15 January 2008

Sedikit Tentang Falsafah Islam


Sebelum lahirnya falsafah Islam, telah wujud beberapa pemikiran falsafah samada di Timur ( Cina dan India) dan Barat ( Greek ). Dalam persoalan falsafah Islam ini unsur utama yang menjadi perbincangan adalah Greek. Ianya muncul sekitar 500 tahun sebelum Nabi Isa a.s dilahirkan. Ahli-ahli falsafah Greek seperti Socrates , Aristotle dan Plato telah berfikir secara sistematik dan ilmiah serta cuba membebaskan dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Oleh itu mereka sebagai pelopor dalam pemikiran intelektual telah memberi takrifan tersendiri mengenai falsafah. Menurut Plato falsafah ialah bermaksud mengetahui perkara-perkara azali. Manakala menurut Aristotle pula falsafah bermaksud satu kajian mengenai prinsip dan dasar utama untuk sampai kepada tahap sebab utama.

Falsafah Moden Barat adalah falsafah yang wujud di Barat selepas lumpuhnya falsafah skolastik di Abad Pertengahan, Zaman Kegelapan dan Zaman Kebangkitan. Perkataan Moden yang menjadi sifat kepada falsafah ini membawa erti bahawa falsafah yang menunjangi perkembangannya ialah falsafah berorientasikan pemikiran baru yang timbul di Barat setelah masyarakat Barat terdedah kepada elemen-elemen baru akibat kesedaran mereka akan kewujudan mereka di dunia ini.

Dalam penulisan Syed Hussein Nasr ini pula, beliau seolah menyatakan bahawa suasana pembelajaran falsafah Islam pada hari ini telah melalui beberapa peringkat perkembangan iaitu peringkat pertama ialah peringkat kejutan, peringkat kedua ialah peringkat pertentangan dan peringkat ketiga pula adalah peringkat kebangkitan hasil dari pertembungan dengan idea falsafah Moden Barat ini.


Peringkat Pertama : Kejutan

Dalam peringkat pertama ini, umat Islam telah mengalami kejutan dalam kehidupan dan pemikiran mereka. Mereka mengalami krisis kepercayaan dalam diri dan warisan budaya mereka sendiri, berlaku kegoncangan dan menjadi medan pertentangan di dunia Islam juga pada ketika itu telah menempatkan Islam sebagai golongan yang tertuduh dan akhirnya menyebabkan berlaku kekalahan dalam diri mereka dan sanggup menerima apa sahaja alternatif dari pihak Barat.

Menurut beliau, idea falsafah yang asal yang dibangunkan di Barat telah dipelajari dengan penuh minat secara dekat di mana-mana penjuru dunia Islam pada hari ini terutamanya di pusat-pusat pendidikan dan universiti. Mereka mengajar secara tetap di kelas-kelas yang menyebabkan ramai daripada orang Islam yang belajar di situ yang keluar dari sistem pendidikan moden lebih mengenali para tokoh falsafah Eropah berbanding kebanyakkan para sarjana Muslim yang terkenal.

Bagaimanapun, keadaan ini tersebar luas adalah hasil kesan daripada ahli falsafah Eropah terhadap pusat-pusat pendidikan di dalam dunia Islam yang menyebabkan ia menjadi jauh dari kesesuaiannya. Perselisihan, kepelbagaian dan pertentangan adalah sifat yang menyelubungi tamadun Eropah Moden terutamanya terhadap bidang falsafah. Ia adalah hasil daripada pemodenan Barat. Di sini seolah-olah sejarah tersebut menjadi bentuk idea falsafah dalam dunia Islam.

Sebagaimana diketahui di Eropah yang umumnya adalah anti-tradisional dan cenderung terhadap rasionalistik. Ini adalah kerana manifestasi dari negara bangsa berdekatan yang telah mengekalkan cara dan gaya mereka yang tersendiri seperti bangsa Perancis, Inggeris, Jerman dan bangsa-bangsa lain ( Syed Hussein Nasr, 145 ).

1. Perancis

- Ahli Falsafah Perancis semenjak dari Descartes yang terkenal dengan ‘geometri’ dan bersikap pemikiran yang bersih telah digambarkan dalam bentuk bahasa mereka.

2. Inggeris

- Mereka adalah cenderung terhadap Empiricism dan memandang sinis terhadap metodologi yang keras yang telah ditemui dalam falsafah benua Eropah.

3. Jerman

- Mereka adalah yang paling banyak bermetodologi dan bersistematik dalam
kebanyakkan bangsa Eropah. Mereka menjaga kecenderungannya secara keterlaluan terhadap pandangan dunianya bukan sahaja dalam aspek bahasa mereka tetapi juga dalam aspek, musik, kesusasteraaan dan falsafah.

Barat telah menjalankan dasar menjajah ke beberapa buah Negara Islam di Asia Barat dan di Timur juga termasuk di kepulauan Melayu. Walaupun gerakan menjajah ini dimulai sebelum lahirnya Zaman Moden, tetapi perkembangan seterusnya iaitu abad-abad Zaman Moden telah menyaksikan pengaliran pengaruh pemikiran Barat ke dalam masyarakat dan tamadun tanah jajahan mereka. Perkara ini dilakukan secara terang-terangan melalui polisi penjajahan mereka atau dilakukan secara halus melalui sistem politik, pendidikan dan sosial yang direncana mereka. Dengan demikian, sikap dan cara berfikir golongan intelektual Barat di awal zaman Moden sangat mengesani corak pentadbiran di tanah jajahan mereka. Ideologi politik, polisi pendidikan dan sosial sangat dipengaruhi oeh falsafah mereka secara keseluruhannya.

Menurut beliau juga bahawa terdapat beberapa elemen yang menentukan pembelajaran falsafah Islam di dunia Islam. Di sini saya telah merumuskan beberapa Negara yang telah disebut oleh beliau yang megalami suasana pembelajaran tersebut:

  1. Parsi
    • pada abad yang lepas, Perancis telah menjadi bangsa Eropah yang berpengaruh yang paling menonjol. Karya Descartes yang bertajuk “Discourse on Method” telah menjadi hasil kerja falsafah moden yang pertama yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Parsi.
    • Idea-idea falsafah Perancis dan metodologi mereka telah menjadi sukatan dalam kurikulum di universiti-universiti dan menjadi yang paling penting dalam pemodenan yang telah memberi kesan pada masa kini.
  1. India dan Pakistan
    • Falsafah Anglo-Saxon menjadi berpengaruh di pusat-pusat pendidikan. Khususnya Falsafah Inggeris pada abad ke 19.
    • Bahkan perhatian adalah terus kepada falsafah masakini iaitu logical positivism. Kebanyakkannya adalah menghadkan pada dunia percakapan Inggeris yang menjadi sumber tarikan kepada sebilangan ahli falsafah.
    • Pusat-pusat pendidikan ini adalah tidak mengetahui bahawa kebanyakkan Negara Islam ini adalah tidak begitu tersebar bahasa dan pengetahuan Inggeris.
  1. Negara-negara Arab
    • Pelajar-pelajar di hantar ke Jerman untuk belajar telah menjadi peyebar falsafah Jerman di Tanah Arab.
    • Ada juga yang lainnya telah menjadi peyebar falsafah Inggeris, Perancis, Amerika dan juga Rusia.
    • Pengaruh falsafah dari Barat ini telah melebihi batas masa dan ruang. Comte dan Spenser masih wujud sebagai yang terhebat walaupun telah lama terhenti sejak beberapa abad bahkan kini menjadi bertambah berjaya.
    • Muncul sekolah falsafah baru yang dikenali sebagai ‘misosophy’ iaitu mereka yang benci kepada falsafah.

Peringkat Kedua : Pertentangan

Syed Hussein Nasr juga menyatakan bahawa kemunculan aliran ‘misosophy’ ini adalah bertentangan dengan latar belakang kepelbagaian ahli falsafah Barat yang belajar di universiti-universiti dunia Islam. Kenyataan yang sering diabaikan ialah pusat-pusat pendidikan moden daripada tradisi intelektual Islam telah membentuk pemikiran Islam sejak empat belas abad yang lepas lagi. Pada ketika itu perpecahan hampir berlaku antara masyarakat Islam dengan bentuk baru kelas pendidikan terutamanya dalam aspek falsafah bahkan berlaku pertentangan yang hebat antara keduanya. Dalam hal ini, selalunya ia lebih cenderung terhadap pemikiran masyarakat umum dan kehidupan intelektual Islam. Idea ini adalah diimport dari luar yang mungkin terpedaya dan menyebabkan berlakunya penyimpangan.

Pada peringat ini, orang Islam telah membuat kajian tentang teori-teori dan cuba menutup cabaran-cabran dari Barat. Mereka juga membuat kajian perbandingan antara pemikiran Barat dan Islam serta mereka telah mula menjalankan pemikiran yang seimbang terhadap falsafah dan pemikiran Barat. Mereka telah menemui semula nilai keisamannya. Pada peringkat ini mereka mengharapkan akan memiliki apa yang telah dimiliki oleh Barat. Orang Islam telah mula melakukan pembaharuan dan juga pembaikan.

Menurutnya lagi bahawa dalam peringkat ini, kelas pendidikan Barat dalam dunia Islam yang menerima pengaruh dari Barat telah berakhir. Mereka lebih cenderung untuk belajar tentang falsafah Islam dan warisan intelektual mereka daripada para orientalis dan sumber dari benua Eropah yang lain. Mereka berkecenderungan untuk menggantikan zaman sejarah intelektual Islam dan kesan pengaruh dari Barat kepada kesemua sejarah intelektiual dunia Islam.


Peringkat Ketiga : Kebangkitan

Pada abad ke 7 H/ 13 M, hubungan intelektual antara Barat dan Timur telah berakhir. Sebelum itu, pelajar-pelajar falsafah Islam dari orientalis yang berpendidikan Barat yabng hanya bergantung kepada sumber Barat beranggapan bahawa enam atau tujuh abad sebelumnya tiada kehidupan intelektual dalam Islam dan orang Islam hanya cenderung untuk mengambil tradisi intelektual mereka daripada sejarah tamadun Barat.

Pada abad ini, para sarjana Barat cuba untuk menghidupkan semula intelektual dalam tamadun abad pertengahan dalam meletakkan kembali pusat pendidikan sebagai suatu institusi yang dihormati,ia tidak begitu mengikut prejudis Renaissance dan juga fasa Zaman Gelap pada abad ke 17 dan 18 M. Ahli Sejarah dan ahli Falsafah telah bangkit untuk menyedarkan bahawa ‘kegelapan’ telah menyediakan lebih daripada kejahilan daripada abad-abad yang berjaya berbanding Zaman Pertengahannya sendiri. Hasilnya ia bukan sahaja menghidupkan semula minat terhadap Falsafah Thomistic tetapi juga telah mengabadikan kerja-kerja dari hasil kajian seperti Gilson, Brehier, Duhem, Wolfson, de Wulf dan ramai lagi sarjana-sarjana lain yang telah membawa sinar kepada kehidupan yang penuh intelektual kepada abad Pertengahan Barat. Di sinilah bermulanya zaman falsafah Islam daripada al-Kindi hingga Ibn Rushd yang telah memainkan peranan yang penting dalam pembetukan Scholasticism dan pandangan-pandangan intelektual yang lain dalam dunia Latin.

Pada abad yang awal, para sarjana Barat yang serius telah membataskan diri mereka dalam membangunkan falsafah Islam adalah satu tindakan yang betul yang mana mereka lebih berminat terhadap tradisi intelektual Barat.Walaupun begitu, Islam telah memainan peranannya terhadap pembanguna falsafah Barat pada masa sebelum itu. Akan tetapi untuk mengatakan bahawa kehidupan intelektual Islam adalah dari pandangan mereka adalah betul-betul silap bagi umat Islam. Ini kerana:

1. matlamat mereka biasanya adalah belajar tamadun Islam dan bukan tamadun yang lain yang mana Islam begitu memberi kesan terhadap mereka.

2. Hasil dari kajian orientalis walaupun nilainya seakan sama tetapi ia takkan mempunyai makna yang sama antara orang Islam dan orang Barat.

Pengaruh pemikiran falsafah dan lain-lain ilmu Islam telah banyak mempengaruhi golongan intelektual Barat sehingga munculnya aliran Averroisme iaitu tokoh-tokoh pemikiran Barat Kristian yang terpengaruh dengan doktrin pemiiran falsafah Ibn Rushd.

Satu keadaan yang tidak sesuai dan perlu diperbetulkan dalam kebanyakkan sarjana-sarjana pendidikan Islam Barat ialah dalam masalah ‘ortodoks’ dan ‘heterodoks’. Perkara ini telah merosakkan seluruh struktur intelektual peradaban Islam. Pelajar-pelajar Islam Barat yang awal adalah ramai dari para pelatih mubaligh Kristian telah menyamakan Islam dengan Kristian Moden mereka. Hal ini telah mengakibatkan golongan Asha’irah dilabel sebagai ‘ortodoks’ manakala golongan sufi pula dilabel sebagai ‘heterodoks’. Dengan ini, semua peranan yang dimainkan oleh pelbagai sekolah fasafah dan teologi telah disalahfahamkan hasil daripada pengkategorian asing ini terhadap struktur Islam. Segala pandangan yang salah terhadap sejarah Intelektual Islam harus diperbetulkan penafsirannya samada berbentuk tulisan dan percakapan, yang mana masih wujud dalam proses kajian mereka.

Sikap simpati umat Islam telah menjadi penawar terhadap penyakit-penyakit ini. Ia telah menyebabkan sebahagian kajian falsafah Islam yang kurang lengkap menjadi lengkap dan menghasilkan penyelidikan yang lengkap berkenaan panorama kehidupan intelektual Islam. Sikap simpati dari umat Islam dan apa yang ada di dalam kajian terhadap perkara yang dikaji mendedahkan banyak perkara yang tersembunyi daripada kaedah yang objektif. Walaupun begitu kaedah ini menyekat pengetahuan akal terhadap pemikiran moden. Sebagaimana disebut sebelum ini bahawa falsafah Islam telah terhenti pada Ibn Rushd. Ini membuktikan dengan jelas dan nyata bahawa kesedaran falsafah Islam atau teologi Islam telah bermula dan tidak hanya terhenti pada abad ke 6 H / 12 M.

Tidak berapa lama selepas zaman Falsafah Peripatetic yang dibangunkan oleh al-Kindi, Farabi dan Ibn Sina, idea falsafah mereka ini telah diserang oleh golongan teologi sehingga idea ini terpaksa berpindah ke Andalus bersama-sama Ibn Tufayl, Ibn Bajjah dan Ibn Rushd. Idea ini telah menyeberangi sempadan benua India dan akhirnya muncul sekolah baru di Timur yang telah diasaskan oleh Syeikh al-Isyraqi iaitu Shihab al-Din Suhrawardi.

Kajian akhir pada fasa terakhir sejarah falsafah Islam ini telah memunculkan falsafah Peripatetic Kwajah Nasir al-Din Tusi iaitu yang telah mencapai makrifat fahaman Ibn ‘Arabi di Timur dan ia adalah campuran daripada prinsip-prinsip falsafah Peripatetic dan teologi Pencerahan (Ishraqi). Akhirnya sistesis utama daripada pelbagai pandangan intelektual dalam Islam dilakukan oleh Mir Damad dan Mulla Sadra iaitu sarjana Islam pada abad ke 11 H / 17 M. Mereka telah mencantumkan visi kerohanian dengan metafizik pencerahan terhadap makrifatullah, yang mana telah membuka lebaran baru dalam falsafah Islam sehingga membenarkan warisan intelektual ini bertahan lama walaupun berlaku kemerosotan pada hari kemudiannya.Pada abad ke 13 H / 19 M, sekolah Mulla Sadra yang diwarisi oleh Hajji Mulla Hadi Sabziwari telah berkembang di Parsi bahkan seluruh dunia Islam dan juga majoriti dunia.

Kajian yang lengkap terhadap sejarah intelektual Islam akan juga mendedahkan tradisi makrifat Islam yang mempengaruhi tanggapan metafizik secara dasarnya dan juga wujud sebagai tradisi kehidupan pada masa berikutnya. Ia juga menyenaraikan nama-nama ahli teologi yang penting pada zaman mutakhir ini dan juga cara mereka berhadapan dengan masalah-masalah khas dalam lapangan pengetahuan lainnya dan dalam perkara yang perlu mereka pertahankan prinsip-prinsip kebenaran dalam berhadapan pelbagai bentuk keraguan. Antara tokoh pentingnya ialah Shah Walialah dari Delhi iaitu ‘Abd al-Razzaq Lahiji.

Antara ciri penting falsafah Islam ialah menyatukan visi pelbagai perkara iaitu pandangan yang berkaitan dengan pelbagai pengetahuan. Sesungguhnya amat bahaya apabila memisahkan kecenderungan sains moden hanya di Barat bahkan ia boleh membawa kemusnahan kepada Islam itu sendiri yang mana antara tujuannya adalah membawa fahaman al-tauhid dan menerapkannya dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Sebenarnya terlalu banyak ciri falsafah dan latihan metafizik yang begitu bernilai untuk dibincangkan. Namun di sini memadailah untuk menyebutkan kesinambungan antara tradisi intelektual dalam Islam dari permulaan hingga ke masa kini. Sekiranya tradisi ini dilupakan ia bukanlah kerana ia tidak wujud akan tetapi lebih tepat lagi boleh disebut kerana kita tidak menghiraukan harta yang bernilai ini. Sekiranya falsafah moden sekarang disebarkan dalam dunia Islam oleh orang Islam sendiri maka pada ketika itu prinsip-prinsip kebijaksanaan Islam akan ditemui semula dan dapat menyelesaikan banyak masalah baru yang tidak lari dari prinsip-prinsip asasnya.

Sebenarnya, suasana tradisi pembelajaran intelektual Islam adalah mampu untuk membantu untuk mengembalikan prinsip tersebut yang mana ianya telah membuktikan akan kewujudan kita dan kehidupan kita yang penuh bermakna. Ia juga mampu menukar permainan akal pada hari ini yang berlindung atas nama falsafah kepada ‘love of Sophia or wisdom’ yang sebenarnya dan mencapai hakikat kebenarannya.

No comments:

Post a Comment