26 November 2007

Wanita Dalam Perniagaan


Penglibatan wanita di dalam aktiviti ekonomi di Malaysia sudah bermula sejak awal tetapi ianya semakin meningkat dalam pertengahan tahun 1960-an bila dasar mempelbagaikan ekonomi dilaksanakan. Pada peringkat awal kemerdekaan, majoriti wanita adalah terlibat di dalam sektor pertanian diikuti oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan. Keadaan semakin berubah antara tahun 1970-1980, kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam jangka masa tersebut telah menggalakkan lagi pertambahan pelaburan di dalam industri-industri yang berorientasikan eksport terutama industri-industri elektronik dan tekstil.

Keadaan tersebut telah menggalakkan wanita-wanita muda untuk berhijrah dari luar bandar ke bandar bagi memenuhi peluang pekerjaan yang terbuka di sector pembuatan dan perkhidmatan. Kesannya berlaku pertambahan tenaga kerja wanita di dalam sektor pembuatan dengan pesat sekali iaitu 212 % manakala sektor perkhidmatan mengalami pertambahan sebanyak 154 % antara tahun 1970 – 1980. Kini kita dapati lebih kurang 44 % dari wanita di Malaysia adalah termasuk dalam sektor guna tenaga.

Dikebanyakan negara data mengenai kadar penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi adalah terhad. Di Malaysia walaupun beberapa banci telah dibuat oleh Jabtan Statistik mengenai tenaga kerja, namun data mengenai penglibatan wanita secara terperinci di dalam pekerjaan masih kurang. Penglibatan awal wanita di dalam aktiviti ekonomi di Malaysia bermula dari aktiviti sara diri di sektor pertanian dan kemudiannya meluas ke sektor-sektor lain berikutan dengan berlakunya perkembangan ekonomi, kemajuan teknologi dan pertambahan peluang pendidikan.

Peningkatan tenaga kerja wanita di bandar berlaku disebabkan oleh meningkatnya jumlah wanita luar bandar yang berhijrah ke bandar untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor –sektor perkhidmatan dan pembuatan. 65 % dari tenaga kerja yang berhijrah ke bandar adalah terdiri dari wanita dan selaras dengan perlaksanaan Deb, kebanyakan wanita yang memenuhi sektor pembuatan terdiri dari wanita Melayu yang berumur antara 18 – 29 tahun.

Bidang pekerjaan yang diceburi oleh wanita biasanya terbatas kepada beberapa jenis pekerjaan sahaja dan sifat pekerjaan tersebut. Di antara pekerjaan-pekerjaan yang disenaraikan termasuk jurutaip, pekerja kilang elektronik dan kain, jurujual, penyambut tetamu dan jururawat. Di Malaysia, penglibatan wanita dalam perniagaan kecil sudah lama wujud. Di negari-negari Pantai Timur Semenanjung seperti Terengganu dan Kelantan, perniagaan di pasar-pasar pemborong, peruncit dan perniga di kaki lima banyak dimonopoli oleh kaum wanita.

Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang miskin di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di lihat dari segi pendapatan perkapita dan agak ketinggalan dari segi pembangunan di bandingkan dengan negeri-negeri maju di Pantai Barat. Walau bagaimanapun, negeri ini terkenal sebagai sebuah negeri yang mempunyai kadar penyertaan kaum wanita yang tinggi dalam aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan sektor perniagaan kecil.

Kajian mengenai penglibatan wanita dalam perniagaan di Kelantan telah banyak dilakukan mengikut pendekatan antropologi dan sosiologi bagi latihan ilmiah di institusi pengajian tinggi. Di samping itu, terdapat banyak lagi kajian-kajian yang khusus mengenai perniagaan tetapi lebih tertumpu kepada perniagaan Melayu dan kurang menekankan penglibatan wanita.

Selain daripada berniaga di rumah kedai, wanita juga menjalankan perniagaan di pasar-pasar. Salah satu pasar yang menjadi tumpuan mereka ahila Pasar Besar Kota Bharu. Sebenarnyaterdapat tiga pasar dalam kawasan Lembaga Badaran Kota Bharu iaitu Pasar Besar, Pasar Kubang, Pasu dan Pasar Madang Lido.


Rujukan

  1. Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi.1968. Kisah Pelayaran Abdullah. Oxford University Press.kuala Lumpur.
  2. Alice H. Cook.1978. The Working Mother: A Survey of Problems and Programs in Nine Countries. Cornell University.
  3. Aminah Abu Bakar.1975. Peranan Peniaga-peniaga Wanita Melayu di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur.



20 November 2007

Engkaulah Penyejuk Mataku


Musim cuti sekolah kembali lagi. Pelbagai perkara yang tersurat dan tersirat dalam memoriku.Teringat gelagat kawan-kawan sepermainan yang pelbagai ragam. Kenangan yang bermula seawal umur 5 tahun sehingga aku menjejakkan kaki ke menara gading, semuanya masih tersimpan kemas dalam komputer ingatanku ini.

Ah, lupakan seketika dunia persekolahan itu. Bukan itu yang inginku ceritakan di sini. Cuma musim cuti sekolah sekarang yang telah menjadi lanskap baru dalam hidupku sekarang adalah amat berbeza sekali pengertiannya. Musim cuti sekolah adalah musim orang kahwin. Ya, musim orang kahwin..bila tiba musim cuti sekolah atau sebut saja pasal kahwin, kawan-kawanku pasti akan teralih sama padaku. Ish, kadang-kadang rimas juga rasanya. Bukan aku tak nak kahwin. Tapi bagiku ia bukan satu perkara yang enteng untuk dilaksanakan. Misi ini adalah satu misi yang penuh dengan cabaran. Pelbagai persedian yang perlu aku sediakan. Lebih mencabar dari mission imposible lakonan Tom Cruse.

Aku teringat kata-kata ayahku suatu ketika dulu,”Kalau nak kawin, carilah yang betul-betul. Bukan setakat nak buat bini je tapi juga untuk masa depan anak-anak kau. Kalau tersilap pilih nanti kesannya pada anak-anak kau.” Betul juga kata ayahku tu. Sebelum ni, aku hanya fikir nak kahwin je, asalkan berkenan kat hati dan sedap mata memandang dah kira ok. Hampir terlupa pada generasi aku akan datang. Ish,ish…memang tak layak kahwin lagi aku ni rupanya.

Baru aku tahu apa hikmah pensyariatan perkahwinan dalam Islam. Selama ini aku hanya tahu belajar je. Nak skor markah tinggi hafal isi-isi penting pastu hafal sepotong dua dalil dari al-Quran atau al-Hadis. Mudahnya menuntut ilmu agama sekarang ni. Erm…patutla dunia Islam sekarang ni huru-hara sebab ramai sangat ustaz sekarang ni macam aku. Kelulusan tinggi tapi kosong penghayatan dan amalan. Kadang-kadang bila aku tengok pelajar-pelajar jurusan agama sekarang ni macam tak percaya rasanya mereka ambil kursus tu. Bukan memandang lekeh tapi bagi aku merekalah generasi ulama pada masa depan.Aku tertanya-tanya sendirian, mampukah mereka (dan juga aku) untuk memikul tanggungjawab yang pernah diamanahkan kepada para rasul sepanjang zaman ini. Ish…gerun rasanya bila difikirkan azab Allah nanti.

Bila aku fikir masak-masak, aku sememangnya perlu mencari pasangan hidup yang betul-betul mampu untuk membentuk generasi pewaris aku nanti. Biarlah aku bukan dari keturunan alim ulama’ namun aku mengharapkan agar generasiku ini adalah generasi para alim ulama’. Ya. Aku kahwin bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan hati dan naluri tetapi juga untuk tuntutan ummah. Sesungguhnya Rasulullah berbangga dengan umatnya yang ramai.

Aku ingin memetik sebaris doa yang sememangnya telah diketahui ramai, yang juga satu doa yang tertera dalam kitab Agung sepanjang zaman iaitu :

ربنا هب لنا من أزواجنا و ذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما

Yang bermaksud :

“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Menurut Al-Zujjaz, “Allah Taala menyejukan mata kami” ialah menenangkan jiwa kamu dengan memenuhkannya dengan perasaan cinta. Dan berkata Al-Mufaddhal pula dalam masalah قرة العين ini ada 3 pandangan iaitu:

Pertama :Air matanya (iaitu ketika ketawa dan gembira dan airmata kesedihan).

Kedua : Tidurnya (kerana hilangnya kelaparan dan kesedihan).

Ketiga : Berasa redha

Tiada Keraguan lagi bahawa yang dikehendaki daripada ayat ini iaitu menjadi penyejuk mata bagi mereka di dalam beragama bukan pada urusan dunia samada daripada harta dan kecantikan yang difikirkan oleh kebanyakkan orang sekarang. Kemudian disebut dalam ayat ini 2 bentuk :-
Pertama : Mereka memohon daripada Allah Taala akan isteri-isteri dan zuriat di dunia yang bersama-sama dengan mereka dan mereka suka seandainya isteri dan anak-anak mereka itu bersama-sama dengan mereka dalam berbuat ketaatan kepada Allah Taala dan memperkuatkan lagi keinginan mereka untuk memperoleh kebahagiaan bersama-sama anak dan isteri mereka itu di syurga. Justeru memperlengkapkan keseronokan mereka di dunia dan memperoleh pahala di akhirat.
Kedua : Mereka memohon kepada Allah Taala agar menempatkan isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka bersama dengan mereka di dalam syurga. Justeru menyempurnakan kegembiraan mereka pada anak-anak dan isteri mereka.

Ah, hebat sungguh pandangan ulama’ dulu dalam membicarakan perihal pasangan hidup ini. Tidak hairan rasanya ramai para ulama’ dulu lahir dari kalangan generasi dari rantai-rantai ulama’ juga. Tidak cukup tangan untuk dihitung berapa ramai ulama’ Islam yang lahir di dunia dari generasi para ulam’ juga. Bahkan mampu mengharumkan lagi nama Islam pada pandangan mata dunia. Dengan kata lain, doa ini bukan hanya menbentuk generasi yang menyejukkan pandangan mata ibu bapa sahaja tapi juga menyejukan hati Islam keseluruhannya hingga terbeliak juga mata para kufar di persada maya.

Nah, di sini inginku kongsi sedikit lagi beberapa pandagan ulama’ berkenaan doa yang ma’thur ini. Di sini dikongsi pandangan mereka dari sudut susunan bahasa doa ini yang sememangnya satu mujizat kepada Kalam Allah. Sesungguhnya pendapat para ulama berkenaan firman (من أزواجنا ) ialah kemungkinan samada keterangan itu menunjukkan seolah-olah Allah Taala bermaksud ( هب لنا قرة أعين ) kemudian diterangkan tentang penyejuk ( القرة ) dan ditafsirkan dengan firman Allah Taala (من أزواجنا ). Hal ini diambil contoh dari sudut bahasa Arabnya iaitu daripada kata-kata mereka رأيت منك أسدا iaitu انت أسد . Satu lagi pandangan mereka adalah mungkin bermaksud uslub permulaan dengan maksuk هب لنا من جهتهم ما تقربه عيوننا من طاعة وصلاح (kurniakanlah kepada kami daripada mereka yang menyejukan hati kami daripada ketaatan dan amalan soleh. Pendapat yang lain pula adalah tidak disebut قرة عين pada ayat tersebut (iaitu dinakirahkan dan digunakan bilangan mufrad) adalah kerana mudhaf tidak boleh dinakirahkan kecuali dinakirahkan pada mudhaful ilaih seperti: هب لنا منهم سرورا و فرحا dan sesungguhnya disebut أعيون tetapi tidak disebut عيون Kerana Allah Taala ingin bermaksud أعين المتقين iaitu قليلة disandarkan kepada عيون غيرهم seperti firman Allah ( وقليل من عبادي الشكور ).

Erm, mungkin agak rumit untuk difahaminya apatah lagi bila dihurai dalam konteks bahasa Arab yang tidak semua orang dapat menguasainya. Namun, secara ringkasnya boleh disebut di sini bahawa terdapat tiga pandangan ulama’ dari sudut penggunaan tatabahasa Bahasa Arab di dalam ayat ini. Pandangan pertama ialah Allah ingin menyebut bahawa orang-orang yang berdoa itu mendoakan agar dikurniakan penyejuk mata itu dari kalangan isteri dan anak-anak mereka. Perkataan قرة أعين sebagai fokus doanya dan من أزواجنا sebagai maksud kepada penyejuk mata yang diingininya itu iaitu mengharapkan agar Allah tenangkan hatinya dengan dikurniaan isteri (dam juga anak) yang soleh . Pandangan kedua pula meletakkan من أزواجنا sebagai fokus doanya dan قرة أعين sebagai maksudnya iaitu mengharapkan agar jenis isteri (dan juga anak) yang diingininya itu adalah menyejukkan pandangan mata. Manakala pandangan ketiga pula ingin menjelaskan bahawa terdapat sedikit sahaja penyejuk mata dari kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Sedar tak sedar doa yang kita lafazkan setiap kali selepas sembahyang lima waktu ini begitu tinggi nilaiannya. Bak kata peribahasa, “hanya jauhari yang mengenal manikam”. Moga-moga aku juga mampu untuk menggapai inti pati maksud kalimah Allah yang agung ini. Siapakah yang akan menjadi penyejuk mataku? Hanya engkau sahajalah yang mampu menjadi penyejuk mataku.

11 November 2007

Perhimpunan Aman BERSIH yang aman lagi bersih


10.30 pg.

Kami tiba di Masjid Jamek tanpa sebarang masalah. Namun, melihat kepada suasana Masjid yang dikawal oleh FRU, kami merayau seketika di kawasan sekitar masjid. Setelah terasa lapar, kami mengambil kesempatan yang ada untuk menjamu selera di kedai mamak berhampiran. Tanpa dirancang, kaki kami terus melangkah hingga ke KOMPLEK PERTAMA dan seterusnya ke SOGO. Ah, alang-alang dah sampai ke SOGO dan waktu yang ada masih berbaki kurang lebih 4 jam lagi untuk masa berhimpun yang ditetapkan di Masjid Jamek, kami merayau-rayau seketika di situ. Suasana agak tenang, unit Amal Malaysia beratur setia di hadapan bangunan yang tersergam itu tanpa mempedulikan polis-polis yang sedang memerhatikan gelagat mereka. Ramai juga orang awam yang berada di sekitar bangunan tersebut. Dan kami agak pasti, mereka juga sedang menunggu waktu yang bersejarah itu.

1.15ptg.

Kami mengambil keputusan untuk solat Zohor di komplek SOGO. Kaki pun dah rasa kepenatan berjalan pusing KL hari ni. Lagipun masa pun masih agak awal untuk ke Masjid Jamek dalam keadaan begini. Allahu Akbar, surau di Kompleks SOGO penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing ingin mengambil kesempatan solat di awal waktu

. Bahkan ada juga yang terpaksa menunaikan solat di ruang legar lif bangunan sampai berkali-kali jemaah solat berganti. Subhanallah. Tatkala itu, orang lain sibuk membeli belah di bahagian atas SOGO. Indahnya Syariat Islam.

2.00 ptg

Setelah selesai menunaikan tuntutan Ilahi, kami meneruskan tuntutan demokrasi pula. Menuntut keadilan dalam Pilihan Raya Umum nanti. Sebaik sahaja kami keluar dari bangunan pencakar langit itu, kelihatan kelibatan segerombolan manusia berbaju kuning menuju ke arah kompleks SOGO. Dengan diiringi Unit Amal Mala ysia, beberapa orang pimpinan PAS dan juga NGO yang lain seperti Ust Ahmad Awang, Naib Presiden PAS, Ust. Nasharuddin Tantawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ust Riduan Mad Nor, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nik Mohamad Abduh, Ust Nor Azli Taliban, Ust Kamal Asyaari, Ust. Abu Bakar Chik dan beberapa pimpinan lain kelihatan memimpin himpunan aman ini. Suasana tenang pada mulanya bertukar wajah. Orang ramai mula mengenakan pakaian kuning. Seluruh ceruk bangunan manusia mula berkumpul dari dalam dan luar SOGO. Sekelip mata gelombang kuning mewarnai SOGO. Kompleks SOGO ditutup sementara. Mungki n mereka bimbang berlaku sebarang rusuhan agaknya. Kami sekadar menduga. Taujihad pimpinan dimulakan oleh Ustaz Ridhuan, yang sememangnya telah dikenali ramai sebagai `Kaki Demostrasi`. Unit Amal bertugas untuk mengawasi pimpinan dan peserta. Polis hanya memerhati setiap gelagat para peserta perhimpunan aman ini tanpa bertindak semberono. Setelah diakhiri dengan bacaan doa, seluruh warga perhimpunan mula bergerak keluar dari perkarangan SOGO melewati hentian monorel SOGO menuju ke Istana Negara sambil melaungkan kata-kata keramat.

Hidup! Hidup! Hidup Rakyat!...Aman! Aman! Aman Rakyat!... Tenang! Tenang! Polis Tenang! Kami Rakyat! Orang Raja! ......Takbir! Allahu Akhbar!...

Rintik-rintik hujan mula kelihatan, seakan turut bersama kami menuntut keadilan rakyat ini. Kami meneruskan perjalanan dengan semangat yang lebih membara untuk menuntut keadilan. Tiba di hadapan persimpangan Dataran Merdeka. Kelihatan kenderaan FRU meluncur laju melewati barisan hadapan rombongan. Mujur tiada halangan. Para pimpinan memimpin seluruh warga perhimpunan mara ke hadapan melewati DBKL dengan diiringi petugas-petugas Unit Amal. Hujan mulai lebat, orang ramai terus mara ke Masjid Negara. Melalui maklumat yang kami terima, rupanya FRU yang datang sebentar tadi menuju ke Masjid Jamek untuk menyuraikan segerombolan peserta perarakan lain di sana. Tak dapat dibayangkan jika dapat digabungkan tadi. Gegak gempita rasanya bandaraya KL ni.

Di Masjid Negara, kami lihat ramai penyokong dan peserta perhimpunan di Masjid Negara yang sedang menanti. Rombongan kami berhenti seketika di seberang jalan menantikan penggabungan dari Masjid Negara. Di hadapan Masjid Negara, FRU berpadu tenaga mengawasi kumpulan di dalam Masjid Negara dan terus menghalang mereka daripada keluar. Namun, akhirnya FRU terpaksa membenarkan juga peserta keluar dari perkarangan Masjid Negara untuk menyertai perarakan utama.

Kalimah Allahu Akhbar! Terus bergema. Kenderaaan-kenderaan di laluan bertentangan turut memberikan sokongan. Hon dibunyikan sebagai tanda menyatakan sokongan mereka kepada kumpulan perarakan. Pelbagai bangsa dan kaum terlibat samada secara langsung atau tidak, sebagai peserta perhimpunan atau pun sebagai pemandu-pemandu kenderaaan di kiri kanan jalan raya. Sungguh aman dan bersih.

Tidak banyak kain rentang yang dibawa semasa perhimpunan tersebut. Namun yang menariknya ialah kain rentang yang kami bawa adalah antara salah satu daripadanya. Memang kain rentang kami menjadi tumpuan ketika itu. Ada-ada saja orang yang ingin merakamkan kenangan bersejarah ini dengan berlatar belakangkan kain rentang kami, rasanya SB pun ada yang ambil gambar. Begitu juga dengan para peserta perhimpunan ataupun dari para pemandu kenderaan yang sedikit kagum dengan suasana yang ada. Mereka baca dan amati kain rentang itu dan mengukir senyuman tanda faham dan setuju.

Perarakan sudah 20 minit melepasi Masjid Negara. Sesekali kami menoleh ke belakang dan lihat kebawah fly over. Ah, rupanya ada lagi kumpulan perarakan yang bergerak mara ke arah kumpulan utama, kumpulan dari Pasar Seni agaknya.

3.00ptg.

Setibanya di perkarangan Istana Negara, kelihatan lautan manusia sejauh mata memandang di belakang. Kami yang berada di barisan hadapan berasa penuh kagum dengan jumlah yang sedemikian ramai orang. Ish, kalau dicampur dengan para perhimpun di Masjid Jamek mungkin haru-biru polis dibuatnya, kami berbisi-bisik sesama sendiri. Sebelum taujihad dimulakan, kami diarahkan untuk duduk bagi memudahkan lagi proses perhimpanan aman ini. Semua yang hadir pada ketika itu akur dengan arahan pimpinan. Namun, ada juga suara-suara sumbang yang mengeluh dan mencemuh arahan tersebut. Melihat kepada cara berpakaian dan lagak gaya mereka, kami pasti ia datang dari para provokasi SB yang telah diselinap masuk kedalam gerombolan tersebut. Taujihad dimulakan dengan ucapan yang diberikan oleh Mad Sabu, Naib Presiden PAS. Seterusnya disusuli pula oleh Ketua Pemuda PAS,YB Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Ust Nor Azli Taliban. FRU dan Polis lagak gaya macam `anjing kerajaan` dengan tegas menyekat peserta dari menghampiri pagar istana. Unit Amal berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik, dengan membuat satu benteng di hadapan para petugas FRU tersebut. Mimik muka mereka tak tumpah macam para petugas FRU tersebut, serius dan masam.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!..Kalimah keramat itu juga turut menjadi intonasi yang menarik pada hari itu. FRU nampaknya memberi kerjasama yang baik. Takut agaknya. Silap bertindak padah menanti FRU dan Polis. Begitu jugak dengan peserta perarakan, tenang di luar, tapi kencang di dalam.

Tenang! Tenang! Polis Tenang!...Aman! Aman! Rakyat Aman!..Polis Tenang!.Rakyat Aman!

Berkali-kali ucapan keramat itu dilaungkan bagi membangkitkan semangat para peserta perhimpunan dan menenangkan keadaan.


3.25 ptg

Dalam keamanan perhimpunan itu, kelihatan wakil BERSIH iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul HAdi Awang, Presiden PAS, Datuk Seri Anuar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Lim Kit Siang, Presiden DAP berjalan keluar dari Istana Negara dan menuju ke arah kumpulan perhimpunan. Orang ramai yang berada di situ riuh seketika apabila melihat kelibat kedatangan pemimpin mereka datang dan terpaksa ditenangkan oleh Mad Sabu yang menjadi ketua perhimpunan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil kesempatan untuk memberi sedikit taujihad kepada para peserta perhimpunan dan diikuti pula ucapan daripada Datuk Seri Anuar Ibrahim. Mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sanggup berkorban datang dari jauh untuk merealisasikan perhimpunan aman BERSIH ini. Semua peserta perhimpunan berasa puas apabila dapat mendengar ucapan daripada para pimpinan mereka.

Kehadiran helikopter yang berlegar di ruang udara Istana Negara sedikit sebayak mengganggu kelancaran perhimpunan aman dan taujihad yang diberikan.

Kurang lebih jam menunjukkan pukul 3.45 petang, Ketua polis Dang Wangi dari atas jentera FRU, mula memberi amaran bahawa masa 5 minit diberikan untuk bersurai. Pada mulanya seolah-olah rakyat tidak mahu bergajak..namun akur dengan arahan pimpinan, Kami dengan rasa bangga dan girangnya berpusing dan mula bergerak meninggalkan istana Negara..girang..sedikit pun tidak rasa kerugian.

Jalan ! Jalan ! Jalan terusTenang! Tenang! Polis Tenang!...Aman! Aman! Rakyat Aman!..Polis Tenang!. Rakyat Aman!


4.40ptg

Para peserta perhimpunan aman BERSIH telah tiba di Masjid Negara dengan hati yang penuh kesyukuran kepada Allah kerana melancarkan perhimpunan ini dengan baik walaupun masih ada sedikit sebanyak gangguan daripada pihak FRU terutamanya di Masjid Jamek. Di kejauhan, kelihatan masih ramai lagi orang di sekitar masjid dan juga di atas fly over yang melihat kelibat kehadiran kami di situ. Mungkin mereka dari kalangan peserta perhimpuan yang tidak sempat mengikuti agenda penyerahan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung di Istana Negara. Sesekali mereka melambai-lambai tangan ke arah kami dan sesekali ada juga yang masih mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan hari yang bersejarah itu dan kami yang memegang kain rentang sememangnya tidak diabaikan oleh para peminat perhimpunan aman ini.