05 April 2008

Ajaran Batiniyah


Sejarah kemunculan al-Batiniyah

Disebutkan bahawa gerakan fahaman al-Batiniyah telah mula muncul pada zaman khalifah al-Abbasiyah iaitu pada zaman al-Ma’mun ( 198H ), kemudian mula tersebar pada zaman al’Mu'tasim ( 218H ) dan antara orang yang terpengaruh dengannya termasuklah ketua tentera al-Mu’tasim. Mengikut sesetengah ulama, gerakan al-Batiniyah diasaskan oleh sekumpulan orang termasuklah Maimun bin Daishan yang lebih dikenali dengan panggilan al-Qaddah dan Muhammad bin al-Husain yang digelar Dindan. Orang ini merancang dakwah mereka di dalam penjara Gabenor Iraq dan apabila mereka dibebaskan, mereka mula menyebarkannya dari kawasan yang dikenali sebagai Dindan.

Gerakan ini giat bergerak dan beredar dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain di kota-kota negara Islam di Asia Barat pada ketika itu. Maka banyaklah orang yang berpengaruh dengannya lebih-lebih lagi orang Syiah. Ini kerana ajaran Syiah dan ajaran al-Batiniyah pada asalnya adalah mempunyai persamaan dari satu segi iaitu dari segi ‘takwilan’. Setelah Maimun bin Dishan berpindah ke arah Barat, dakwahnya disahut pula oleh puak al-Rafidah, al-Hululiyah dan orang awam yang dangkal ilmunya.

Dalam pada itu muncul pendakwah al-Batiniyah, Hamdan Qirtmith dan dia disebut oleh sesetengah ahli sejarah sebagai salah seorang pengasas utama golongan al-Batiniyah. Menurut al-Maqrizi ketika mencatatkan bahawa “Puak Qaramithah dikaitkan dengan Hamdan al’Ats‘ats yang terkenal dengan panggilan Qaramith. Kemunculannya bermula pada tahun 204 H di kawasan Kufah. Fahaman puak ini dan fahamannya yang mereka namakan dengan nama ilmu kebatinan.”

Disebabkan mereka suka berpindah-pindah tempatnya maka pengikut ajaran ini dikenali dengan pelbagai nama antaranya ialah :

1) Iraq – al-Batiniyah, al-Qaramithah

2) Khurasan – al-Ta’limah, al-Mulahidah, al-Maimuniyah

3) Mesir – al-‘Ubaidiyah

4) Syam – al-Nusairiyah, al-Duruz

5) Palestin – al-Bahaiyah

6) India – Al-Buhrah, al-Ismailiyah

7) Kurdi – al-Alawiyah

8) Turki – al-Badasyiyah, al-Qazlabasyiyah

9) ‘Ajam – al-Bahaiyah

10) Yaman – al-Yamiyyah ( Abdul Fatah Haron 2003 : 45 )

Pada masa sekarang gerakan Batiniyah yang jelas kelihatan bertapak dan terkenal ialah seperti pua Druz di Lubnan dan Syria, puak al-Ismailiyah dan Buhrah di India dan Afrika Timur dan bermacam-macam lagi.


Asas Ajaran al-Batiniyah

Oleh kerana ajaran al-Batiniyah ini bersifat global dan juga mempunyai pelbagai nama. Maka amat perlu bagi kita untuk mengetahui bentuk-bentuk ajaran yang dibawa oleh golongan al-Batiniyah ini supaya ia tidak menular dalam masyarakat Islam khususnya tanpa disedari. Menurut imam al-Ghazali bahawa ajaran al-Batiniyah ini boleh dijelaskan sebagaimana berikut:

1) Berkenaan Ketuhanan

Mereka percaya dua tuhan yang qadim tanpa didahului zaman. Tetapi tuhan pertama dinamakan al-Sabiq ( Yang Dahulu ) dan ‘Illah bagi wujudnya tuhan kedua yang dinamakan al-Tali ( Yang Beriringan ). Al-Sabiq inilah yang menjadikan alam dengan perantaraan al-Tali. Tuhan pertama dinamakan ‘Aql dan yang kedua dinamakan Nafs, atau mungkin juga mereka namakan Qalam dan Lauh. Tuhan pertama iaitu al-Sabiq tidak boleh disifatkan dengan sebarang sifat. Tidak boleh disifatkan dengan وجود ataupun عدم. Tidak boleh dinafi dan tidak boleh diisbat. Ia tidak bersifat dan juga bukan tidak bersifat. Tidak bernama dengan sebarang nama. Jika diperhatikan bahawa tujuan mereka ini tidak lain daripada hendak menafikan wujud-Nya Allah Taala kerana al-Sabiq dan al-Tali itu tidak lain daripada alihan nama Ahriman dan Ormuzd, dualisme Tuhan Gelap dan Tuhan Cahaya yang berasal daripada ajaran Zoroaster.

2) Berkenaan Alam

Mereka mengatakan alam ini qadim kerana daripada al-Sabiq lahirnya al-Tali. Pencipta pertama yang melahirkan Nafs keseluruhan yang bahagian-bahagian daripada keseluruhan ini terletak dalam benda-benda yang bersusun. Daripada gerakan Nafs ini lahirnya panas, daripada diamnya Nafs lahirnya sejuk. Daripada sejuk dan panas terjadinya lembab dan kering. Daripada suhu yang empat unsur ini terjadinya galian, tumbuhan, haiwan dan insan.

3) Berkenaan Nabi

Mereka beri’tiqad bahawa Nabi hampir sama dengan falasifah. Nabi itu tidak lagi daripada seseorang yang dianugerah oleh al-Sabiq melalui al-Tali, satu daya suci yang bersedia boleh diukir apabila berhubung dengan Nafs al-Kulliyah yang memang ada hubungan dengan juzi’iyyat. Ini samalah seperti orang yang bersih dapat melihat dalam mimpi apa yang yang akan berlaku. Hanya bezanya nabi itu boleh melihat pada waktu jaga. Mereka mengatakan setiap zaman ada imam maksum yang sama tarafnya dengan Nabi, hanya ia tidak menerima wahyu. Imam inilah yang boleh mentakwilkan segala zahir daripada ayat al-Quran, Hadith dan segala yang yang lain. Bagi tiap-tiap Imam itu tentulah ada dua belas hujah yang tersebar ke segenap pelusuk negeri.

4) Berkenaan Kiamat

Golongan ini menafikan hari kiamat kerana bagi mereka Tuhan itu tidak bodoh membuat dunia dan alam yang begini cantik dan teratur kemudian memusnahkannya. Mereka takwilkan kiamat itu dengan tanda kedatangan imam. Mereka juga mengingkari dan juga mentakwilkan ma’ad seperti mahsyar, bangkit dari kubur, syurga dan neraka.

5) Berkenaan Taklif Syara’

Golongan ini juga mengingkari adanya hukum taklif yang lima iaitu wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Mereka mengatakan semuanya adalah harus semuanya. Sekiranya hendak ikut syara’, mereka mengatakan hanya perlu merujuk kepada Imam bukannya syafie, atau Hanafi kerana baginya hanya imam yang tahu akan batin atau isi zahir syara’. ( Abdul Fatah Haron 2003 : 50 )




Dua jenis Takwilan

Takwilan Zahir Syara’

Setiap perkara zahir ada batin, dan tiap-tiap tanzil ( ayat yang diturunkan ) ada takwil. Bagi mereka juga setiap taklif zahir syara’ dan perkara sam’iyat hanyalah simbol kepada batin ( isi ).

Takwilan Bilangan dan Susunan Huruf

Mereka menyebut bahawa setiap benda yang berbilang dan setiap huruf yang tesusun ada ertinya. ( Abdul Fatah Haron 2003 : 52 )



Matlamat al-Batiniyah

Terdapat beberapa matlamat yang dikesan hasil dari penulisan beberapa orang tokoh ulama yang terkemuka:

1) Menghalang Syariat Islam

Menurut Dr. Sabir Tah’imah yang dipetik dari kitab al-Aqaid al-Batiniyah telah berkata “Matlamat sebenar pergerakan puak al-Batiniyah adalah untuk menghalang syariat Islam dan menghapusan perlaksanaannya yang sebenar.”

2) Menghapuskan Aqidah orang Islam

Menurut pengarang kitab al-‘Aqidah al-Islamiyah ialah “tujuan mereka menanamkan fahaman bahawa al-Quran dan sunnah Nabi mengandungi zahir dan batin adalah untuk menghapuskan orang Islam daripada semua aqidah mereka dan daripada asas-asas agama mereka kerana jika betul bahawa bagi setiap yang zahir itu ada batinnya dan yang batin ini pula merupakan inti sebenar, maka seseorang yang telah mengetahui yang batin ini tidak lagi memerlukan yang zahirnya.”

3) Membatalkan Syariat Islam

Daripada kitab Kashsyaf Istilahat al-Funun memetik kata-kata daripada at-Tahanawi iaitu “Dasar dakwah mereka untuk membatalkan syariat kerana golongan al-Ghibariyah iaitu satu golongan Majusi telah membuat pelbagai takwilan berdasarkan bentuk yang sama dengan kaedah datuk nenek mereka agar yang demikian membawa pertelingkahan dalam Islam.” ( Awang Suhaili 2003 : 84 )



Ciri-ciri Dakwah al-Batiniyah

Dalam kitab Fadaih al-Batiniyah karangan Imam a-Ghazali dan Kasf al-Asrar al-Batiniyah karangan Muhammad bin Malik al-Yamani bahawa terdapat lapan atau sembilan langkah yang dilakukan oleh penyebar Batiniyah bagi memikat mangsanya iaitu :

1) al-Tafarrus

semtiasa mengintai keadaan orang yag akan diperangkap oleh mereka dan melihat perubahan orang berkenaan kepada kejahatan sehinggalah mengikut anggapan mereka apabila orang berkenaan mula menunjukkan tanda-tanda mahu menyahut seruan, orang tersebut mula didekati secara serius. Motif ini adalah bertujuan untuk mengetahui samada seseorang iu boleh menerima fahaman mereka atau tidak. Justeru, nereka tidak berdawah di dalam rumah yang ada ulama fiqh dan ulama tauhid.

2) al-Ta’nis

Usaha memujuk dengan lemah lembut termasulah dengan memuji-muji kecenderungan orang yang diseru.

3) Al-Tasykik

Usaha menimbulkan perasaan ragu terhadap fahaman yang sedia ada seperti mengemukakan pelbagai pertanyaan tertentu kepada orang awam, khususnya yang berkaitan dengan asas-asas syarak.

4) al-Ta’liq

Menggantung jawapan kepada orang yang ditanya. Sekiranya orang yang ditanya tidak dapat menjawab, mereka akan menangguhkan jawapan tersebut agar orang yang ditanya tetap dalam keraguan dan ingin berhubungan dengan mereka.

5) Al-Rabth

Bererti membuat ikatan iaitu mengadakan ikatan atau perjanjian dengan orang yang diseru dengan pelbagai sumpah berat seperti menceraikan isteri, bernazar, membuang semua harta dan jangan sesekali membuka rahsia kepada orang lain.

6) Al-Tadlis

Iaitu mencurahkan ilmu al-Batiniyah kepada orang yang diseru secara beransur-ansur agar orang itu tidak terkejut dan tidak sedar bahawa ia sedang diperangkap dan diperbodoh-bodohkan, ia juga dengan memaklumkan bahawa ulama-ulama besar telah menyetujui fahaman mereka.

7) Al-Ta’sisi atau al-Talbis

Iaitu usaha mengasuh dan menjadikan orang yang diseru yakin bahawa syariat itu mempunyai zahir dan batin. Zahirnya merupakan kulit yang hanya perlu bagi orang awam dan batinnya pula merupakan isi yang hanya dapat diketahui menerusi ketua-ketua yang terpilih.

8) Al-Khala’ dan al-Salakh min al-Din

Iaitu usaha penyeru meyakinkan yang diseru agar hanya berpegang kepada batin saja, ertinya apabila telah mengetahui yang batin maka yang zahir tidak perlu dilakukan dan gugurlah kewajipan melakukan amalan yang zahir serta boleh melakukan perkara yang diharamkan.

9) Al-Insilakh min al-Din Kullih

Iaitu usaha menjadikan seseorang yang diseru agar tidak lagi mengamalkan semua amalan yang zahir yang disyariatkan oleh agama dan ia tidak lagi terikat dengan mana-mana hukum syariat dan tarafnya telah sampai ke taraf kebebasan serta menafikan semua ajaran dan hukum syarak.

21 comments:

  1. Terima kasih . Info yang sangat bagus.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dgn info ini..

    ReplyDelete
  3. apakah antara pandangan sesat Syiah Batiniah.

    ReplyDelete