Hari ini saya beli dua buah buku ; Magnet Diri Cipta Pengaruh Luar Biasa dan Berjaya karya Amin Idris. Satu lagi bertajuk Catatan Kanvas Kehidupan hasil tulisan Us. Riduan Mohamad Nor. kedua-duanya perlu dihabiskan dalam masa seminggu ini.
Sejak akhir-akhir ini memang saya kurang baca buku. Hari inilah saya kembali mendapat momentum baru untuk membaca setelah sekian lamanya terhenti. Dua buah buku ini pun memang telah lama saya impikan untuk dijadikan koleksi peribadi saya tapi baru hari ini tercapai hasrat tersebut. Tup,tup tengok ada di MPH bookstores di Alamanda Putrajaya terus saja saya beli.
Selepas solat Maghrib tadi terus sahaja saya menyambar buku Magnet Diri. Baca dua, tiga bab tutup sekejap. Kemudian ambil pula buku Us. Riduan. Masih berkira-kira yang mana mahu dihabiskan terlebih dahulu. Tabiat saya baca buku memang begini, baca ikut mood. Sebab tu lah apabila saya membeli buku mesti lebih dari dua buah buku. Biasanya dalam kategori yang berbeza. Buku yang selalu menjadi pilihan saya ialah agama, pengurusan diri, motivasi, sejarah dan politik gerakan Islam. Kadang-kadang tu ada juga membeli buku dari jenis lain seperti novel-novel yang maskulin dan aksi. Namun, novel jenis itu hanya sekadar bacaan pinggiran sahaja. Sudah kurang berminat berbanding pada awal usia meniti kedewasaan dahulu. Novel-novel sekarang terlalu banyak aspek cintan-cintun. Semasa saya pusing-pusing di MPH tadi pun banyak novel-novel cintan-cintun saja. Segan pula nak berada lama-lama di situ.
Hmm..walau apapun, amalan membaca buku mesti menjadi satu tabiat kepada rakyat Malaysia. Barulah hasrat untuk menghasilkan rakyat berfikiran kelas pertama akan terhasil. Itulah acuan yang ingin dibentuk mengikut hasrat kerajaan kita. Tapi apa yang lebih penting adalah atas kesedaran diri kita sendiri kerana membaca ini adalah satu pelaburan untuk masa depan. Akhir sekali, sambutlah motivasi pertama dari al-Quran untuk umat Islam ini:
"Bacaalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq: Ayat 1-5)
No comments:
Post a Comment