Terkesima aku seketika apabila aku didakwa sebagai orang yang ta’sub kepada fahaman As-Asyairah gara-gara aku bercadang ingin membuat kajian ilmiah MA ku berkenaan tajuk sebegitu. Aku sedikit kaget bercampur keliru dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang kawanku itu. Aku juga tertanya-tanya sendirian dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu, samada ia betul-betul bermaksud demikian atau sekadar satu gurauan semata. Aku tidak hairan sekiranya ia sekadar gurauan kerana aku tahu sahabatku yang seorang ini memang suka megusik orang. Namun, dalam hal ini sedikit kesilapan jika ia juga dianggap satu gurauan. Ini kerana ia adalah persoalan akidah. Walaupun ia bukan perkara usul dalam akidah bahkan hanya masalah cabang dari persoalan akidah, namun ia satu perkara yang sentitif pada masyarakat Islam sekarang terutama di rantau nusantara ini. Bagi aku, perkara cabang yang telah menjadi sensitif pada pandangan masyarakat maka tidak usahlah dipanjangkan sangat. Banyak lagi persoalan usul dalam akidah yang perlu diambil berat oleh sekelian umat Islam.
Sebenarnya aku berasa sedikit kagum dengan umat Islam sekarang yang sudah ada kesedaran untuk menyatakan pendirian Islam dengan mengemukan sebarang hujah berdasarkan al-Quran mahupun al-Hadis. Namun begitu, aku berasa sedikit gusar dengan fenomena ini kerana bimbang ia akan menyampaikan maklumat yang silap dan tersasar dari maksud sebenar ajaran Islam yang murni ini. Mereka mungkin bermaksud ingin meyebarkan ajaran Islam yang praktikal ini namun disebabkan kekurangan ilmu yang ada pada mereka menyebabkan berlaku sedikit kesilapan dalam meyampaikan dakwah Islam ini. Aku tidaklah bermaksud ingin mematahkan semangat mana-mana individu yang suka meyampaikan dakwah Islam ini tetapi sekadar peringatan bersama agar tidak berlaku kesilapan maksud pada intipati Islam itu sendiri.Ya, memang betul Rasulullah SAW bersabda bahawa
“sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat”.
Tetapi kita juga jangan lupa pada satu lagi sabda Baginda SAW iaitu
“sesiapa yang berlaku dusta padaku, maka neraka jahanam adalah lebih utama baginya”.
Aku juga yakin, kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad ini pasti beriman dengan kedua-dua hadis ini.Oleh itu, sama-samalah kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik untuk Islam.
No comments:
Post a Comment