09 November 2008

Ya, Rabb!


Ya, Rabb!
Ku seru namaMu,

Ku rindukan kedekatan denganMu,
Kerana jiwaku kegersangan,

Dari menyebut namaMu,

campaklah kembali taqarrubku padaMu,
Keranaku pujangga cintaMu..

04 November 2008

Tokku Pulau Manis

Nama Tokku Pulau Manis sememangnya telah begitu masyhur di kalangan penduduk Terengganu sebagai seorang ulama dan juga pejuang tanah air pada waktu penjajahan British dahulu. Namun begitu, tidak ramai yang mengenali susur galur dan juga sejarah hidup ulama Melayu ini.Nama beliau yang sebenar ialah Shaikh Abdul Malik bin Abdullah. Shaikh Abdul Malik adalah berasal dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang merupakan seorang raja di Baghdad. Kemudian beliau telah merantau ke Terengganu dan menjadi pemerintah di Terengganu yang dikenali dengan Kerajaan Temir.


Pada tahun 1650, Shaikh Abdul Malik telah dilahirkan di Kampung Pauh, Kuala Berang. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu. Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah s.a.w.

Kehidupan Shaikh Abdul Malik di istana adalah juga merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya dan melakukan ibadat. Hasil dari Sifat-sifatnya yang mulia dan daya intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan kepimpinan.

Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik, dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya.

Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan juga ulama tempatan, Shaikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar ke Aceh bersama dengan sahabat-sahbatnya. Di sana, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok Shaikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.

Apabila Shaikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaicah oleh Shaikh Abdul Malik dengan tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga muridnya yang lain iaitu Shaikh Yusuf Khalawati al-Mankatsi dari Bugis Mekasar, Shaikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Shaikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai beberapa maqam padanya. Akhirnya, Shaikh Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di Terengganu apabila pulang ke negerinya.

Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Shaikh Abdul Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu, Shaikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di Mekah, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah seorang darinya ialah Shaikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Shaikh cAbdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Shaikh Ahmad Qusyasyi.

Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Shaikh Ibrahim al-Kurani telah kembali ke RahmatuLlah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syarif Abdul Malik kembali ke tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Shaikh Abdul Malik telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya makin hampir.

Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya telah menjodohkan Shaikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya telah menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila.

Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.

Setelah ayahandanya mangkat, Shaikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk. Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk mencari pengganti dirinya.

Setelah itu, Shaikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun takhta dan menggantikannya dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Shaikh Abdul Malik. Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Shaikh Abdul Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah di Terengganu.

Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan tarekat Shatariah. Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Shaikh tarekat Shatariah dan telah diizinkan untuk membaicah dan membimbing suluk para muridnya.

Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya, murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.

Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M/ 1149 H, Tok Pulau Manis telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya disembahyangkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makan dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan Zainal cAbidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan diletakkan batu ’bereluk’ di sekelilingnya. Makamnya juga hendaklah ditutupi dengan kain kelambu berwarna kuning.



*Sumber:
Manaqib Syeikh Abdul Malik Abdullah (Tokku Pulau Manis) oleh Syeikh Ibrahim Mohamad

01 November 2008

Ujian sebagai bukti cinta Allah


"Apa matlamat hidup kamu?"

"mendapat mardhatillah." Itulah rata-rata jawapan akan kita terima apabila kita bertanya kepada sesiapa sahaja yang ada kesedaran agama.

Tapi adakah semudah ungkapan yang kita lafazkan itu untuk mendapat keredhaan Allah Taala?

Maaf, ada syaratnya untuk kita raih redha Allah Taala. Ia tidak semudah ungkapan di bibir sahaja. Ia seumpama orang bercinta bahkan apabila kita bercinta dengan Allah maka lebih-lebih lagi tuntutan yang perlu laksanakan.

Ujian dalam hidup merupakan sebahagian dari tanda untuk kita meraih cinta Allah. Tentu kita pernah menguji pasangan hidup kita apabila ingin mengetahui pasangan hidup kita itu ada perasaan cinta atau tidak kepada kita bukan? Begitu juga Allah yang Maha Mengetahui amatlah lagi perlu untuk menguji hambaNya untuk melihat sejauhmana hambaNya itu cinta kepadaNya. Dia menguji kita bukan sekadar kerana kita ada berbuat salah atau kita jauh dariNya tetapi adalah kerana tanda cintaNya kepada kita. Sungguh beruntung orang yang mendapat ujian dari Allah. Setiap masa Allah mengingatinya dan melafazkan perasaan cintaNya kepada mereka.

Bacalah lafaz cinta Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2. "Adakah kamu mengira kamu dibiarkan sahaja untuk mengatakan 'aku telah beriman' sedangkan kamu tidak diuji?"

Kalau tidak cukup dengan itu bacalah pula warkah cintaNya dalam surah al-Hujurat ayat 14 "Orang-orang Arab Badwi itu berkata; 'Kami telah beriman.'Katakanlah ( kepada mereka ); 'kamu belum beriman, tetapi katakanlah 'kamilah telah tunduk'. Kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu. dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun ( pahala ) amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

SambungNya lagi dalam ayat ke 15 "Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu..."

Dengarlah pula ungkapan cinta dari si kekasih yang bernama Syeikh Abdul Qadir Jailani kepada kekasihnya itu, "Tiada yang membezakan seorang wali itu dengan manusia lain dari segi amalnya, tetapi yang membezakannya ialah mereka memiliki kekuatan jiwa yang hebat dalam menghadapi segala musibah."

Berkata pula seorang ulama tasawuf dalam meraih cinta Allah, "Keimanan seseorang bukannya boleh diukur dengan ibadah luaran tetapi lihatlah bagaimana ubudiyahnya dalam menghadapi ujian Allah SWT."

Nah, tidak rasakah kita bahawa ujian itu sebagai ungkapan cinta dari Allah kepada kita? kenapa hendak mengeluh lagi? mencari kekuatan? Tidak cukupkah kekuatan yang datang dari Allah? Ya, memang diakui sebagai manusia tidak lepas dari sifat lemah dan kekurangan dan perlukan seseorang sebagai teman.Namun ingatlah, kerana cinta Allah kepada kita lah diberiNya sifat lemah dan kekurangan itu kepada kita supaya kita rapat dan terus dekat kepadaNya. Itulah satu bukti cintaNya kepada kita. Kita tersilap langkah jika manusia dijadikan tempat meluah 'nikmat' cinta yang Allah kurniakan itu. Cukuplah manusia itu sebagai asbab untuk lebih dekat kepada Allah bukannya untuk berlaku curang dengan Allah.

Kita terus renunglah lafaz cinta Allah kepada kita dengan sedalam-dalamnya dalam surah at-Thalaq ayat 2-3 "...dan sesiapa yang bertaqawa kepada Allah ( dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan nbaginya jalan keluar ( dari segala perkara yang menyusahkan), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan ( ingatlah ), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya ( untuk menolong dan menyelamatkannya)..."

Dan sesunggunya aku begitu cemburu kepada kaum wanita kerana mereka begitu senang untuk mengeluarkan titisan air mata apatah lagi untuk menumpahkannya di pangkuan Allah Taala. Sedangkan aku begitu keras hati ini untuk menumpahkannya walaupun hanya untuk setitis air mata apatah lagi dalam meraih cinta Allah itu.

27 October 2008

kita dan mereka


Prap pang
kotak sepi pecah seketika
kembali tenang bila hilang suara rasa
hanya menunggu kotak sepi pecah lagi
suara rasa akan bergema kembali

Ah,
kenapa kita mudah lupa?
adakah deria kita tidak sekuat mereka
apa beza kita dan mereka?
sama-sama makhluk Yang Maha Kuasa

Prap pang
kotak sepi kembali pecah
suara rasa kita dah berubah
tapi hanya lama seberapa ketika
itupun kerana habuan besar yang diterima

Ah,
itukah kita?
berubah kerana mendapat laba
begitukah nilai harga kita?
boleh dirunding dan dikira

Bedebum
kotak sepi pecah seribu
suara rasa dah bergema segenap penjuru
kepala pun dipijak
malu pun terpajak
mereka hanya mencebik melalak

sendiri mau rasa
untung ikan timbul seketika

23 October 2008

Terimalah Aku Ya Allah...


Salam kasih dan salam rindu kepada semua. Gerak hati ini terasa begitu kuat untuk menyambung kembali penulisan di blog ini setelah sekian lama menyepi dari menyapa minda semua. Desir angin kerinduan terasa menyapa halus di sudut rasa qalbu maknawi ini. Entah mengapa jari-jemari ini begitu liat untuk bermesra dengan papan kekunci kesayangan ini sejak sekian lama. Mungkin hati ini yang tidak keruan beberapa waktu dan mungkin juga masa yang begitu dimanjai oleh nafsu hingga kemalasan sangat untuk mengatur gerak tari jari jemari ini. Entahlah....

Namun, aku gagahi kembali untuk mengatur susun eja bicara sepi ini sebagai permula langkahku yang seterusnya dalam menggarap idea-idea yang sekian lama terperap dalam kotak memori ini. Mengatur kembali sisa-sisa hidup yang entah sampai bila akan berakhir. Esok, lusa, bulan depan, tahun depan atau sekerdip mata dari sekarang. Pelbagai rasa yang menghantui kini. Sesekali Aku merenung kembali gerak laku, butir bicara dan diam rasa yang telah ku ukir dalam sejarah hidupku dulu. Bermanfaat atau berlaku fasad pada dunia yang ku huni ini. Gentar sekali hati ini bila tergiang-giang kalimah Tuhan Yang Maha Kuasa di corong telingan lembut ini.

"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab segala yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia."

Ah, Tuhan! Ampunkanlah dosa hambamu ini di saat hamba kelupaan dan tidak berpengetahuan. Mungkin ada tanganku yang telah menoda dunia indahMu ini tanpa aku sedari. Mungkin juga ada salah bicaraku yang menguris hati kecil kehidupan ciptaanMu tanpa ku mengerti. Mungkin sekali ada keluhku yang merumitkan zikirku terhadapMu. Ampunkanlah Aku ya Allah!

Baru kini aku sedar bahawa firmanMu tersurat hakikat dan sabda RasulMu juga tersirat makrifat. Ada hikmah yang perlu dicedok melalui pengalaman dan juga sakinah yang boleh kukecap melalui penghayatan. Dosaku yang dulu bukan sekadar satu kesilapan dan kesalahan di sebalik sifat kelemahan seorang hamba yang serba ketidak cukupan dan kekurangan. Bahkan juga satu tahap ingatan dan juga inzar dari Engkau Yang Maha Pemaaf dan Maha Bengis. Satu ingatan tentang tercelanya setiap calit dosa dan satu inzar tentang jijiknya setiap titik mungkar. Tiada satu dosa pun yang terlepas dari pengetahuanMu dan tiada satu mungkar pun yang terlindung dari pandanganMu. Engakaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat. Aku juga masih tergiang FirmanMu ya Allah yang pernah ku baca :

"Allah tidak menganiaya terhadap mereka, tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri."
( al-Nahl : 33 )

Begitu pedih terasa ulu hati ini. Menusuk hingga ke tulang sum sum. Sudah berbuih-buih dosaku dalam hayatku sesingkat ini. Namun, alasan Allah Maha Pengasih sering mengabui minda tanpa sedar ini. "Pintu taubat masih terbuka luas untuk aku yang masih di usia muda ini" antara kalimah yang sering hadir dalam masa aku memujuk hati agar redha dengan maksiat yang aku lakukan itu. Ah, sungguh dayus aku terhadapMu ya Allah.

"Ya, Allah, Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau murkai apabila kami terlupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Janganlah Engkau bebankan kepada kami sesuatu yang kami tidak terdaya memikulmya. Dan maafkanlah kesalahan-kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."
( al-Baqarah : 286 )

Ya, Allah! masih adakah ruang taubat untukku di sisi Mu. Masih adakah sedikit waktu untukku kembali kepada Mu. Aku tidak ingin lagi mengulangi noda hanyir itu. Tidak bisa lagi aku menghidu bau busuk bangkai dosa yang terhijab itu. Jangan biarkan nanah itu makin membukam. Biarlah sisa waktu hidupku ini terisi dengan taat padaMu. Tanpa sebarang balasan ku pinta dari Mu ya Allah. Hanya sedikit perhatian yang ku harapkan dari Mu agar dapat ku susuri jalan-jalan berliku ini dalam awasanMu. Cukuplah Engakau sebagai peneman kembara panjangku ini dalam mendaki gunung-gunung cubaan dan mengharungi lautan ujian. Izinkan juga aku tersenyum puas dalam menghirup secangkir redhaMu di kala melepas lelah di hujung nikmat usia kurniaanMu ini. Ya Allah, Semoga nafas usiaku ini diseru dalam kasih dan rahimMu.

"Segala puji dan syukur bagi Allah yang telah membimbing ke arah itu. Padahal kami tidak sesekali akan memperoleh petunjuk kalaulah Allah tidak memimpin kami (dengan taufuqNya)."
( al-A'raf : 43 )