15 February 2009
Indahnya Ujian
Apabila kita diuji jangan mudah mengeji atau menghina diri. Apatah lagi memandang jelik dan pelik pada segala ketentuan Ilahi. Ada hikmah yang tersembunyi di serata ketentuanNya andai kita mengerti. Lihatlah dengan mata hati, renunglah dengan akal maknawi pasti kita akan bertambah reti.
Jangan dibiar resah membawa gelisah, gelisah membawa gelabah, gelabah kian parah, parah apabila hati sudah bernanah. Semua derita dipandang puaka dan semua angkara dinisbah pada nista dan dusta. Bisikan iblis juga yang meraja di segenap urat dan di setiap darah, yang binasa adalah kita yang hilang pertimbangan waras. Janganlah kita sentiasa berandaian salah…
“Seandainya aku melakukan begini dan begini, nescaya akan begini dan begini. Akan tetapi katakanlah : Semua yang telah ditaqdirkan dan dikehendaki Allah pasti terjadi.” ( al-Hadis )
Letakkan kata sakti kalimah suci di tempat yang tertinggi. Rasailah setiap ungkapan kata dengan hati yang tulus suci. Tiada yang agung melainkanMu Ya Rabbi. Tuhan yang disembah dan ditaati. Raja yang memiliki Singgahsana seluas pandangan hakiki dan maknawi. Tidak terhitung nikmat yang telah Engkau beri, walaupun diambil dakwat sebanyak tujuh lautan pun masih tidak mencukupi.
“…sekiranya kamu menghitung nikmat kurnia Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya…” (Ibrahim : 34 )
Jika sekelumit ujian ini mampu kita harungi, nescaya beribu nikmat lagi akan kita perolehi. Berbekalkan kesabaran yang sejati, nikmat dan anugerah Ilahi tidak akan menysul pergi. Jangan tertipu pada ungkapan kata ‘Sabar ada hadnya’. Ia hanya mainan mulut manusia biasa, bukan kalimah dari Yang Esa dan juga bukan dari hadis junjungan kita. Kerana madu dari kesabaran itu tidak terkecap manisnya.
“Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kamu kerana kamu telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubaanNya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan.” ( Ar-Ra’d : 24 )
Pandanglah setiap ujian sebagai satu peluang untuk terus berbakti kepada Rabbu Izzati. Kita akan rasa disitulah janji Tuhan untuk bersama mukmin sejati. Cuba kita genggam ungkapan keramat “salamun ‘alaikum bima shabartum ( keselamatan atasmu berkat kesabaranmu )” penuh kejap dan tekad, pasti keramat taqwa datang menempel dekat. Apakah ada lagi yang lebih hebat dari menjadi seorang yang bertaqwa pada Zat yang kekal dan Tiada cacat?
“..Cukuplah Allah bagi kita dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung.” ( Ali ‘Imran : 173 )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment