22 November 2008

Kuasa Niat

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.
( Hadis Sahih Bukhari dan Muslim )


Sudah sekian lama saya cuba menaakul hadis ini yang dikatakan sebagai hadis yang meliputi satu pertiga dari Islam mengikut para ulama seperti Imam Syafie dan lain-lainnya.Ini kerana ia membicarakan tentang niat yang merupakan satu kriteria awal yang akan dinilai oleh Allah Taala sama ada diterima atau tidak amalan seseorang itu. Manakala dua pertiga dari Islam yang lainnya ialah lisan dan amalan.

Sedar atau tidak bahawa kita sebenarnya sentiasa dibayangi oleh niat kita dalam kehidupan harian kita setiap hari? Niat inilah yang mencorakkan perjalanan hidup kita sepanjang hari itu. Seawal kita bangun dari tidur hingga kita ingin tidur kembali akan sentiasa ada niat-niat yang menyelangi setiap amalan kita pada hari tersebut. Sekiranya niat kita sewal pagi sebaik sahaja bangun dari tidur dipacakkan dengan niat yang baik maka Insyaallah sepanjang hari kehidupan kita pada hari tersebut akan berlalu dengan baik.

Adakah sebesar itu niat mempengaruhi hidup kita? Ya, kerana ia merupakan satu ikrar terhadap diri kita sendiri dalam setiap tingah laku yang akan kita atur langkah geraknya pada setiap waktu. Cuba renungkan dan jelmakan kembali diri kita tatkala kita ingin tidur. Adakah kita baca doa tidur? Apa yang kita baca? 'Bismikallahumma ahya wa amut'.Tidakkah kita menyeru nama Allah waktu itu? Nah, di situlah bermulanya niat kita dengan diqasadkan jiwa dengan ikrar kepada Allah dan diri kita sendiri yang menyatakan Allah sebagai Tuhan yang berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan sesiapa sahaja dan apapun sahaja dalam alam semesta ini. Adakah kita renung dan fahami doa yang kita lafazkan itu? Jika kita betul-betul niatkan apa yang kita bacakan itu nescaya kehidupan kita pada hari esoknya akan berjalan dengan baik. Namun, sekiranya bacaan itu sekadar mainan di bibir kita sahaja dan sudah menjadi satu adat kepada kita apabila ingin tidur maka natijahnya kehidupan hari esoknya belum tentu akan berlaku seperti yang didoakan itu. Kerana kita hanya menyeru ( doa ) tetapi tidak berniat. Firman Allah dalam hadis Qudsi bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu - yakni mana-mana yang termasuk hasanah dan mana-mana yang termasuk sayyiah. Maka barangsiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah yang Maha Suci dan Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya, dan barangsiapa berkehendak mengerjakan kebaikan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah sebagai sepuluh kebaikan di sisiNya, sampai menjadi tujuh ratus kali lipat, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda yang amat banyak sekali. Barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatatlah oleh Allah Ta’ala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Ta’ala sebagai satu keburukan saja di sisiNya.” (Muttafaq ‘alaih)



Maksud niat

Sudut bahasa bermaksud mensasarkan sesuatu perbuatan atau hasrat untuk melakukan sesuatu tindakan. Manakala dari sudut Syara` pula bermaksud berhasrat melakukan sesuatu serta diringi dengan perlakuan.

Kita kembalikan ruang fikir kita pada amalan kita ketika hendak tidur tadi. Adakah doa yang kita lafazkan itu merangkumi pada maksud niat seperti yang dinyatakan ini? Adakah kita mengiringi doa kita dengan hasrat untuk melakukan setiap amalan kita keesokan harinya dengan menepati garis syariat Allah sebagai Tuhan yang berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan itu?

Soalan seterusnya, pukul berapa kita bangkit dari tidur? pukul 5, 6 atau tatkala matahari sudah meninggi di ufuk barat? Tidakkah kita sedar bahawa kekuatan kita utuk bangkit dari tidur keesokan harinya adalah faktor dari doa yang kita bacakan sebelum tidur itu. Di situlah kita boleh menilai doa kita itu adakah sebagai satu ibadah atau hanya amalan biasa kita yang sudah terlekat di bibir.

Begitulah seterusnya, kita akan rasai setiap tingkah laku kita pada hari itu diiringi dengan niat. Oleh hal demikian, doa diajarkan kepada kita oleh Rasulullah SAW sebagai satu amalan untuk mengiiringi niat yang kita lakukan itu. Di sini kita akan melihat satu lagi kehebatan Baginda Rasulullah SAW yang telah menjadikan satu sunnah amalan berdoa dalam setiap perbuatan hariannya dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara. Dari amalan doa bangkit dari tidur sehinggalah kepada amalan doa untuk tidur kembali seperti yang disebutkan tadi.

Niat Sebagai Misi Harian

Sebetulnya apabila saya menaakul, bertanya serta belajar tentang hadis ini maka adalah satu bahasa yang mudah untuk diungkapkan bahawa niat merupakan misi setiap amlan harian kita. Dengan diiringi bacaan doa-doa ma'thur dari Rasulullah SAW telah menghasilkan satu kesan yang positif dalam kehidupan harian kita yang mempengaruhi corak kita berfikir dan bertindak balas secara tidak langsungnya. Apabila setiap amalan dimulai dengan doa, setidak-tidaknya dengan kalimah 'Bismillahi Rahmani Rahim' maka sebenarnya kita sentiasa memperbaharui ikrar kita dengan Allah dan juga diri kita sendiri. Apatah lagi doa-doa itu terdapat keberkatan yang tersendiri hasil kesan langsung dari ajaran Islam yang indah ini.


Berkata Imam Al-Ghazali :

“Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa adalah menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya bahawa perisai adalah menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

No comments:

Post a Comment