15 September 2009

Berbeza itu satu kehebatan


Salam motivasi tauhid..
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya miliki dari sudut yang sedikit berbeza dari kebiasaan penyampaian para 'ustaz'. Ingatlah, berbeza bukan bermakna satu kekurangan pada seseorang tapi satu kelebihan. Bahkan ia akan menjadi satu kehebatan bagi pemilik 'majazi' tersebut.

Masih ingatkah kita pada satu hadis Rasulullah SAW yang berbunyi
" Sesungguhnya Islam itu ganjil dan beruntunglah orang-orang yang ganjil." Dalam kalimah yang digunakan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda itu adalah perkataan 'gharib'. Menurut makna harfiah ia bermaksud asing, dagang dan ganjil. Tidakkah perkataan itu seerti dengan perkataan berbeza,berlainan dan pelik yang sering kita gunakan dalam percakapan harian kita? Nah, apa yang kita risaukan lagi? kita telah mendapat pengiktirafan dari Baginda Rasulullah SAW.

Satu lagi sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi berbunyi
"Sesungguhnya Allah itu 'al-witr' dan ia suka kepada 'al-witr'". Tengok, Allah sendiri menyukai orang - orang yang ganjil. Tidakkah kita merasa hebat kerana berbeza daripada orang lain? Tidakkah kita merasakan ia juga satu pengiktirafan daripada Allah Taala. Jadi, kenapa kita mesti merasa rendah diri kerana berbeza dengan orang lain. tunjukkan pada orang lain bahawa kita berbeza kerana kita seorang yang hebat. Tunjukkan pada dunia bahawa kita berbeza kita permata yang sukar di cari di dunia ini.

Namun begitu, sahabat - sahabat..
Janganlah kita mencipta keganjilan dan kelainan yang tidak diiktiraf oleh syariat Allah Taala. Bertindak ganjillah dalam lingkaran syariat Allah. Itu formula penting yang mesti kita ketahui. Insyaallah, setiap yang kita perbuat akan ada hasilnya.Untuk akhirnya, renungkanlah satu firman Allah ini,
"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai penghiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya." ( al-Kahfi : 7)

No comments:

Post a Comment