21 June 2008

Sedikit Bicara Luka: Selamat Hari Bapa, Ayahku!

Walaupun sambutan hari bapa tidak semeriah sambutan-sambutan yang lain tapi ia merupakan satu peringatan yang mulia bagi seorang anak terhadap bapa yang tercinta. Tanpa bapa tidak wujudlah kita di alam dunia ini. Tiadalah jua erti kasih sayang dan marah benci dalam institusi sesebuah kekeluargaan. Kerana kasih sayang dan marah benci seorang bapa adalah begitu bernilai dalam kehidupan pembentukan diri seorang insan bergelar anak. Aku dan kita semua dibesarkan oleh kasih sayang dan marah benci seorang ayah yang begitu berlainan sekali dengan kasih sayang dan marah benci seorang ibu kerana emosi dan perasaan seorang ayah tidak sama dengan emosi dan perasaan seorang ibu.

Namun, hari telah berlalu. Aku telah hilang kasih sayang dan marah benci seorang ayah. Aku gagal memahami butir bicara dan didik tarbiah seorang ayah. Aku begitu merindui jerit pekik ayahku yang dulu. Jerit pekik ayahku yang mengejutkanku dari lena yang panjang untuk secukup masa mengabdikan diri pada Tuhan Pencipta Alam di kala waktu subuh menjelma.

Aku merindui kasih ayah tatkala tidak memberikanku secukup wang di hari-hari persekolahanku dulu. Kadang-kala aku terpaksa meminta sedikit ihsan dari guru untuk meringankan yuran sekolahku. Akhrinya aku diringankan sedikit bayarannya dan ditanggung oleh PIBG sekolah. Dan akhirnya juga aku tidak perlu untuk membayar yuran peperiksaan SPM hasil dari ihsan seorang guru.

Aku merindui sayang ayahku yang menyuruhku dan adik beradikku membanting tulang mengusahakan sawah di bendang dan menyusun batu-bata membina bangunan impian orang lain demi sesuap nasi kami setiap hari. Walhal ketika itu kami masih lagi sekecil Adi Putra untuk kerja seberat itu.

Aku merindui marah ayahku apabila beliau melihat keputusan ujian bulananku yang hanya kerana tidak mendapat nombor 1 di dalam kelas. Walhal aku berada dalam kelas yang pertama dan mempunyai banyak bilangan 'A' dalam matapelajaran yang aku ambil.

Aku merindui benci ayahku dengan sikapku dulu yang tidak suka berkongsi senang dengan adik-beradik dan masyarakat di sekeliling. Walhal apalah sangat yang ku tahu dalam umur seusia 5 dan 6 tahun itu. Dengan kawan sepermainan pun selalu bertumbuk dan bergaduh.

Namun, hari terus berlalu. Kasih sayang seorang ayah tidak boleh dijual beli, marah benci nya juga penuh bererti. Kasih ayahku itulah membuatkanku tahu erti nilai kemiskinan dan kekayaan, merentap jiwaku supaya mengatur cita mencapai jutaan harta demi ihsan seseorang yang pernah kuterima suatu waktu dulu dan tentunya juga RahimNya Tuhan mencipta derita untuk sedikit cita.

Aku tahu kini, kerana sayang ayahku itulah membuatkan naluriku kenal erti seksa dan derita seorang ayah demi mebesarkan anak-anak yang punyai seribu harapan dan masa depan. Bahkan juga menghilangkan keluhku di hari kemudian kenapa ditakdirkan aku hidup dalam garis penderitaan. Hakikatnya juga telah mengenalkanku dengan erti kecekalan dan ketabahan.

Aku sedar kerana dek marah ayahku itulah yang membuartkan aku tidak kenal putus asa dan kepayahan dalam mengejar tujuan dan harapan. Membina diri dari sebalik tembok angan-angan dan mengatur langkah menjadi yang terbaik dalam erti meraih kejayaan dan masa depan.

Dan aku juga akui kini bahawa sikap benci ayahku itulah yang mengajarku erti kesenangan yang hakiki. Ia bukan hak milik peribadi namun ia perlu dikongsi. Katanya, biar kita menanggung derita namun biarlah orang menikmati selesa. Jangan diungkit cerita duka kita dan sebarkan senyum pada semua.

Itulah ayahku walau ilmu tidak bertimba, harta tidak seberapa, namun mencipta hati mulia itulah nilai tarbiah darinya walaupun ku tahu aku bukan seorang yang mulia..

Aku begitu merinduimu ayah. Walaupun engkau telah bertemu dengan Yang Esa, aku doakan agar engkau ditempatkan di sana bersama-sama orang yang mulia. SELAMAT HARI BAPA UNTUKMU !!

No comments:

Post a Comment