itu telah hilang entah ke mana. Suasana disekelilingnya juga telah berubah. Dia berada di rumahnya sendiri. Tetapi dia berasa sedikit pelik. Ramai orang berada di sekelilngnya. Tok batin pun ada.

“ Tok batin.” Dia cuba bersuara.

“ Bertenang Upih. Jangan terlalu banyak bergerak. Kamu sakit lagi. Bersyukurklah kepada Allah kamu telah selamat.” Kimong yang berada di sisinya bersuara.

“Allah” Dia hairan, semacam pernah dengar nama itu.

“Apa telah terjadi sebenarnya ni?” Dia cuba mendapatkan kepastian.

“Upih, bersabarlah. Ini semua kuasa Allah Taala. Apabila dia kata ‘jadi’ maka jadilah. Susah untuk diceritakan. Pada malam majlis keramainan itu kampung kita telah dilanda ribut yang kuat. Semua rumah di kampung kita rosak dipukul ribut itu. Setelah itu, kami didatangi oleh seorang lelaki yang pelik sungguh pemakaiannya. Kami tidak pernah jumpa sebelum itu. Dia telah datang menyelamatkan kami. Dia tenangkan kami ketika kami kesedihan. Semua rumah-rumah dibina semula hasil bantuannya. Ramai kawan-kawannya datang membantu. Semuanya berpakaian seperti lelaki itu. Sungguh pelik rasanya malam itu.kemudian dia mengajak kami memeluk Islam seperti yang Hussain dan kawan-kawannya cuba sampaikan itu. Maka kami semua pun memeluk Islam” Tok batin menceritakan dengan panjang lebar.

“Tok batin.” Upih ingin bersuara.

“Upih, Saya bukan tok batin lagi. Kampung kita dah tidak ada tok batin.”

“habis tu?”

“Panggil sahaja tok Imam.”

“Em, tok Imam. Mana lelaki yang menolong kampung kita tu?” Upih sedikit pelat bila menyebut perkataan tok Imam.

“Dia telah meninngalkan kampung kita sebaik sahaja semuannya selesai. Kami tidak tahu pun ke mana mereka pergi”.

“Hussain mana?”

“Saya di sini.” Hussain yang berada tidak jauh dari Upih bersuara. Hussain melempar sebuah senyuman pada Upih.

Upih juga senyum. “Allahu Akbar.” Tiba-tiba kalimah itu terpancul dari bibirnya.

09 November 2008

Ya, Rabb!


Ya, Rabb!
Ku seru namaMu,

Ku rindukan kedekatan denganMu,
Kerana jiwaku kegersangan,

Dari menyebut namaMu,

campaklah kembali taqarrubku padaMu,
Keranaku pujangga cintaMu..

27 October 2008

kita dan mereka


Prap pang
kotak sepi pecah seketika
kembali tenang bila hilang suara rasa
hanya menunggu kotak sepi pecah lagi
suara rasa akan bergema kembali

Ah,
kenapa kita mudah lupa?
adakah deria kita tidak sekuat mereka
apa beza kita dan mereka?
sama-sama makhluk Yang Maha Kuasa

Prap pang
kotak sepi kembali pecah
suara rasa kita dah berubah
tapi hanya lama seberapa ketika
itupun kerana habuan besar yang diterima

Ah,
itukah kita?
berubah kerana mendapat laba
begitukah nilai harga kita?
boleh dirunding dan dikira

Bedebum
kotak sepi pecah seribu
suara rasa dah bergema segenap penjuru
kepala pun dipijak
malu pun terpajak
mereka hanya mencebik melalak

sendiri mau rasa
untung ikan timbul seketika

24 April 2008

Rungkaikan yang keliru


Taufiq merenung awan di kejauhan mata memandang. Cahaya rembulan menempias ke hujung di segenap ruang maya. Desis angin malam sedikit mendamaikan gelora di jiwa. Sekilas dua insan nun di sudut tepi blok rumah flatnya sedikit mengusarkan jiwanya. “Apa yang terjadi”. Dia cuba menduga penuh curiga. “Emm,inilah dunia. Gelap malam tersembunyi seribu cerita. Ah, lantaklah. Peduli apa aku. Tak ingin lagi rasanya aku peduli perihal manusia. Kerana pedulikan manusialah aku jadi begini. Kawan makan kawan.” Keluhnya lagi.”tapi kadang-kandang rasa semacam je. Rasa semacam bila aku buat tidak peduli perihal manusia ni. Kerana memang itulah kerja aku selama ni.” Taufiq terus bermonolog sendirian.

Disingkapnya langsir. Ditutupnya ruang udara dari luar untuk menyinggah ke rumahnya. Dihempas badanya ke tilam usang yang dah jadi hak miliknya sejak dua tahun yang lalu. Sejak dia mula menyewa di rumah flat itu bersama teman-temannya, tilam itu dah macam hak peribadinya. Teman-teman yang lain jarang beralaskan tilam itu untuk melepaskan penat. Hanya Taufiq yang setia dengan tilam busuk itu. Dicapainya akhbar yang dibelinya petang tadi. “Gopal minta PKI gugurkan hasrat negara Islam”,begitulah bunyi tajuk berita yang tentera. “Apa hal pulak mamat tua ni”, Taufiq sedikit keliru. Dibacanya berita itu hingga selesai. “Hem. Bila la nak mampus mamat ni?.dah bertahun main politik tak reti-reti lagi.” Taufiq sedikit mengkritik Pengerusi Parti Sosial Nasional itu, antara parti yang lama di negaranya.

Parti Sosial Nasional adalah salah satu parti gabungan dengan Parti Keadilan Islam membentuk Barisan Kesejahteraan Rakyat setelah memenangi hampir separuh kerusi yang dipertandingkan di peringkat parlimen. Akhirnya setelah persetujuan bersama, kedua-dua parti ini beserta beberapa parti lain membentuk Barisan Kesejahteraan Rakyat. Barisan Kesejahteraan Rakayat dibentuk untuk memperjuangkan nasib dan keadilan rakyat setelah lebih separuh abad ditindas oleh parti paemerintah. Kedua-dua parti dikatakan tidak sebulu sejak sekian lama akan perihal hasrat Parti Keadilan Islam untuk membentuk sistem negara Islam dalam pemerintahan negara.

“Inilah kesannya bila Islam tidak dijelaskan dengan sebaiknya. Hendak salahkan mereka sepenuh tak boleh juga. Media yang banyak menutup keindahan Islam. Tambah-tambah lagi disekat pula golongan yang cuba menyebar luaskan Islam. Media Barat lagila berhati busuk. Dijajanya berita kononya Islam ini pengganas, melampau, ekstrem dan sebagainya. Mana la orang bukan Islam nak faham tentang Islam.” Taufiq berbisik-bisik pada dirinya sendiri. Teman-temannya yang lain sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu. Memang begitu rutin hidup mereka pada waktu malam.

“Hah, kau buat apa ni? Melayang jauh nampak?” Sufian menyergah dengan tiba-tiba.

“Ala, tiada apa sangat. Aku baca berita ni. Ada ke patut si Gopal tua ni suruh PKI gugurkan negara Islam.” Taufiq melepaskan sedikit perasaan tidak puas hatinya pada Sufian, teman sebiliknya.

“Biasala tu, nama pun dah kafir. Memang dia nak kafir je apa yang ada pada Islam.”Taufiq membiarkan sahaja Sufian memberi pandangan. Memang Sufian banyak tahu dari Taufiq dari sudut ilmu keagamaan. Tambahan dia memang belajar dalam jurusan Syariah Islam di universiti mereka duduki.

“Tidak akan redha Yahudi dan Nasrani pada Islam hingga mengikut cara hidup mereka.” Sufian membaca maksud sepotong ayat al-Quran bagi meneguhkan hujahnya. Taufiq diam. Dia sengaja ingin mendengar hujah yang seterusnya dari Sufian.

”Apa lagi?” Taufiq terpaksa bersuara apabila melihat kawannya membisu.

“Oo,kau tunggu aku cakap lagi. Ingatkan kau nak balas balik hujah aku. Ok, aku teruskan”, balas Sufian sambil tersenyum.

“Sebenarnya doktrinasi keburukan Islam memang telah dijaja oleh Barat sejak sekian lama bagi menghalang kebangkitan Islam. Dah berabad lamanya. Bukan setakat hari ni bahkan pada abad dulu-dulu. Masa Rasulullah SAW masih hidup doktrin ni dah ada pun.” Taufiq mula pasang telinga.

“Pada sekitar awal abad ke-20, bila jatuhnya kerajaan Islam Turki bermakna telah bermulalah episod yang lebih tragis dalam sejarah Islam. Di sana juga mula munculnya doktrin sekularsme dalam pemikiran umat Islam apabila terbangunnya pemerintahan sekular oleh Mustafa Kamal Antartuk. Segala isme-isme yang lahir sekarang ni pun adalah anak menantu, cucu cicit kepada sekularisme itu.” Sufian memberi sedikit analogi yang lebih mudah untuk difahami. “Pada tahun 1928, muncul gerakan kebangkitan Islam di Mesir yang telah diasaskan oleh Hassan al-Banna untuk mengembalikan semula hak Islam yang telah hilang dan dirampas itu yang diberi nama sebagai Ikhwanul Muslimin. Bermula dari gerakan inilah maka timbul beberapa gerakan yang sama di seluruh dunia hingga ke hari ini. Ada faham?”

”Ok, teruskan.” Taufiq makin berminat mendengar.

“Emm, apa lagi ye. Ok, gerakan-gerakan kebangkitan ini telah dilabelkan sebagai gerakan yang ganas, ekstrim, teroris dan sebagainya. Maka satu istilah yang baru digunakan bagi melabelkan gerakan ini sebagai satu gerakan yang ganas dan ekstrim iaitu fundamentalisme. Fundamentlaisme digunakan sepertimana yang berlaku dalam agama Kristian yang muncul disebabkan sikap anti moden golongan ini dalam agama mereka. Ini kerana, apabila kemodenan dan kemajuan mula tersemat dalam diri penganut ajaran Kristian maka meraka akan meninggalkan agama tersebut. Bagi mereka, ajaran agama telah menyekat daripada kemajuan, lagipun para agamawan merasakan diri mereka telah dipinggirkan kerana masyarakat telah mengejar dunia berbanding agama. Lagi satu, bagi Barat istilah fundamental ini adalah merujuk kepada asas atau prinsip-prinsip keagamaan. Jadi, golongan yang menyeru kepada prinsip-prinsip asas agama digelar fundamentalisme walaupun istilah tersebut tidak tepat untuk Islam kerana Islam tidak mengajar kepada pemisahan dunia dari agama walaupun mereka menuntut supaya kembali kepada prinsip-prinsip agama yang berbeza dari Kristian. Di sini jugalah lahirnya sekularisme iaitu pemisahan antara agama dengan kehidupan dunia dalam kehidupan Barat.” Sufian menjelaskan dengan panjang lebar.”boleh teruskan?” Sufian mengusik. Taufiq hanya mengangguk. Tidak dihiraunya usikan Sufian itu.

“Maka, mana-mana kelompok Islam atau mana-mana agama sekalipun akan digelar sebagai fundamentalisme apabila mereka menyeru kepada prinsip-prinsip asas Agama.”

“Ok apa? Apa yang tak kenanya?” Taufiq menunjukkan sedikit respon.

“Ok, begini.” Sufian meneruskan hujahnya.

”Pihak media Barat akan selalu mengaitkan golongan ini sebagai golongan yang radikal dengan menunjukkan aksi ganas dan radikal yang dilakukan oleh segelintir umat Islam yang tercabar iman mereka dengan kerenah Barat ini. Aksi inilah yang akan mereka tayangkan dan dendangkan kepada umat seluruh dunia tentang keburukan Islam setiap masa. Hukum-hukum Islam dijadikannya dalil sebagai bukti melampau, ketinggalan zaman dan sebagainya terhadap Islam. Oleh kerana matlamat gerakan Islam ini untuk menegakkan kembali hak Islam dan memperjuangkan negara Islam, maka dimainnya isu kezaliman, kekejaman hukum Islam akan berleluasa apabila negara Islam terbentuk. Itulah antara propaganda jahat Barat hingga masyarakat seluruh dunia termakan umpan itu hingga ke semua negara-negara Islam. Apa yang lebih buruk ialah umat Islam juga termakan sama umpan tersebut dan turut bersekongkol menjatuhkan maruah Islam.Oleh itu, macam yang aku cakap tadi. Si Gopal yang memang dah kafir ni tidak akan faham selagi orang Islam di negara ini pun turut sama tak faham, buat-buat tak faham dan tak nak faham apa-apa tentang negara Islam dan turut bersekongkol memburukkan hasrat murni menegakkan negara Islam di negara ini"Sufian menamatkan hujahnya.

“ Em, menarik juga. Lagi?” Taufiq masih tak puas hati.

“Ish, cukup la tu. Esok aku ada imtihan ni. Lain kali la.”Sufian dah hilang semangat nak menyambung hujahnya bila melihat jarum jam sudah menunjukkan ke pukul 10.30 malam memandangkan dia ada peperiksaan akhir pada pukul 8.30 pagi esoknya. Dia terus keluar dari bilik sambil memegang beberapa buah buku di tangannya.

Taufiq lihat sahaja gelagat Sufian yang berlalu itu. Diambilnya kembali akhbar yang dibaca tadi. Membelek-belek beberapa muka surat sebelum dia terlena.

08 December 2006

Penaku Sesalju Embun Pagi


Penaku sesalju embun pagi
dingin dan nyaman menyentuh sanubari
kekadang terasa menggigil tak karuan
tulang sumsum pun jua jadi taruhan
tapi ia tak bisa meruntun badan
apatah lagi hilang nyawa kesayuan

Penaku sesalju embun pagi
sekadar merenggus kecil jenaka bodoh dunia
merintih menyinga dalam kedinginan
menyentak naluri yang masih berbunga
tapi sekadar itu cuma
tak bisa membunuh nyawa raksasa dunia

penaku sesalju embun pagi
sekadar meninggalkan kelam di hati gelora di jwa
agar sinar menyinggah tenang menyapa
menuju alam keabadian yang menggamit tiba

06 December 2006

aku teraba lagi


Aku teraba lagi
bukan dalam gelap malam
bukan juga dalam sepi alam
namun teraba dalam kejernihan maksiat
yang beraja di setiap penjuru saraf
mencari jalan keluar yang tak berpenghujung
maksiat seakan dah mendarah daging
gelap itulah jernihnya
kelam itulah sinarnya
gelora itulah tenangnya
semuanya biasa di sudut rasa
aku meraba dalam kejernihan
aku meraba dalam kesinaran
aku meraba dalam ketenangan
alah bisa tegal biasa
aku tak bertemu jalan pulang lagi
mungkinkah selamanya...

12 August 2006

akidahku terusik


Bukan sekadar untuk bermadah
tapi hati kian gelisah
apatah lagi dunia dah berubah
semuanya dah tinggal sejarah
di bumi ini yang dulunya bertuah
terpasak kejap akhlak dan akidah
tapi kini mati pun tak kisah
tiada lagi denyutan hidayah
andai tiada penawar ma'firah

apakahkanku terus pasrah
apabila akidah ku terus diratah
dek insan karnivor yang penuh serakah
di segenap rimba maksiat dan desa syahadah

kenapa ini yang terjadi
dikala muncul kesyumulan hadhari
adakah satu ujian dihati
ataupun memang kita dah dimurkai

31 July 2006

Warung Pak Samad


"Bobrok! menjatuhkan maruah kampung je." Haji Kadir menyinga. Tak tertahan lagi panas hatinya. Mulutnya muncung semacam tikus mondok. Dia mengerling semua orang di situ. Semua orang di warung Pak Samad terkedu. Tak siapa yang berani memandang wajah Haji Kadir. Memang orang dah kenal dengan perangainya yang panas baran dan angresif itu. Setelah selesai membayar harga secawan tehnya, dia terus beredar. Orang ramai hanya melihat sahaja kelibat Haji Kadir tanpa sepatah kata.

"Kenapa dengan Haji Kadir tu?"Mat Jani memecah suasana.
"biasalah, bila orang dah turun jawatan ni...."Pak Samad keluar dari sudut dapurnya.
"Minggu lepas jambatan hujung kampung tu roboh. Kena dek angin ribut tapi Cikgu Dolah tak buat apa-apa pun. Pastu bunyi ceritanya dia minta kontraktor mana ntah untuk baiki jambatan tu."
"Habis tu, kenapa dia nak angin? kan eloklah tu ada kontraktor yang datang baiki." Seman yang duduk satu meja dengan Mat Jani pula menambah.
"Dia tak puas hatilah sebab kontraktor tu orang luar.Bukan orang kampung ni. Dia kata ramai lagi orang kampung kita yang......"
"Ramai lagi orang kampung kita boleh buat." Haji Leman yang entah datang dari mana tiba-tiba menyampuk."Itu takpa lagi. yang jadi masalahnya, Cikgu Dolah tu tarik balik perjanjian dengan kontraktor tu. sudah-sudah,perkara tu dah jadi kes mahkamah dah sekarang." Haji Leman semacam tak puas hati dengan cara pentadbiran Cikgu Dolah.
"Biarlah dulu, kita tengok apa yang Cikgu Dollah nak buat. Apa yang boleh kita tolong, kita tolong. kita bagilah sokongan pada dia. lagipun baru dua minggu dia jadi ketua kampung kita ni." Leman cuba membela Cikgu Dolah.

Mat Jani tak kata sepatah pun. Tapi di sudut hatinya dia lebih setuju dengan tindakan Haji Kadir yang lebih berwawasan dari Cikgu Dolah. Semasa Haji Kadir jadi ketua kampung selama dua tahun sebelum ni banyak projek-projek yang telah di buat untuk Kampung Fantasia ni. Projek penternakan udang galah,balai raya berinternet, bina kincir air, surau pun dinaik taraf jadi masjid pastu dibuatnya lagi tambahan bangunan. Semuanya menjadi buah mulut orang ramai, bahkan terkenal pula nama Kampung Fantasia ke kampung-kampung lain. Kalau sebut je nama Haji Kadir, pasti orang akan sebut, "Ooo,yang jadi Ketua Kampung Fantasia tu."Memang gah rasanya jadi orang Kampung Fantasia.
"Tapi berbaloikah hidup ini dengan semua itu?"Nada Mat Jani sedikit meninggi. Semua orang memandangnya.terpinga-pinga.

16 July 2006

Rentak Pejuang

Pujangga tak sudah bermadah
melafazkan bait-bait kata yang tak keruan
mengalunkan liuk lentok suara yang kesyahduan
bagai merayu kisah lama dipanjangkan

getaran hati kian rancak
bila semboyang perang kembali bersorak
darah merah semakin berombak
seakan mengerti gempur si pengasak

panji-panji berdiri megah
dijulang dikibar tanda hati tak resah
mata menyinga merah takkan mengalah
hidup dan mati siapa yang kisah