29 September 2007

Bercintalah di bulan yang Mulia ini



Salam Ramadhan Kareem kepada semua walaupun sudah lebih separuh bulan kita berada di Madrasah Tarbiyyah ini. Namun hakikat ketaatan dan pengabdian kita kepada Allah adalah akan terus dituntut sepanjang kehidupan kita di dunia yang fana ini. Kursus latihan amalan ketaatan ini diharap mampu menguatkan lagi semagat kita sebagai hamba Allah agar melakukan yang terbaik untuk Allah Kekasih Azali dan Abadi.

Buatlah yang terbaik untuk yang Tercinta ini. Pujalah Ia siang dan malam. Pujuklah hatiNya di kala rembulan merajai alam maya. Andai kau mampu memelukNya peluklah Ia sekuat hatimu. Agar kau rasa betapa hangatnya perasaan cintaNya kepadamu. Biar dirimu rasai betapa Ia sentiasa mengharapkan kehadiranmu disisiNya. Sekali kau rapat kepadaNya berjuta kali Ia akan merapati dirimu. Oh alangkah bahagia andai mendapat pelukan dari Sang Kekasih hati.

"Sesiapa yang cinta untuk menemui Allah, Allah juga cinta untuk menemuinya. Manakala sesiapa yang tidak suka untuk menemui Allah maka Allah juga tidak suka untuk bertemu dengannya."

( Hadis riwayat al-Bukhari )

Dengarlah pula rintihan hati Rabiatul Adawiyah dikala mendambakan cinta suci dari Allah yang dicintainya :

"Ya Rabbi, apabila aku menyembahMu kerana takutkan nerakaMu maka bakarlah diriku di dalam neraka itu. Apabila aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu maka jauhkanlah aku darinya. namun, jika aku menyembahMu kerana demi cinta kepadaMu maka janganlah Engkau tutup Keindahan AbadiMu."

Nah, dimanakah kita sekarang? Tidak inginkah kita mencintaiNya dikala Ia menunggu kita dengan penuh kerahmatan dan keampunanNya itu. Sekarang kita dengar pula unggapan cinta agung dari Kekasih yang dirindui ini. Bacalah Warkah CintaNya dengan sepenuh hatimu:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamaNya, maka Allah akan mendatangkan pula suatu kaum yang dia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepadaNya, kaum yang bersifat lemah lembut terhadap orang-orang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir. Maka mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya kerana Allah itu Maha Luas limpah kurnia lagi meliputi pengetahuanNya."
( Al-Maidah : 5 : 54 )

No comments:

Post a Comment