20 November 2007

Engkaulah Penyejuk Mataku


Musim cuti sekolah kembali lagi. Pelbagai perkara yang tersurat dan tersirat dalam memoriku.Teringat gelagat kawan-kawan sepermainan yang pelbagai ragam. Kenangan yang bermula seawal umur 5 tahun sehingga aku menjejakkan kaki ke menara gading, semuanya masih tersimpan kemas dalam komputer ingatanku ini.

Ah, lupakan seketika dunia persekolahan itu. Bukan itu yang inginku ceritakan di sini. Cuma musim cuti sekolah sekarang yang telah menjadi lanskap baru dalam hidupku sekarang adalah amat berbeza sekali pengertiannya. Musim cuti sekolah adalah musim orang kahwin. Ya, musim orang kahwin..bila tiba musim cuti sekolah atau sebut saja pasal kahwin, kawan-kawanku pasti akan teralih sama padaku. Ish, kadang-kadang rimas juga rasanya. Bukan aku tak nak kahwin. Tapi bagiku ia bukan satu perkara yang enteng untuk dilaksanakan. Misi ini adalah satu misi yang penuh dengan cabaran. Pelbagai persedian yang perlu aku sediakan. Lebih mencabar dari mission imposible lakonan Tom Cruse.

Aku teringat kata-kata ayahku suatu ketika dulu,”Kalau nak kawin, carilah yang betul-betul. Bukan setakat nak buat bini je tapi juga untuk masa depan anak-anak kau. Kalau tersilap pilih nanti kesannya pada anak-anak kau.” Betul juga kata ayahku tu. Sebelum ni, aku hanya fikir nak kahwin je, asalkan berkenan kat hati dan sedap mata memandang dah kira ok. Hampir terlupa pada generasi aku akan datang. Ish,ish…memang tak layak kahwin lagi aku ni rupanya.

Baru aku tahu apa hikmah pensyariatan perkahwinan dalam Islam. Selama ini aku hanya tahu belajar je. Nak skor markah tinggi hafal isi-isi penting pastu hafal sepotong dua dalil dari al-Quran atau al-Hadis. Mudahnya menuntut ilmu agama sekarang ni. Erm…patutla dunia Islam sekarang ni huru-hara sebab ramai sangat ustaz sekarang ni macam aku. Kelulusan tinggi tapi kosong penghayatan dan amalan. Kadang-kadang bila aku tengok pelajar-pelajar jurusan agama sekarang ni macam tak percaya rasanya mereka ambil kursus tu. Bukan memandang lekeh tapi bagi aku merekalah generasi ulama pada masa depan.Aku tertanya-tanya sendirian, mampukah mereka (dan juga aku) untuk memikul tanggungjawab yang pernah diamanahkan kepada para rasul sepanjang zaman ini. Ish…gerun rasanya bila difikirkan azab Allah nanti.

Bila aku fikir masak-masak, aku sememangnya perlu mencari pasangan hidup yang betul-betul mampu untuk membentuk generasi pewaris aku nanti. Biarlah aku bukan dari keturunan alim ulama’ namun aku mengharapkan agar generasiku ini adalah generasi para alim ulama’. Ya. Aku kahwin bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan hati dan naluri tetapi juga untuk tuntutan ummah. Sesungguhnya Rasulullah berbangga dengan umatnya yang ramai.

Aku ingin memetik sebaris doa yang sememangnya telah diketahui ramai, yang juga satu doa yang tertera dalam kitab Agung sepanjang zaman iaitu :

ربنا هب لنا من أزواجنا و ذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما

Yang bermaksud :

“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Menurut Al-Zujjaz, “Allah Taala menyejukan mata kami” ialah menenangkan jiwa kamu dengan memenuhkannya dengan perasaan cinta. Dan berkata Al-Mufaddhal pula dalam masalah قرة العين ini ada 3 pandangan iaitu:

Pertama :Air matanya (iaitu ketika ketawa dan gembira dan airmata kesedihan).

Kedua : Tidurnya (kerana hilangnya kelaparan dan kesedihan).

Ketiga : Berasa redha

Tiada Keraguan lagi bahawa yang dikehendaki daripada ayat ini iaitu menjadi penyejuk mata bagi mereka di dalam beragama bukan pada urusan dunia samada daripada harta dan kecantikan yang difikirkan oleh kebanyakkan orang sekarang. Kemudian disebut dalam ayat ini 2 bentuk :-
Pertama : Mereka memohon daripada Allah Taala akan isteri-isteri dan zuriat di dunia yang bersama-sama dengan mereka dan mereka suka seandainya isteri dan anak-anak mereka itu bersama-sama dengan mereka dalam berbuat ketaatan kepada Allah Taala dan memperkuatkan lagi keinginan mereka untuk memperoleh kebahagiaan bersama-sama anak dan isteri mereka itu di syurga. Justeru memperlengkapkan keseronokan mereka di dunia dan memperoleh pahala di akhirat.
Kedua : Mereka memohon kepada Allah Taala agar menempatkan isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka bersama dengan mereka di dalam syurga. Justeru menyempurnakan kegembiraan mereka pada anak-anak dan isteri mereka.

Ah, hebat sungguh pandangan ulama’ dulu dalam membicarakan perihal pasangan hidup ini. Tidak hairan rasanya ramai para ulama’ dulu lahir dari kalangan generasi dari rantai-rantai ulama’ juga. Tidak cukup tangan untuk dihitung berapa ramai ulama’ Islam yang lahir di dunia dari generasi para ulam’ juga. Bahkan mampu mengharumkan lagi nama Islam pada pandangan mata dunia. Dengan kata lain, doa ini bukan hanya menbentuk generasi yang menyejukkan pandangan mata ibu bapa sahaja tapi juga menyejukan hati Islam keseluruhannya hingga terbeliak juga mata para kufar di persada maya.

Nah, di sini inginku kongsi sedikit lagi beberapa pandagan ulama’ berkenaan doa yang ma’thur ini. Di sini dikongsi pandangan mereka dari sudut susunan bahasa doa ini yang sememangnya satu mujizat kepada Kalam Allah. Sesungguhnya pendapat para ulama berkenaan firman (من أزواجنا ) ialah kemungkinan samada keterangan itu menunjukkan seolah-olah Allah Taala bermaksud ( هب لنا قرة أعين ) kemudian diterangkan tentang penyejuk ( القرة ) dan ditafsirkan dengan firman Allah Taala (من أزواجنا ). Hal ini diambil contoh dari sudut bahasa Arabnya iaitu daripada kata-kata mereka رأيت منك أسدا iaitu انت أسد . Satu lagi pandangan mereka adalah mungkin bermaksud uslub permulaan dengan maksuk هب لنا من جهتهم ما تقربه عيوننا من طاعة وصلاح (kurniakanlah kepada kami daripada mereka yang menyejukan hati kami daripada ketaatan dan amalan soleh. Pendapat yang lain pula adalah tidak disebut قرة عين pada ayat tersebut (iaitu dinakirahkan dan digunakan bilangan mufrad) adalah kerana mudhaf tidak boleh dinakirahkan kecuali dinakirahkan pada mudhaful ilaih seperti: هب لنا منهم سرورا و فرحا dan sesungguhnya disebut أعيون tetapi tidak disebut عيون Kerana Allah Taala ingin bermaksud أعين المتقين iaitu قليلة disandarkan kepada عيون غيرهم seperti firman Allah ( وقليل من عبادي الشكور ).

Erm, mungkin agak rumit untuk difahaminya apatah lagi bila dihurai dalam konteks bahasa Arab yang tidak semua orang dapat menguasainya. Namun, secara ringkasnya boleh disebut di sini bahawa terdapat tiga pandangan ulama’ dari sudut penggunaan tatabahasa Bahasa Arab di dalam ayat ini. Pandangan pertama ialah Allah ingin menyebut bahawa orang-orang yang berdoa itu mendoakan agar dikurniakan penyejuk mata itu dari kalangan isteri dan anak-anak mereka. Perkataan قرة أعين sebagai fokus doanya dan من أزواجنا sebagai maksud kepada penyejuk mata yang diingininya itu iaitu mengharapkan agar Allah tenangkan hatinya dengan dikurniaan isteri (dam juga anak) yang soleh . Pandangan kedua pula meletakkan من أزواجنا sebagai fokus doanya dan قرة أعين sebagai maksudnya iaitu mengharapkan agar jenis isteri (dan juga anak) yang diingininya itu adalah menyejukkan pandangan mata. Manakala pandangan ketiga pula ingin menjelaskan bahawa terdapat sedikit sahaja penyejuk mata dari kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Sedar tak sedar doa yang kita lafazkan setiap kali selepas sembahyang lima waktu ini begitu tinggi nilaiannya. Bak kata peribahasa, “hanya jauhari yang mengenal manikam”. Moga-moga aku juga mampu untuk menggapai inti pati maksud kalimah Allah yang agung ini. Siapakah yang akan menjadi penyejuk mataku? Hanya engkau sahajalah yang mampu menjadi penyejuk mataku.

No comments:

Post a Comment