Showing posts with label Falsafah. Show all posts
Showing posts with label Falsafah. Show all posts

21 June 2008

Sedikit Bicara Luka: Selamat Hari Bapa, Ayahku!

Walaupun sambutan hari bapa tidak semeriah sambutan-sambutan yang lain tapi ia merupakan satu peringatan yang mulia bagi seorang anak terhadap bapa yang tercinta. Tanpa bapa tidak wujudlah kita di alam dunia ini. Tiadalah jua erti kasih sayang dan marah benci dalam institusi sesebuah kekeluargaan. Kerana kasih sayang dan marah benci seorang bapa adalah begitu bernilai dalam kehidupan pembentukan diri seorang insan bergelar anak. Aku dan kita semua dibesarkan oleh kasih sayang dan marah benci seorang ayah yang begitu berlainan sekali dengan kasih sayang dan marah benci seorang ibu kerana emosi dan perasaan seorang ayah tidak sama dengan emosi dan perasaan seorang ibu.

Namun, hari telah berlalu. Aku telah hilang kasih sayang dan marah benci seorang ayah. Aku gagal memahami butir bicara dan didik tarbiah seorang ayah. Aku begitu merindui jerit pekik ayahku yang dulu. Jerit pekik ayahku yang mengejutkanku dari lena yang panjang untuk secukup masa mengabdikan diri pada Tuhan Pencipta Alam di kala waktu subuh menjelma.

Aku merindui kasih ayah tatkala tidak memberikanku secukup wang di hari-hari persekolahanku dulu. Kadang-kala aku terpaksa meminta sedikit ihsan dari guru untuk meringankan yuran sekolahku. Akhrinya aku diringankan sedikit bayarannya dan ditanggung oleh PIBG sekolah. Dan akhirnya juga aku tidak perlu untuk membayar yuran peperiksaan SPM hasil dari ihsan seorang guru.

Aku merindui sayang ayahku yang menyuruhku dan adik beradikku membanting tulang mengusahakan sawah di bendang dan menyusun batu-bata membina bangunan impian orang lain demi sesuap nasi kami setiap hari. Walhal ketika itu kami masih lagi sekecil Adi Putra untuk kerja seberat itu.

Aku merindui marah ayahku apabila beliau melihat keputusan ujian bulananku yang hanya kerana tidak mendapat nombor 1 di dalam kelas. Walhal aku berada dalam kelas yang pertama dan mempunyai banyak bilangan 'A' dalam matapelajaran yang aku ambil.

Aku merindui benci ayahku dengan sikapku dulu yang tidak suka berkongsi senang dengan adik-beradik dan masyarakat di sekeliling. Walhal apalah sangat yang ku tahu dalam umur seusia 5 dan 6 tahun itu. Dengan kawan sepermainan pun selalu bertumbuk dan bergaduh.

Namun, hari terus berlalu. Kasih sayang seorang ayah tidak boleh dijual beli, marah benci nya juga penuh bererti. Kasih ayahku itulah membuatkanku tahu erti nilai kemiskinan dan kekayaan, merentap jiwaku supaya mengatur cita mencapai jutaan harta demi ihsan seseorang yang pernah kuterima suatu waktu dulu dan tentunya juga RahimNya Tuhan mencipta derita untuk sedikit cita.

Aku tahu kini, kerana sayang ayahku itulah membuatkan naluriku kenal erti seksa dan derita seorang ayah demi mebesarkan anak-anak yang punyai seribu harapan dan masa depan. Bahkan juga menghilangkan keluhku di hari kemudian kenapa ditakdirkan aku hidup dalam garis penderitaan. Hakikatnya juga telah mengenalkanku dengan erti kecekalan dan ketabahan.

Aku sedar kerana dek marah ayahku itulah yang membuartkan aku tidak kenal putus asa dan kepayahan dalam mengejar tujuan dan harapan. Membina diri dari sebalik tembok angan-angan dan mengatur langkah menjadi yang terbaik dalam erti meraih kejayaan dan masa depan.

Dan aku juga akui kini bahawa sikap benci ayahku itulah yang mengajarku erti kesenangan yang hakiki. Ia bukan hak milik peribadi namun ia perlu dikongsi. Katanya, biar kita menanggung derita namun biarlah orang menikmati selesa. Jangan diungkit cerita duka kita dan sebarkan senyum pada semua.

Itulah ayahku walau ilmu tidak bertimba, harta tidak seberapa, namun mencipta hati mulia itulah nilai tarbiah darinya walaupun ku tahu aku bukan seorang yang mulia..

Aku begitu merinduimu ayah. Walaupun engkau telah bertemu dengan Yang Esa, aku doakan agar engkau ditempatkan di sana bersama-sama orang yang mulia. SELAMAT HARI BAPA UNTUKMU !!

15 January 2008

Sedikit Tentang Falsafah Islam


Sebelum lahirnya falsafah Islam, telah wujud beberapa pemikiran falsafah samada di Timur ( Cina dan India) dan Barat ( Greek ). Dalam persoalan falsafah Islam ini unsur utama yang menjadi perbincangan adalah Greek. Ianya muncul sekitar 500 tahun sebelum Nabi Isa a.s dilahirkan. Ahli-ahli falsafah Greek seperti Socrates , Aristotle dan Plato telah berfikir secara sistematik dan ilmiah serta cuba membebaskan dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Oleh itu mereka sebagai pelopor dalam pemikiran intelektual telah memberi takrifan tersendiri mengenai falsafah. Menurut Plato falsafah ialah bermaksud mengetahui perkara-perkara azali. Manakala menurut Aristotle pula falsafah bermaksud satu kajian mengenai prinsip dan dasar utama untuk sampai kepada tahap sebab utama.

Falsafah Moden Barat adalah falsafah yang wujud di Barat selepas lumpuhnya falsafah skolastik di Abad Pertengahan, Zaman Kegelapan dan Zaman Kebangkitan. Perkataan Moden yang menjadi sifat kepada falsafah ini membawa erti bahawa falsafah yang menunjangi perkembangannya ialah falsafah berorientasikan pemikiran baru yang timbul di Barat setelah masyarakat Barat terdedah kepada elemen-elemen baru akibat kesedaran mereka akan kewujudan mereka di dunia ini.

Dalam penulisan Syed Hussein Nasr ini pula, beliau seolah menyatakan bahawa suasana pembelajaran falsafah Islam pada hari ini telah melalui beberapa peringkat perkembangan iaitu peringkat pertama ialah peringkat kejutan, peringkat kedua ialah peringkat pertentangan dan peringkat ketiga pula adalah peringkat kebangkitan hasil dari pertembungan dengan idea falsafah Moden Barat ini.


Peringkat Pertama : Kejutan

Dalam peringkat pertama ini, umat Islam telah mengalami kejutan dalam kehidupan dan pemikiran mereka. Mereka mengalami krisis kepercayaan dalam diri dan warisan budaya mereka sendiri, berlaku kegoncangan dan menjadi medan pertentangan di dunia Islam juga pada ketika itu telah menempatkan Islam sebagai golongan yang tertuduh dan akhirnya menyebabkan berlaku kekalahan dalam diri mereka dan sanggup menerima apa sahaja alternatif dari pihak Barat.

Menurut beliau, idea falsafah yang asal yang dibangunkan di Barat telah dipelajari dengan penuh minat secara dekat di mana-mana penjuru dunia Islam pada hari ini terutamanya di pusat-pusat pendidikan dan universiti. Mereka mengajar secara tetap di kelas-kelas yang menyebabkan ramai daripada orang Islam yang belajar di situ yang keluar dari sistem pendidikan moden lebih mengenali para tokoh falsafah Eropah berbanding kebanyakkan para sarjana Muslim yang terkenal.

Bagaimanapun, keadaan ini tersebar luas adalah hasil kesan daripada ahli falsafah Eropah terhadap pusat-pusat pendidikan di dalam dunia Islam yang menyebabkan ia menjadi jauh dari kesesuaiannya. Perselisihan, kepelbagaian dan pertentangan adalah sifat yang menyelubungi tamadun Eropah Moden terutamanya terhadap bidang falsafah. Ia adalah hasil daripada pemodenan Barat. Di sini seolah-olah sejarah tersebut menjadi bentuk idea falsafah dalam dunia Islam.

Sebagaimana diketahui di Eropah yang umumnya adalah anti-tradisional dan cenderung terhadap rasionalistik. Ini adalah kerana manifestasi dari negara bangsa berdekatan yang telah mengekalkan cara dan gaya mereka yang tersendiri seperti bangsa Perancis, Inggeris, Jerman dan bangsa-bangsa lain ( Syed Hussein Nasr, 145 ).

1. Perancis

- Ahli Falsafah Perancis semenjak dari Descartes yang terkenal dengan ‘geometri’ dan bersikap pemikiran yang bersih telah digambarkan dalam bentuk bahasa mereka.

2. Inggeris

- Mereka adalah cenderung terhadap Empiricism dan memandang sinis terhadap metodologi yang keras yang telah ditemui dalam falsafah benua Eropah.

3. Jerman

- Mereka adalah yang paling banyak bermetodologi dan bersistematik dalam
kebanyakkan bangsa Eropah. Mereka menjaga kecenderungannya secara keterlaluan terhadap pandangan dunianya bukan sahaja dalam aspek bahasa mereka tetapi juga dalam aspek, musik, kesusasteraaan dan falsafah.

Barat telah menjalankan dasar menjajah ke beberapa buah Negara Islam di Asia Barat dan di Timur juga termasuk di kepulauan Melayu. Walaupun gerakan menjajah ini dimulai sebelum lahirnya Zaman Moden, tetapi perkembangan seterusnya iaitu abad-abad Zaman Moden telah menyaksikan pengaliran pengaruh pemikiran Barat ke dalam masyarakat dan tamadun tanah jajahan mereka. Perkara ini dilakukan secara terang-terangan melalui polisi penjajahan mereka atau dilakukan secara halus melalui sistem politik, pendidikan dan sosial yang direncana mereka. Dengan demikian, sikap dan cara berfikir golongan intelektual Barat di awal zaman Moden sangat mengesani corak pentadbiran di tanah jajahan mereka. Ideologi politik, polisi pendidikan dan sosial sangat dipengaruhi oeh falsafah mereka secara keseluruhannya.

Menurut beliau juga bahawa terdapat beberapa elemen yang menentukan pembelajaran falsafah Islam di dunia Islam. Di sini saya telah merumuskan beberapa Negara yang telah disebut oleh beliau yang megalami suasana pembelajaran tersebut:

  1. Parsi
    • pada abad yang lepas, Perancis telah menjadi bangsa Eropah yang berpengaruh yang paling menonjol. Karya Descartes yang bertajuk “Discourse on Method” telah menjadi hasil kerja falsafah moden yang pertama yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Parsi.
    • Idea-idea falsafah Perancis dan metodologi mereka telah menjadi sukatan dalam kurikulum di universiti-universiti dan menjadi yang paling penting dalam pemodenan yang telah memberi kesan pada masa kini.
  1. India dan Pakistan
    • Falsafah Anglo-Saxon menjadi berpengaruh di pusat-pusat pendidikan. Khususnya Falsafah Inggeris pada abad ke 19.
    • Bahkan perhatian adalah terus kepada falsafah masakini iaitu logical positivism. Kebanyakkannya adalah menghadkan pada dunia percakapan Inggeris yang menjadi sumber tarikan kepada sebilangan ahli falsafah.
    • Pusat-pusat pendidikan ini adalah tidak mengetahui bahawa kebanyakkan Negara Islam ini adalah tidak begitu tersebar bahasa dan pengetahuan Inggeris.
  1. Negara-negara Arab
    • Pelajar-pelajar di hantar ke Jerman untuk belajar telah menjadi peyebar falsafah Jerman di Tanah Arab.
    • Ada juga yang lainnya telah menjadi peyebar falsafah Inggeris, Perancis, Amerika dan juga Rusia.
    • Pengaruh falsafah dari Barat ini telah melebihi batas masa dan ruang. Comte dan Spenser masih wujud sebagai yang terhebat walaupun telah lama terhenti sejak beberapa abad bahkan kini menjadi bertambah berjaya.
    • Muncul sekolah falsafah baru yang dikenali sebagai ‘misosophy’ iaitu mereka yang benci kepada falsafah.

Peringkat Kedua : Pertentangan

Syed Hussein Nasr juga menyatakan bahawa kemunculan aliran ‘misosophy’ ini adalah bertentangan dengan latar belakang kepelbagaian ahli falsafah Barat yang belajar di universiti-universiti dunia Islam. Kenyataan yang sering diabaikan ialah pusat-pusat pendidikan moden daripada tradisi intelektual Islam telah membentuk pemikiran Islam sejak empat belas abad yang lepas lagi. Pada ketika itu perpecahan hampir berlaku antara masyarakat Islam dengan bentuk baru kelas pendidikan terutamanya dalam aspek falsafah bahkan berlaku pertentangan yang hebat antara keduanya. Dalam hal ini, selalunya ia lebih cenderung terhadap pemikiran masyarakat umum dan kehidupan intelektual Islam. Idea ini adalah diimport dari luar yang mungkin terpedaya dan menyebabkan berlakunya penyimpangan.

Pada peringat ini, orang Islam telah membuat kajian tentang teori-teori dan cuba menutup cabaran-cabran dari Barat. Mereka juga membuat kajian perbandingan antara pemikiran Barat dan Islam serta mereka telah mula menjalankan pemikiran yang seimbang terhadap falsafah dan pemikiran Barat. Mereka telah menemui semula nilai keisamannya. Pada peringkat ini mereka mengharapkan akan memiliki apa yang telah dimiliki oleh Barat. Orang Islam telah mula melakukan pembaharuan dan juga pembaikan.

Menurutnya lagi bahawa dalam peringkat ini, kelas pendidikan Barat dalam dunia Islam yang menerima pengaruh dari Barat telah berakhir. Mereka lebih cenderung untuk belajar tentang falsafah Islam dan warisan intelektual mereka daripada para orientalis dan sumber dari benua Eropah yang lain. Mereka berkecenderungan untuk menggantikan zaman sejarah intelektual Islam dan kesan pengaruh dari Barat kepada kesemua sejarah intelektiual dunia Islam.


Peringkat Ketiga : Kebangkitan

Pada abad ke 7 H/ 13 M, hubungan intelektual antara Barat dan Timur telah berakhir. Sebelum itu, pelajar-pelajar falsafah Islam dari orientalis yang berpendidikan Barat yabng hanya bergantung kepada sumber Barat beranggapan bahawa enam atau tujuh abad sebelumnya tiada kehidupan intelektual dalam Islam dan orang Islam hanya cenderung untuk mengambil tradisi intelektual mereka daripada sejarah tamadun Barat.

Pada abad ini, para sarjana Barat cuba untuk menghidupkan semula intelektual dalam tamadun abad pertengahan dalam meletakkan kembali pusat pendidikan sebagai suatu institusi yang dihormati,ia tidak begitu mengikut prejudis Renaissance dan juga fasa Zaman Gelap pada abad ke 17 dan 18 M. Ahli Sejarah dan ahli Falsafah telah bangkit untuk menyedarkan bahawa ‘kegelapan’ telah menyediakan lebih daripada kejahilan daripada abad-abad yang berjaya berbanding Zaman Pertengahannya sendiri. Hasilnya ia bukan sahaja menghidupkan semula minat terhadap Falsafah Thomistic tetapi juga telah mengabadikan kerja-kerja dari hasil kajian seperti Gilson, Brehier, Duhem, Wolfson, de Wulf dan ramai lagi sarjana-sarjana lain yang telah membawa sinar kepada kehidupan yang penuh intelektual kepada abad Pertengahan Barat. Di sinilah bermulanya zaman falsafah Islam daripada al-Kindi hingga Ibn Rushd yang telah memainkan peranan yang penting dalam pembetukan Scholasticism dan pandangan-pandangan intelektual yang lain dalam dunia Latin.

Pada abad yang awal, para sarjana Barat yang serius telah membataskan diri mereka dalam membangunkan falsafah Islam adalah satu tindakan yang betul yang mana mereka lebih berminat terhadap tradisi intelektual Barat.Walaupun begitu, Islam telah memainan peranannya terhadap pembanguna falsafah Barat pada masa sebelum itu. Akan tetapi untuk mengatakan bahawa kehidupan intelektual Islam adalah dari pandangan mereka adalah betul-betul silap bagi umat Islam. Ini kerana:

1. matlamat mereka biasanya adalah belajar tamadun Islam dan bukan tamadun yang lain yang mana Islam begitu memberi kesan terhadap mereka.

2. Hasil dari kajian orientalis walaupun nilainya seakan sama tetapi ia takkan mempunyai makna yang sama antara orang Islam dan orang Barat.

Pengaruh pemikiran falsafah dan lain-lain ilmu Islam telah banyak mempengaruhi golongan intelektual Barat sehingga munculnya aliran Averroisme iaitu tokoh-tokoh pemikiran Barat Kristian yang terpengaruh dengan doktrin pemiiran falsafah Ibn Rushd.

Satu keadaan yang tidak sesuai dan perlu diperbetulkan dalam kebanyakkan sarjana-sarjana pendidikan Islam Barat ialah dalam masalah ‘ortodoks’ dan ‘heterodoks’. Perkara ini telah merosakkan seluruh struktur intelektual peradaban Islam. Pelajar-pelajar Islam Barat yang awal adalah ramai dari para pelatih mubaligh Kristian telah menyamakan Islam dengan Kristian Moden mereka. Hal ini telah mengakibatkan golongan Asha’irah dilabel sebagai ‘ortodoks’ manakala golongan sufi pula dilabel sebagai ‘heterodoks’. Dengan ini, semua peranan yang dimainkan oleh pelbagai sekolah fasafah dan teologi telah disalahfahamkan hasil daripada pengkategorian asing ini terhadap struktur Islam. Segala pandangan yang salah terhadap sejarah Intelektual Islam harus diperbetulkan penafsirannya samada berbentuk tulisan dan percakapan, yang mana masih wujud dalam proses kajian mereka.

Sikap simpati umat Islam telah menjadi penawar terhadap penyakit-penyakit ini. Ia telah menyebabkan sebahagian kajian falsafah Islam yang kurang lengkap menjadi lengkap dan menghasilkan penyelidikan yang lengkap berkenaan panorama kehidupan intelektual Islam. Sikap simpati dari umat Islam dan apa yang ada di dalam kajian terhadap perkara yang dikaji mendedahkan banyak perkara yang tersembunyi daripada kaedah yang objektif. Walaupun begitu kaedah ini menyekat pengetahuan akal terhadap pemikiran moden. Sebagaimana disebut sebelum ini bahawa falsafah Islam telah terhenti pada Ibn Rushd. Ini membuktikan dengan jelas dan nyata bahawa kesedaran falsafah Islam atau teologi Islam telah bermula dan tidak hanya terhenti pada abad ke 6 H / 12 M.

Tidak berapa lama selepas zaman Falsafah Peripatetic yang dibangunkan oleh al-Kindi, Farabi dan Ibn Sina, idea falsafah mereka ini telah diserang oleh golongan teologi sehingga idea ini terpaksa berpindah ke Andalus bersama-sama Ibn Tufayl, Ibn Bajjah dan Ibn Rushd. Idea ini telah menyeberangi sempadan benua India dan akhirnya muncul sekolah baru di Timur yang telah diasaskan oleh Syeikh al-Isyraqi iaitu Shihab al-Din Suhrawardi.

Kajian akhir pada fasa terakhir sejarah falsafah Islam ini telah memunculkan falsafah Peripatetic Kwajah Nasir al-Din Tusi iaitu yang telah mencapai makrifat fahaman Ibn ‘Arabi di Timur dan ia adalah campuran daripada prinsip-prinsip falsafah Peripatetic dan teologi Pencerahan (Ishraqi). Akhirnya sistesis utama daripada pelbagai pandangan intelektual dalam Islam dilakukan oleh Mir Damad dan Mulla Sadra iaitu sarjana Islam pada abad ke 11 H / 17 M. Mereka telah mencantumkan visi kerohanian dengan metafizik pencerahan terhadap makrifatullah, yang mana telah membuka lebaran baru dalam falsafah Islam sehingga membenarkan warisan intelektual ini bertahan lama walaupun berlaku kemerosotan pada hari kemudiannya.Pada abad ke 13 H / 19 M, sekolah Mulla Sadra yang diwarisi oleh Hajji Mulla Hadi Sabziwari telah berkembang di Parsi bahkan seluruh dunia Islam dan juga majoriti dunia.

Kajian yang lengkap terhadap sejarah intelektual Islam akan juga mendedahkan tradisi makrifat Islam yang mempengaruhi tanggapan metafizik secara dasarnya dan juga wujud sebagai tradisi kehidupan pada masa berikutnya. Ia juga menyenaraikan nama-nama ahli teologi yang penting pada zaman mutakhir ini dan juga cara mereka berhadapan dengan masalah-masalah khas dalam lapangan pengetahuan lainnya dan dalam perkara yang perlu mereka pertahankan prinsip-prinsip kebenaran dalam berhadapan pelbagai bentuk keraguan. Antara tokoh pentingnya ialah Shah Walialah dari Delhi iaitu ‘Abd al-Razzaq Lahiji.

Antara ciri penting falsafah Islam ialah menyatukan visi pelbagai perkara iaitu pandangan yang berkaitan dengan pelbagai pengetahuan. Sesungguhnya amat bahaya apabila memisahkan kecenderungan sains moden hanya di Barat bahkan ia boleh membawa kemusnahan kepada Islam itu sendiri yang mana antara tujuannya adalah membawa fahaman al-tauhid dan menerapkannya dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Sebenarnya terlalu banyak ciri falsafah dan latihan metafizik yang begitu bernilai untuk dibincangkan. Namun di sini memadailah untuk menyebutkan kesinambungan antara tradisi intelektual dalam Islam dari permulaan hingga ke masa kini. Sekiranya tradisi ini dilupakan ia bukanlah kerana ia tidak wujud akan tetapi lebih tepat lagi boleh disebut kerana kita tidak menghiraukan harta yang bernilai ini. Sekiranya falsafah moden sekarang disebarkan dalam dunia Islam oleh orang Islam sendiri maka pada ketika itu prinsip-prinsip kebijaksanaan Islam akan ditemui semula dan dapat menyelesaikan banyak masalah baru yang tidak lari dari prinsip-prinsip asasnya.

Sebenarnya, suasana tradisi pembelajaran intelektual Islam adalah mampu untuk membantu untuk mengembalikan prinsip tersebut yang mana ianya telah membuktikan akan kewujudan kita dan kehidupan kita yang penuh bermakna. Ia juga mampu menukar permainan akal pada hari ini yang berlindung atas nama falsafah kepada ‘love of Sophia or wisdom’ yang sebenarnya dan mencapai hakikat kebenarannya.

14 May 2007

Antara Realiti dan Fantasi 2

Allah Taala telah ciptakan manusia sebagai hamba yang taat kepada Nya.Itu adalah hakikat kejadian manusia yang perlu difahami oleh seluruh makhluk yang bernama manusia. Oleh hal demikian,telah nyata firman Allah Taala akan matlamat kejadian manusia adalah untuk beribadat kepada Nya. Dengan erti kata lain mestilah menjadi hamba yang sujud dan sembah kepada Nya tanpa sedikit pun bantahan kepada Nya. Akan hakikat itu jugalah, dinamakan jalan hidup yang mesti dilalui oleh manusia untuk sampai kepada Nya itu dengan dinamakan sebagai Islam. Islam ialah satu jalan yang diredhai oleh Allah yang semestinya dilalui oleh semua makhluk samada yang berada di langit ataupun bumi,jin mahupun manusia.Sesuailah dengan perkataan Islam itu sendiri yang membawa erti taat dan patuh iaitu taat kepada Allah dan patuh kepada segala suruhan dan tegahan Nya.Seorang Islam yang taat dan patuh secara mutlak kepada Allah inilah yang dinamakan sebagai orang yang beriman iaitu mukmin.

Namun begitu, jika masih ada di kalangan hamba Allah yang tidak dapat mengikuti jalan yang yang direntangkannya ini yang sememangnya satu jalan yang sesuai dengan fitrah semua kejadian alam ini maka ia dinamakan sebagai kufur yakni orang yang mengingkari suruhan dan tegahan Allah secara sedar ataupun tidak sedar. Di sinilah terlihatnya perbezaan yang nyata antara seorang hamba Allah yang taat sepenuhnya kepada Nya dan yang mengingkari Nya.Telah nyata perbezaan antara kilauan berlian dan sirnanya kaca juga telah nyata sucinya air dan kotornya dakwat. Maka di sinilah terlihatnya perbezaan antara realiti dan fantasi.

Satu realiti bahawa orang mukmin itu berjalan diatas jalan yang diredhai Allah dan orang kufur itu berjalan di atas jalan yang tidak diredhai Allah. Satu realiti bahawa orang mukmin itu berada di jalan yang cerah lagi terang manakala orang kufur itu berada di jalan yang gelap lagi gelita. Satu realiti bahawa orang mukmin itu pasti akan mendiami syurga dan orang yang kufur pula pasti akan menempah api neraka...maka telah nyatalah antara realiti dan fantasi.

08 May 2007

Antara Realiti dan Fantasi


Kadang-kala sesuatu itu senang untuk dimengertikan, namun bukan semua. Kadang-kala keinginan itu lebih senang diikuti, namun bukan semua. Kadang-kala senyum itu tanda kegembiraan, namun bukan semua. Kadang-kala berkata itu senang, namun bukan semua. Kadang-kala elok wajah itu tanda luhur budi, namun bukan semua...yang pasti kita dinilai pada suatu realiti bukan pada satu fantasi.

13 October 2006

Sebelum Terlambat

Debar hatiku semakin bergelora. Aku tak tahu mengapa. Semakin hari semakin debar hati ini. Oh, dunia sememangnya begitu. Tak pernah adil. Mengapa aku yang menjadi mangsa? Ya, Allah! Jauhilah aku dari fitnah dunia.Aku tak mampu untuk menanggungnya. Kau peliharalah hati ini dari segala sifat tercela. Kau hidupkanlah hati ini dengan kalimah zikir Mu. Aku begitu gelisah dan derita saat ini. Aku tak tahu lagi yang mana jalan hidayah Mu. Aku keliru ya Allah!

Ah, sungguh haus rasanya. mencekik-cekik tekakku. Mengapa rasa mencucuk-cucuk tekakku ini ya Allah? Berduri dan berbulu rasanya. Apa yang telah aku telan? Pedihnya tak terucap kata-kata. Tak pernahku rasakan saat seperti ini. Aku makin derita saat ini. Ah, panas! Panaas!

Mataku kini seakan berbalam-balam. Berpinar dan kelabu. Aku tak kenal lagi antara warna hitam dan putih. Oh, sungguh seksa rasanya. Betulkah apa yang aku lihat ini? Kenapa warna hitam yang menyelubungi? Kemana hilangnya warna putih? mana perginya pancaran terik mentari? Aku tak nampak apa-apa sekarang ya Allah!Di mana aku sekarang ya Allah? di manaaa???

Ucaplah Laa Ilaaha Illallah.... Ah, ah! Aku tidak tahuuuuu..