17 November 2009

Hanya kenang-kenangan


Andai ditanya zaman manakah yang engkau rindui? Pastinya pelbagai jawapan yang kita terima.
"Oh, mestilah zaman sekolah." Itu jawapan bagi orang yang merindui saat remajanya. Pelbagai episod keriangan dan keseronokan yang pasti meleret seribu kumtum senyum di hari tua. Teringat saat dikejar guru disiplin kerana hisap rokok di belakang bangunan sekolah. Teringat juga saat melayan perasaan cinta monyet bercanda di kantin sekolah. Mungkin juga kenangan yang menggelikan hati apabila 'dibuli' mencium pokok di depan asrama kerana bersikap kurang ajar dengan senior.

"Mestilah zaman bujang beb!" Itu pula reaksi spontan dari orang merindui satu kebebasan; penuh keseronokan apatah lagi tiadanya tanggungjawab terhadap keluarga. Melepak di Gerai 'Mak Janda' atau kedai Mamak sambil menghisap rokok bersama kawan-kawan. Kadang-kala menonton perlawanan Liga Bola sepak Inggeris sampai dinihari tiba. Sesekali membelai perasaan di persisir pantai atau jeram bersama teman-teman sekepala.

"Ana merindui zaman universiti." ini pula luahan rasa dari graduan universiti yang menggelarkan dirinya pejuang gerakan Islam, kerana di sinilah bermulanya langkah pertama perjuangannya. Bermulanya era kemanisan tautan ukhwah dalam dirinya. Merasai nilai setitik pedih dan luka bersama-sama. Nasi sepinggan dikongsi ramai, apatah lagi nasi setalam yang menjadi santapan setiap hari bersama. Berhadapan dengan HEP mempertahankan hak mahasiswa juga bersama-sama. Mungkin yang lebih indah apabila terkenangkan saat mengikuti siri-siri demostrasi di tengah kota Kuala Lumpur. Antara takut dan harap saling mengisi ruang di dada; takut ditangkap pihak universiti dan harap program berjalan dengan lancar dan mencapai misi.

" Ustaz, kita ni dah salah konsep la ustaz." Antara butir kata sahabat apabila teringatkan 'khauf' dan 'raja'' dalam saranan al-Quran sambil tersengih. Saya seakan mengiya kata-katanya dengan turut tersengih.


"Hanya kenang-kenangan," Itu pula kata Pak HAMKA dalam karyanya Tasawuf Moden dalam membicara perihal kehidupan.



Pesta Konvokesyen UKM ke-28




02 November 2009

Doa untukmu 'Wira Merah'


Alhamdulillah, syukur sangat akhirnya negeriku yang tercinta layak ke peringkat akhir Piala Malaysia setelah hampir 40 tahun kempunan. Nampaknya kepimpinan di bawah presiden baru KAFA yang bernama Tan Sri Anuar Musa ini amat berbeza sekali. Dibawah asuhan Butler yang lepas, Kelantan berjaya ke peringkat akhir Piala FA dan kali ini di bawah bimbingan B. Satianathan pula Kelantan berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia. Seakan memberi mesej bahawa kepimpinan Tan Sri Anuar Musa amat sesuai sekali dalam bidang sukan dan bukannya dalam bidang politik Kelantan.

Walau apapun, seribu doa dipanjatkan agar pasukan 'Wira Merah' ini dapat menjulang trofi Piala Malaysia nanti. Semua rakyat Kelantan sudah semestinya mendoakan agar kejayaan akan bersama pasukan negeri yang tercinta ini tanpa mengira fahaman politik. Itulah rakyat Kelantan.. Berikan kami sekuntum lagi senyuman pada 7 November ini wahai wiraku..