20 September 2010

Noktah itu satu permulaan

Salam kelahiran untuk semua umat Islam untuk kesekian kalinya. Setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan puasa akhirnya kita kembali menjadi fitrah putih bersih. Suci dari dosa dan noda. Dengan jiwa baru dan misi baru untuk kehidupan yang mendatang.
Inilah hebatnya Islam yang begitu menjiwai kemulusan ciptaan makhluk bernama manusia. Makhluk yang sentiasa lupa dan leka terhadap amalan dan perbuatannya sendiri. Makhluk yang sentiasa melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Makhluk yang mempunyai seribu satu kelemahan dan kekurangan. Namun, makhluk ini juga lah yang diangkat oleh Allah sebagai makhluk terbaik ciptaanNya. Mahkluk yang mengatasi kesempurnaan malaikat dan kehebatan syaitan. Makhluk yang penuh kesederhaaan antara malaikat dan syaitan ini dinobatkan oleh Allah sebagai makhluk yang sebaik-baik kejadian ( at-Tin:4 ). Akan tetapi,kita juga jangan lupa bahawa pangkat yang diberikan ini tidak menjaminkan apa-apa sekiranya kita terus-menerus bergelumbang dengan kelemahan dan kekurangan itu tanpa sedikit perasaan menyesali dan bertaubat atasnya. Andai kita merasakan 'kelebihan' itu sebagai satu tiket untuk terus bermaksiat kepada Allah, maka neraka jahanam lah jawapan kembali untuk kita ( at-Tin: 5 ).
Ingatlah, setiap berakhirnya titik noktah, pasti selepasnya akan bermula ayat baru yang akan menyambung ayat sebelumnya sehinga selesai sebuah karya si pengarang. Setiap ayat demi ayat yang disambung pasti ada ditengahnya tiitk-titik noktah yang melengkapkan sebuah karya ciptaannya. Yakinlah, titik noktah yang kita alami sekarang ini bukanlah titik noktah yang mengakhir sebuah karya kehidupan kita. Ia hanya satu titik penyambung antara ayat-ayat kehidupan yang kita tempuhi di alam ini. Sematkan dalam hati; "Setiap noktah pasti ada permulaan selepasnya."

01 March 2010

Rasulullah ya Habiballah



Rasulullah
Engkaulah kekasih Allah
Mengecap bahagia bersama si DIA
Memadu cinta dalam ketaatan
Mengabdi kasih dengan penuh kepayahan

Rasulullah
Engkau dicerca hina hanya kerana di DIA
Engkau tersiksa jiwa sebabnya si DIA
Engkau terguris luka semuanya untuk si DIA
Siapakah kekasih yang lebih hebat dari engkau ya Habiballah?

Rasulullah
Engkau bercinta dengan hati tulus suci
Mengasih hanya dengan jiwa untuk meberi
Menyayangi bukan untuk disayangi
Tapi apakah mungkin tidak dimuliai jika senubari setulus ini?

Rasulullah
Dimanakah akan dicari galang ganti
Insan semulia dirimu yang semithli
Tiada gambaran kata yang mampu aku hayati
Tiada ucapan berbunga yang melunak sanubari
Untuk setiap respon cintamu padaNya yang Maha Mencintai


Yang Terbaik

Entah
Aku tidak tahu
Apa yang terbaik
Siapa yang terbaik
Dimana yang terbaik
Entah
semua itu aku tidak tahu

Aku hanya mencoret kanvas kehidupan
dengan hitam putih duniaku
kekadang sedikit hijau,merah, biru dalam sedar dan tidak sedar
tapi aku tidak menyesal dengan warna-warna kehidupan itu
tiada yang silap
bahkan aku rasa aku bahagia

Adakah bahagia itu yang terbaik?
Entah
Aku tidak tahu

17 November 2009

Hanya kenang-kenangan


Andai ditanya zaman manakah yang engkau rindui? Pastinya pelbagai jawapan yang kita terima.
"Oh, mestilah zaman sekolah." Itu jawapan bagi orang yang merindui saat remajanya. Pelbagai episod keriangan dan keseronokan yang pasti meleret seribu kumtum senyum di hari tua. Teringat saat dikejar guru disiplin kerana hisap rokok di belakang bangunan sekolah. Teringat juga saat melayan perasaan cinta monyet bercanda di kantin sekolah. Mungkin juga kenangan yang menggelikan hati apabila 'dibuli' mencium pokok di depan asrama kerana bersikap kurang ajar dengan senior.

"Mestilah zaman bujang beb!" Itu pula reaksi spontan dari orang merindui satu kebebasan; penuh keseronokan apatah lagi tiadanya tanggungjawab terhadap keluarga. Melepak di Gerai 'Mak Janda' atau kedai Mamak sambil menghisap rokok bersama kawan-kawan. Kadang-kala menonton perlawanan Liga Bola sepak Inggeris sampai dinihari tiba. Sesekali membelai perasaan di persisir pantai atau jeram bersama teman-teman sekepala.

"Ana merindui zaman universiti." ini pula luahan rasa dari graduan universiti yang menggelarkan dirinya pejuang gerakan Islam, kerana di sinilah bermulanya langkah pertama perjuangannya. Bermulanya era kemanisan tautan ukhwah dalam dirinya. Merasai nilai setitik pedih dan luka bersama-sama. Nasi sepinggan dikongsi ramai, apatah lagi nasi setalam yang menjadi santapan setiap hari bersama. Berhadapan dengan HEP mempertahankan hak mahasiswa juga bersama-sama. Mungkin yang lebih indah apabila terkenangkan saat mengikuti siri-siri demostrasi di tengah kota Kuala Lumpur. Antara takut dan harap saling mengisi ruang di dada; takut ditangkap pihak universiti dan harap program berjalan dengan lancar dan mencapai misi.

" Ustaz, kita ni dah salah konsep la ustaz." Antara butir kata sahabat apabila teringatkan 'khauf' dan 'raja'' dalam saranan al-Quran sambil tersengih. Saya seakan mengiya kata-katanya dengan turut tersengih.


"Hanya kenang-kenangan," Itu pula kata Pak HAMKA dalam karyanya Tasawuf Moden dalam membicara perihal kehidupan.



Pesta Konvokesyen UKM ke-28




02 November 2009

Doa untukmu 'Wira Merah'


Alhamdulillah, syukur sangat akhirnya negeriku yang tercinta layak ke peringkat akhir Piala Malaysia setelah hampir 40 tahun kempunan. Nampaknya kepimpinan di bawah presiden baru KAFA yang bernama Tan Sri Anuar Musa ini amat berbeza sekali. Dibawah asuhan Butler yang lepas, Kelantan berjaya ke peringkat akhir Piala FA dan kali ini di bawah bimbingan B. Satianathan pula Kelantan berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia. Seakan memberi mesej bahawa kepimpinan Tan Sri Anuar Musa amat sesuai sekali dalam bidang sukan dan bukannya dalam bidang politik Kelantan.

Walau apapun, seribu doa dipanjatkan agar pasukan 'Wira Merah' ini dapat menjulang trofi Piala Malaysia nanti. Semua rakyat Kelantan sudah semestinya mendoakan agar kejayaan akan bersama pasukan negeri yang tercinta ini tanpa mengira fahaman politik. Itulah rakyat Kelantan.. Berikan kami sekuntum lagi senyuman pada 7 November ini wahai wiraku..

28 October 2009

Mencari Watak Tun Perak

Babak 1

Hang Jebat memulakan bicara setelah ditendang oleh Hang Tuah ke sudut dinding, "Tuah, dalam firasatku, selagi keris Taming Sari ini ada di tangan ku, kau takkan dapat membunuh aku. Jauhlah kau dari pintu, biar aku keluar mengamuk, membunuh segala pengkhianat-pengkhianat itu, Tuah."

"Jebat, kau adalah sebagai saudaraku, Jebat. Tapi maksud mu tak dapat lah aku membenarkannya. Aku terpaksa menjalan titah Tuanku untuk membuang kau Jebat." Hang Tuah menjawab penuh nilai kasih sayang dan persaudaraan serta dipadukannya dengan nilai ketaatan dan kesetiaan pada raja tanpa berbelah bagi.



Babak 2

Setelah beberapa ketika saling bertikam keris, Hang Jebat berhenti seketika dan terus berbicara kepada Hang Tuah."Nampaknya sungguh-sungguh benar kau nak membunuh aku, ya? Nah, ambil keris ni. Apa yang kau bimbangkan lagi, Tuah? Aku rela mati di tangan kau. Beri keris kau itu padaku. Ya, mari kita bertikam buat penghabisan bagiku. Patah sayap bertongkat paruh, namun gunung ku daki, ku daki juga." Hang Jebat mencampakkan keris Taming Sari kepada Hang Tuah. terlihat jelas nilai persaudaraan disatukannya dengan nilai pengorbanan.


Mungkin semua masih ingat dialog yang dipaparkan ini, Hang Tuah versi P. Ramlee. Tanpa sedar kita telah menjadikan watak Hang Tuah dan Hang Jebat ini sebagai ikon kita. Ada yang kata, "Akulah Hang Tuah, Langkah mayat ku dulu. Berilah kercayaan kepada pimpinan." Namun, tidak kurang yang berwatakkan Hang Jebat dalam membela kebenaran. " Raja Adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah" menjadi prinsip pegangan dalam menzahirkan hasrat keresahan. Siapa pun kita, di mana pun kita. Hatta watak apa pun yang kita imejkan pada diri kita. Semuanya bertolak pada titik nilai kehidupan.


Watak Hang Tuah

Bagi pencinta kesejahteraan, perpaduan, keharmonian dan semangat persaudaraan menjadikan watak Hang Tuah begitu sinonim denganya. Mereka rela dianggap pengecut, penakut, bodoh dan sebagainya demi sebuah kesejahteraan. Bagi mereka, apa pun tindakan biarlah berlapik dengan adab dan akhlak. Sejauhmana salah dan silap pimpinan selagi tidak berlanggar dengan hukum syariat, meraka akan cuba menyelesaikannya dengan kaedah yang beradab dan beretika. lembut dan sopan. Itu menjadi inti prinsip mereka. Asas kepada saranan berakhlak dalam al-Quran dan Hadis menjadi kekuatan pendirian mereka.



Watak Hang Jebat

Namun, watak Hang Jebat tidak seperti itu. salah tetap salah, tidak kira siapa yang melakukannya. Tindakan dan hukuman tidak memilih jawatan atau kedudukan. Keadilan dan kebenaran mesti diletakkan dihadapan. Selagi tindakan masih dalam konteks syariat dan tidak mendatangkan dosa, itulah pilihan yang mereka akan lakukan. Menyalahi adab tidak bermakna mereka tidak berakhlak. Rakaman sirah para sahabat yang ditegur di khayalak awam menjadi sandaran hujah membenarkan tindakan mereka.


Watak Tun Perak

Namun, adakah kita lupa pada watak Tun Perak waktu itu? Bukankah Tun perak yang memperkenalkan mereka pada sultan? Bukankah Tun Perak juga yang telah sembunyikan Hang Tuah dari menjatuhkan hukum kepadanya? Bukankah Tun Perak juga yang mencadangkan pada sultan supaya memberikanTaming Sari kepada Hang Jebat? Bukankah Tun Perak yang mencadangkan kepada sultan supaya Hang Tuah menjadi ketua rombongan untuk melamar Puteri Gunung Ledang?

Itulah Tun Perak.satu watak yang bijak menangani suasana. Bukan seperti Hang Tuah yang setia membuta. Bukan juga seperti Hang Jebat yang berani semborono.Tapi sayang, tidak ramai yang ingin berwatakkan Tun Perak. Seorang bendahara yang setia tapi kritis. Seorang bendahara yang berani tapi berwaspada. Itulah dia Tun Perak..satu watak yang jarang ada pada insan yang menggelarkan diri sebagai pejuang kehidupan dan kematian sekarang..

20 October 2009

Biarkan Aku Melangkah


Align CenterBiarkan derap tapak ini melangkah
Jangan dihalang walau senafas

Biarkan derap tapak ini melangkah
Menjangkau kemuncak yang teratas


Aku akan terus melangkah setia

Biarpun rebah akan aku menjengah semula

Biarpun tertiarap akan aku mendongak jua
Aku pasti akan melangkah jaya


Duri atau kemucup di hadapan

Akan aku hayun hingga bersua Yang Terulung

Sungai atau gunung di seberang

Akan aku rentas hingga kalamNya terus disanjung

Biarkan aku terus melangkah
Selama-lamanya tidak akan aku mengalah