29 November 2006
asal - usul Mu'tazilah
Daripada analisis sejarah daripada ulama dulu hingga kini, mereka bersepakat menyatakan bahawa golongan ini muncul pada masa pemerintahan Bani Umayyah tetapi baru menghebohkan pemikiran keislaman pada masa pemerintahan Bani ‘Abbasiyah dalam masa yang cukup panjang. Namun para ulama berbeza pendapat tentang waktu munculnya golongan ini.
Sebahagian berpendapat bahawa golongan ini mulai timbul sebagai satu kelompok di kalangan pengikut Ali. Mereka mengasingkan diri dari masalah-masalah politik dan beralih ke masalah aqidah ketika Hasan turun dari jawatan khalifah untuk digantikan oleh Muawiyyah Ibn Abi Sufian. Mengenai hal ini Abu al-Hasan al-Thara’ifi dalam bukunya Ahl al-Ahwa wa al-Bida menyatakan, “Mereka menamakan diri dengan Mu’tazilah ketika Hasan Ibn Ali membai’at Muawiyyah dan menyerahkan jawatan khalifah kepadanya. Mereka mengasingkan diri dari Hasan , Muawiyyah dan semua orang lain. Mereka menetap di rumah-rumah dan masjid-masjid. Mereka berkata, ”Kami bergelut dengan ilmu dan ibadah.”
Pada umumnya ulama berpendapat bahawa tokoh utama Mu’tazilah adalah Washil Ibn Atha’. Ia adalah salah seorang murid semasa kuliah ilmu Hasan al-Bashri. Dalam kuliah tersebut, timbul satu masalah yang hangat pada waktu itu iaitu masalah pelaku dosa besar. Washil berselisihan pandangan dengan Hasan al-Bashri dengan mengatakan bahawa pelaku dosa besar bukan mukmin, bukan juga kafir tetapi ia berada antara keduanya. Kemudian Washil menjauhkan diri dari kuliah itu dan membentuk kuliahnya sendiri di satu sudut yang lain.
Dalam kitab-kitab Mu’tazilah pula, para penulisnya berpendapat bahawa awal kemunculan fahaman itu adalah jauh lebih dahulu dari kisah Washil tersebut, mereka berpendapat bahawa di antara penganut mazhab itu adalah banyak yang berasal dari keluarga Nabi Muhammad SAW termasuklah Hasan al-Bashri sendiri.
Walaubagaimanapun berkenaan waktu yang tepat kemunculannya adalah tatkala keluarnya fatwa Washil dan ‘Amr adalah masa yang yang tepat awal kemunculan aliran Mu’tazilah ini kerana kedua-duanya dianggap telah dewasa sehingga mampu untuk menganalisis terhadap masalah-masalah yang besar seperti itu.
Dalam Ensiklopedi Islam pula disebut bahawa golongan Mu’tazilah ini muncul antara tahun 105 – 131 H. Masa ini merupakan masa-masa produktifnya Washil dan ‘Amr. Menurut Zuhdi Jarullah berpendapat bahawa golongan Mu’tazilah muncul antara tahun 100 – 110 H. Alasan beliau ialah kerana Washil dan Amr adalah mustahil akan memulai gerakannya sebelum mencapai usia 20 tahun. Ini kerana keduanya baru dilahirkan dalam tahun 80 H itu. Juga adalah mustahil jika ia muncul selepas tahun 110 H kerana pada tahun itu Hasan al-Bashri telah pun meninggal dunia.
Penulis kitab Adab al-Mu’tazilah pula mengemukakan bahawa tahun munculnya Mu’tazilah adalah antara tahun 98 – 100 H. Pada ketika itu, Washil Ibn Atha’ dan Amr Ibn Ubaid telah pun berusia 18 tahun.
Dengan demikian dapat dirumuskan bahawa Mu’tazilah itu lahir pada akhir abad pertama pada masa Hasan al-Bashri. Mu’tazilah muncul di kota Bashrah yang merupakan pusat peradaban yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk pemikiran. Kesan utama kemunculan Mu’tazilah ini adalah keluarnya Washil bin Atha’ dari kuliah ilmu Hasan al-Bashri, kemudian mereka mengetengahkan idea barunya tentang al-Manzilah Baiyna al-Manzilataini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment