29 November 2006

asal - usul Mu'tazilah


Daripada analisis sejarah daripada ulama dulu hingga kini, mereka bersepakat menyatakan bahawa golongan ini muncul pada masa pemerintahan Bani Umayyah tetapi baru menghebohkan pemikiran keislaman pada masa pemerintahan Bani ‘Abbasiyah dalam masa yang cukup panjang. Namun para ulama berbeza pendapat tentang waktu munculnya golongan ini.

Sebahagian berpendapat bahawa golongan ini mulai timbul sebagai satu kelompok di kalangan pengikut Ali. Mereka mengasingkan diri dari masalah-masalah politik dan beralih ke masalah aqidah ketika Hasan turun dari jawatan khalifah untuk digantikan oleh Muawiyyah Ibn Abi Sufian. Mengenai hal ini Abu al-Hasan al-Thara’ifi dalam bukunya Ahl al-Ahwa wa al-Bida menyatakan, “Mereka menamakan diri dengan Mu’tazilah ketika Hasan Ibn Ali membai’at Muawiyyah dan menyerahkan jawatan khalifah kepadanya. Mereka mengasingkan diri dari Hasan , Muawiyyah dan semua orang lain. Mereka menetap di rumah-rumah dan masjid-masjid. Mereka berkata, ”Kami bergelut dengan ilmu dan ibadah.”

Pada umumnya ulama berpendapat bahawa tokoh utama Mu’tazilah adalah Washil Ibn Atha’. Ia adalah salah seorang murid semasa kuliah ilmu Hasan al-Bashri. Dalam kuliah tersebut, timbul satu masalah yang hangat pada waktu itu iaitu masalah pelaku dosa besar. Washil berselisihan pandangan dengan Hasan al-Bashri dengan mengatakan bahawa pelaku dosa besar bukan mukmin, bukan juga kafir tetapi ia berada antara keduanya. Kemudian Washil menjauhkan diri dari kuliah itu dan membentuk kuliahnya sendiri di satu sudut yang lain.

Dalam kitab-kitab Mu’tazilah pula, para penulisnya berpendapat bahawa awal kemunculan fahaman itu adalah jauh lebih dahulu dari kisah Washil tersebut, mereka berpendapat bahawa di antara penganut mazhab itu adalah banyak yang berasal dari keluarga Nabi Muhammad SAW termasuklah Hasan al-Bashri sendiri.

Walaubagaimanapun berkenaan waktu yang tepat kemunculannya adalah tatkala keluarnya fatwa Washil dan ‘Amr adalah masa yang yang tepat awal kemunculan aliran Mu’tazilah ini kerana kedua-duanya dianggap telah dewasa sehingga mampu untuk menganalisis terhadap masalah-masalah yang besar seperti itu.

Dalam Ensiklopedi Islam pula disebut bahawa golongan Mu’tazilah ini muncul antara tahun 105 – 131 H. Masa ini merupakan masa-masa produktifnya Washil dan ‘Amr. Menurut Zuhdi Jarullah berpendapat bahawa golongan Mu’tazilah muncul antara tahun 100 – 110 H. Alasan beliau ialah kerana Washil dan Amr adalah mustahil akan memulai gerakannya sebelum mencapai usia 20 tahun. Ini kerana keduanya baru dilahirkan dalam tahun 80 H itu. Juga adalah mustahil jika ia muncul selepas tahun 110 H kerana pada tahun itu Hasan al-Bashri telah pun meninggal dunia.

Penulis kitab Adab al-Mu’tazilah pula mengemukakan bahawa tahun munculnya Mu’tazilah adalah antara tahun 98 – 100 H. Pada ketika itu, Washil Ibn Atha’ dan Amr Ibn Ubaid telah pun berusia 18 tahun.

Dengan demikian dapat dirumuskan bahawa Mu’tazilah itu lahir pada akhir abad pertama pada masa Hasan al-Bashri. Mu’tazilah muncul di kota Bashrah yang merupakan pusat peradaban yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk pemikiran. Kesan utama kemunculan Mu’tazilah ini adalah keluarnya Washil bin Atha’ dari kuliah ilmu Hasan al-Bashri, kemudian mereka mengetengahkan idea barunya tentang al-Manzilah Baiyna al-Manzilataini.

13 November 2006

Duit Raya oh Duit Raya!

Ramadhan dah makin jauh meninggalkan kita. Kini, Syawal pula merangkak sedikit demi sedikit hingga tidak disedari ia semakin hampir ke penghujungnya. Namun begitu, saban hari masih lagi ada rumah-rumah terbuka yang tidak ketinggalan untuk meraikan kemuliaan Syawal ini yang diselitkan dengan pelbagai agenda dan acara yang kadang-kala melangkaui adat dan budaya masyarakat Melayu, apatah lagi melintasi sempadan ibadat dan syariat Islam.

Satu amalan yang menjadi kebiasaan yang tak pernah lekang dari sambutan Hari Raya ini terutama untuk melengkapi agenda rumah-rumah terbuka tersebut adalah memberi duit raya kepada kanak-kanak. Oleh kerana ia adalah kebiasaan yang turut temurun dari satu generasi ke generasi sejak sekian lama menyebabkan ada sesetengah umat Islam tidak mengetahui akan pensyariatan amalan ini. Adakah ia hanya satu adat atau satu ibadat yang sememangnya ada dalil dan hujah yang jelas dari Allah Taala mahupun daripada kekasihNya yang disayangi, Baginda Rasulullah SAW.

Daripada Riwayat Bukhari

Daripada satu hadis yang diriwayatkan dari al-Bukhari ada menyebut bahawa ”Nabi saw suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu Baginda bersembahyang dua rakaat. Dan Baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian Baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya (untuk disedekahkan)”.

Sabda Baginda lagi ketika di atas mimbar yang bermaksud: “Dan Baginda menyebutkan
tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta”.

Kepelbagaian Pemberian

Daripada kitab Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah pula menyebut pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa iaitu ‘athiyyah.

Sementara dalam kitab al-Tahzib pula ada menjelaskan berkenaan ‘athiyyah ini ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan ‘athiyyah ketika masih hidup pula disebut sebagai wakaf, hibah atau hadiah.

Seingat saya juga dalam istilah syara‘ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup. Dengan kata lain juga, apabila seseorang telah memberi duit raya kepada kanak-kanak secara sepenuhnya maka kanak-kanak tersebut adalah berhak terhadap kesemua duit-duit raya yang mereka perolehi itu.

Sekadar perkongsian

Saya bukanlah bermaksud ingin menjelas secara terperinci jenis-jenis pemberian tersebut tapi cukup bagi kita untuk mengetahui bahawa amalan pemberian duit raya itu sememangnya ada dalam hadis Rasulullah SAW sebagaimana di atas dan boleh dijadikan hujah yang kukuh akan keharusan memberi duit raya ini. Perlu diketahui juga bahawa amalan ini boleh memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu, seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan.

02 November 2006

Kiamat sudah dekat

Aduh zaman kok jadi kayak gini
Sibuk berebut bukan saling memberi
hasil mencuri dibilangnya prestasi
Duit korupsi dianggap rezeki

Ya Allah!Inikah tanda kiamat sudah dekat
Tapi kenapa orang-orang tak banyak bertobat

Saya sungguh tertarik dengan rangkap lirik kata ini yang termuat dalam filem Kiamat Sudah Dekat. Jika dulu saya jarang berada di depan televisyen terutama waktu-waktu petang. Tapi kini, saya cuba untuk berada di depan televisyen apabila tiba pukul 6 petang setiap hari.

Saya bukanlah gemar sangat menonton tvni tapi cerita ni amat menarik minat saya. Jalan ceritanya memang menarik.Masejnya amat membentuk jiwa.Bagaimana ia diolah dengan bersahaja wataknya namun ada unsur-unsur ketulusan iman yang ingin digarap oleh penulis skrip ini.



Konsep Ikhlas dan rendah diri

Saya tertarik pada satu babak yang mana ketika Haji Romli ingin membuat keputusan untuk memilih calon menantunya antara Farid dan Fandy. Farid dihidupkan sebagai seorang pemuda dari Mesir yang tinggi ilmu agamanya , manakala Fandy pula adalah seorang pemuda rockers yang tidak tahu tentang asas-asas Islam seperti Sembahyang dan puasa pada awalnya.Tapi hasil ketulusan hati Fandy yang mencintai Sarah akhirnya berusaha untuk solat dan mengaji al-Quran dan akhirnya ia menemui nilai keikhlasan iman kepada Allah Taala.Namun watak Farid dihidupkan dengan lagak seorang pemuda yang ego dan sedikit berlagak kerana ketinggian ilmu yang dimilikinya yang menyebabkan akhirnya Farid hanya tenggelam dengan ilmu yang dimilkinya tanpa merasai sifat kehambaannya kepada Allah Taala. Ayat yang menarik pada babak ini adalah selepas Fandy meluahkan perasaannya apabila telah merasai perubahan dalam dirinya dan berterima kasih kepada Haji Romli dan Haji Romli pun menyebut, "inilah dia calon menantu gue.dia telah mencapai konsep Ikhlas."

Nilai kejujuran

Babak lain yang boleh dihayati masejnya adalah sewaktu kereta Haji Romli rosak di tengah perjalanan pulang ke rumah.Haji Romli yang menjanjikan upah kepada orang-orang yang membantunya telah terlupa memberinya kepada mereka, sehingga di pertengahan perjalanannya dia pusing balik keretanya dan menunaikan janjinya kepada orang-orang ynag menolongnya itu.

Nilai Taqwa

Seingat saya sewaktu belajar di sekolah menengah dulu maksud taqwa adalah melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Taala dan meninggalkan segala yang dilarangnya. Di sini saya terkesan dengan plot-plot cerita ini yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda rockers lepasan pengajian dari Amerika yang tidak tahu sembahyang dan mengaji al-Quran yang telah berubah hanya kerana perasaan cintanya kepada seorang gadis cantik yang warak dan sopan santun dan juga telah merubah kehidupan kawan-kawanya dan juga keluarganya sendiri dan akhirnya beliau menemui nilai taqwa dalam dirinya walau pun tidak pernha belajar agama di mana-mana tempat sekalipun.

Bagus ditonton

Saya melihat hasil seni filem dari negara seberang ini adalah lebih tinggi mesej Islamnya berbanding filem-filem tempatan kita. Saya bukan ingin merendahkan filem tempatan tapi ia perlu diakui oleh pengusaha-pengusaha seni tanah air jika sekiranya kita benar-benar ingin memperjuangkan konsep Islam Hadhari yang diwar-warkan oleh pimpinan negara.TULUSLAH HATI KITA DENGAN ALLAH DAN TELUSLAH HATI KITA SESAMA INSAN..