24 March 2008

Salam Maulid al-Rasul

Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, baginda mengatakan bahawa baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut-sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati, hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, "Bukankah kami ini ikhwanmu?". "Tidak, Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku.", kata Rasulullah.

Ikhwanku itu, menurut Rasulullah s.a.w, "Mereka adalah yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka."

Saya mengucapkan salam maulid al-Rasul pada semua walaupun telah berlalu beberapa hari sambutan Hari Kebesaran Islam ini. Saya tidak ingin ketinggalan dalam mensyukuri anugerah Allah kepada saya iaitu diberiNya seorang Rasul yang paling Mulia di kalangan yang Termulia. Inilah antara hari yang penuh bermakna pada semua umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun ada segelintir umat Islam yang tidak mengharuskan menyambutnya, bahkan ada juga yang melarangnya namun keistimewaaan hari kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW ini harus direnung oleh semua. bukan sekadar untuk menyanjung dan memuja Baginda Rasul tapi yang lebih utama adalah mengoreksi kembali segala perjuangan dan jerit payah Baginda dalam membawa misi Islam di muka bumi ini.

Sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW di sisi umat Islam ini bukan sebagai satu pemujaan kepada Baginda tapi satu penghormatan dan rasa berterima kasih kepada Baginda yang telah telah membawa sinar kehidupan kepada seluruh alam yang sememangnya payah dan sukar untuk orang lain lakukan sebagaimana yang Baginda lakukan ini. Baginda berusaha sedaya upaya Baginda menyahut amanah yang agung ini dari Allah Taala yang Maha Tahu akan segala yang berlaku.Baginda tidak mengeluh dan tidak juga merusuh terhadap segala ketetapan dan perintah Allah yang berlaku keatas diriNya. Memang wajarlah Baginda dinobatkan sebagai manusia Teragung di muka bumi ini.

Walau apa pun bentuk penghormatan kita terhadap Baginda, janganlah sampai berlaku permusuhan dan pertelingkahan sesama umat Islam kerana kita manusia yang diciptakan oleh Allah ini mempunyai pelbagai variasi pemikiran dan pandangan, dan jangan pula bentuk penghormatan kita itu melampaui akhlak dan syariat. Biar kita berpayung dibawah kalimah perpaduan yang satu dan sukar diganggu gugat oleh para musuh-musuh Islam. Biar seruan Islam kita dirasai oleh semua orang bahkan dari kaum kufar sekalipun. Kita buktikan agama Islam adalah agama yang terbaik dan tiada agama yang lebih tinggi darinya. Laksanakan misi ini sebagai penerus perjuangan Rasulallah SAW. Kibarkan panji Islam di seluruh pelusuk alam maya. Yakinlah, masa depan Islam pasti gemilang. SALAM MAULIDUR RASUL...

20 March 2008

Senarai Exco dan Portfolio Kerajaan Kelantan


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar dan Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli

Datuk Ahmad Yaacob
Timbalan Menteri Besar dan Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah.

Datuk Husam Musa
Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan.

Datuk Anuar Tan Abdullah
Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat.

Mohd Amar Abdullah
Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah.

Datuk Takiyuddin Hassan
Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Mej (B) Md Anizam Abd Rahman
Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar.

Abdul Fatah Mahmood
Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dr Mohd Fadhli Hassan
Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi.

Che Abdullah Mat Nawi
Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi.

Wan Ubaidah Omar
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

14 March 2008

Kebijaksanaan Sultan dan kebodohan UMNO


'Raja adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah', inilah kata-kata keramat panglima Melayu dahulu kala yang sinonim dengan Laksmana Hang Jebat. Mungkin darah Hang Jebat juga turut mengalir dalam darah rakyat Malaysia sekarang walaupun bukan di negeri Melaka tapi di negeri Perak Darul Ridzuan.

Apabila Lim Kit Siang menggunakan statusnya sebagai Pengerusi DAP membuat kenyataan untuk memboikot perlantikan Ir. Muhamad Nizar Jamaludin dari wakil PAS sebagai Menteri Besar, bertimbun rasa tidak puas hati rakyat terhadap kenyataan Lim Kit Siang itu samada yang tertera dalam media arus perdana, media maya dan juga cakap-cakap di kedai kopi. Sikap Lim kit Siang itu seolah-olah telah menderhakai Baginda Sultan yang telah memperkenankan akan perlantikan tersebut. Maka, bersegeralah Kit Siang memohon maaf kepada baginda Sultan. Walhal, dengar ceritanya, adegan itu sememang dirancang oleh Kit Siang untuk menyejukkan hati para penyokongnya yang berbangsa Cina yang sedikit kegelisahan atas perlantikan Nizar itu. Apabila Kit Siang memohon maaf kepada baginda Sultan maka reda jualah rasa kegusaran penyokongnya itu.

Al-Kisah Sultan yang bijaksana ini pula begitu saksama adilnya. Maka, untuk meredakan pula perselisahan rakyat jelata, maka diminta kesemua calon yang menang itu mengadap baginda dan menandatangani perjanjian taat setia kepada Menteri Besar yang diperkenannya itu. Biar hilang resah dijiwa, biar padam kesumat membara. Sungguh bergeliga otak baginda Raja...

Namun, lain pula ceritanya pakatan BN kebelakangan ini terutama UMNO yang berlagak perwira itu. Walaupun, panglima-panglima mereka ramai yang kecundang di gelanggang, masih ramai lagi yang tidak sedarkan diri. Panglima Rais Yatim masih sombong menghina kecelaruan yang berlaku di Perak itu. Beliau sanggup membuat kenyataan bahawa Sultan tidak mendapat nasihat yang betul yang menyebabkan baginda terpaksa memilih pakatan Barisan Rakyat sebagai Menteri Besar. Katanya, BN sepatutnya yang lebih layak kerana BN paling banyak yang menang iaitu berjumlah 28 kerusi. Manakala, kemenangan Barisan Rakyat tidak boleh diterima sebagai majoriti kerana tidak ada pakatan secara bertulis. Mentang-mentanglah beliau berkelulusan Phd dalam pelembagaan Malaysia sampai lupa bahawa baginda Sultan adalah bekas hakim negara dan pemangku Sultan juga tidak kurang hebat pendidikannya.

Satu lagi kebodohan UMNO ialah peristiwa yang berlaku di Perlis Indera Kayangan. Setelah turun-naik Shahidan Kassim membodek ketua kesayangannya Abdullah Badawi sebagai Menteri Besar Perlis, tiba-tiba nama Dato' Dr. Md Isa Sabu pula yang timbul menjadi Menteri Besar. Bahkan sebelum ini, beliau mencerca sesiapa sahaja yang menolak perlantikannya sebagai Menteri Besar dan akan dikenakan tindakan disiplin atau dibuang parti. Beliau juga memberitahu sidang media bahawa beliau telah mendapat surat watikah dari Abdullah Badawi dan mendakwa tindakannya itu terkandung dalam peraturan Whip yang dipengerusikan oleh Najib Tun Razak.


Idris Jusoh pula diam membisu perihal namanya sudah tidak disebut sebagai Menteri Besar Terengganu lagi. Sudah tidak ada cakap-cakap besarnya sebelum ini. Bahkan, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) pula yang bertitah ingin berjumpa dengan semua ADUN UMNO yang menang kecuali Idris Jusoh pada pukul 11 pagi esok di sebuah hotel di Putrajaya bagi membincangkan perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru. Inilah nasib Idris Jusoh yang begitu ghairah dengan Masjid Kristalnya itu. Kononnya Terengganulah Pusat Tamadun Islam pada zaman ini. Tengok apa jadi pada bapa Terengganu Bestari ini. Dulunya bukan main membodek PM yang dikasihinya itu.

Sekarang ini Pak Lah juga berada dalam kegelisahan. Sudah Banyak suara-suara dalam UMNO yang menuntut supaya beliau berundur. Bahakan sudah ada satu draf petisyen dan gesaan yang begitu berani dari ahli UMNO supaya Presiden UMNO itu meletakkan jawatan. Inilah UMNO yang kononnya dijulang sebagai jaguh dan pejuang bangsa Melayu. Rupa-rupanya berperang dalam kelambu sendiri...menang sorak, kampung tergadai.

12 March 2008

Teruskan Perjuangan Para Blogger

Pada awalnya, saya berpendirian untuk mengabaikan isu politik dalam blog ini selepas sahaja selesai pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Akan tetapi apabila difikir beberapa kali, saya rasa desakan massa arus perdana yang berat sebelah harus diseimbangkan sedikit agar masyarakat tidak hilang maklumat yang sebenar. Peranan blogger seluruh tanah air perlu dipergiatkan lagi di saat ini supaya kuasa kezaliman tidak terus bermaharajalela di pelosok negara ini. Terlalu banyak manipulasi yang digunakan oleh pihak pemerintah tertinggi negara ke atas media massa perdana dalam menjatuhkan kredibiliti barisan perwakilan dan kepimpinan dari Barisan Rakyat. Pelbagai isu dimainkan bagi menunjukkan kelemahan pakatan Barisan Rakyat ini. Walhal, kain mereka sendiri yang banyak koyak.

Sejak termaktubnya dalam sejarah bahawa pihak Barisan Rakyat telah berjaya menguasai lima negeri di semenanjung Malaysia ini, makin ligat mereka memburukkan pakatan tersebut. Isu yang paling hangat lagi ketika ini adalah perlantikan Menteri Besar Perak walaupun jawatan tersebut baru sahaja disahkan tadi dan telah diperkenankan oleh pemangku Sultan Perak bahawa Ir. Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang baru dan seterusnya akan mengangkat sumpah pada hari esok. Namun, sudah dimainkan oleh media bahawa pihak DAP tidak menyetujui perlantikan tersebut dan akan memboikot majlis perlantikan itu. inilah, media arus perdana yang cuba seboleh mungkin untuk melagakan pakatan Barisan Rakyat.

Bahkan di Pulau pinang pula, mereka mengapi-apikan bahawa DEB cuba dimansuhkan oleh DAP di Pulau Pinang dan menyalahkan masyarakat Melayu yang menyokong dan mengundi DAP pada Pilihan Raya yang lalu sebagai penyebab terhapusnya keistimewaan orang Melayu. Mereka cuba membuakkan sentimen perkauman di kalangan rakyat walhal perkara tersebut tidak berlaku pun sama sekali. Mereka cuba menutup bahawa UMNO adalah pemusnah sebenar hak orang Melayu, UMNO jugalah yang mengkhianati DEB itu. Slogan hak Melayu hanya diguna pakai untuk kepentingan kroni mereka. Peneguhan kepentingan DEB hanya untuk syarikat-syarikat mereka yang berkepentingan sahaja. Saya petik sedikit daripada Utusan Malaysia yang bertarikh 24 Januari 1971 :

"Pada 23 Januari 1971, strategi-strategi Dasar Ekonomi Baru telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein di dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur. Strategi-strategi tersebut ialah:-

Pertama: Mengadakan rancangan-rancangan untuk membasmi kemiskinan dikalangan rakyat jelata yang tidak berada, baik di luar bandar mahupun di dalam bandar.

Kedua: Meninggikan kadar pertumbuhan ekonomi dengan cara memperhebatkan lagi rancangan pembangunan pertanian dan perusahaan termasuklah penyertaan kerajaan dalam rancangan-rancangan pembangunan ini.

Ketiga: Mewujudkan satu golongan pengusaha dan pedagang di kalangan orang-orang Melayu pada semua lapisan.

Keempat: Menyusun semula masyarakat Melayu di luar bandar yang semata-mata bergantung kepada pertanian dan mengubahnya menjadi masyarakat moden yang berlandaskan pertanian dan juga perusahaan dan perdagangan.

Strategi-strategi yang realistik yang telah dirangka oleh Kerajaan ini adalah selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru iaitu untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan untuk menyusun semula masyarakat bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Strategi Dasar Ekonomi Baru yang diumumkan dalam tahun 1971 ini merupakan dasar yang penting dalam usaha Kerajaan untuk mewujudkan perpaduan di negara ini. Perpaduan negara tidak akan wujud sekiranya kedudukan ekonomi yang tidak seimbang di kalangan rakyat berbagai kaum tidak diatasi dan kemajuan serta kemakmuran negara tidak dinikmati dengan lebih adil dan saksama."


Esok, kita akan tengok apa pula isu yang cuba dimanupulasi oleh mereka.Zaazzzz....

04 March 2008

Aku dah cakap dah...depa ni PELAMPAU !


KUALA LUMPUR 4 Mac – Harga minyak mentah global merekodkan paras tertinggi baru apabila melonjak melepasi paras AS$103 (RM329.48) setong awal pagi tadi berikutan kejatuhan berterusan nilai dolar Amerika Syarikat (AS).

Harga minyak mentah berkualiti tinggi ‘Light Sweet’ di pasaran hadapan New York Merchanti le Exchange (NYMEX) bagi penghantaran bulan April melonjak ke paras setinggi AS$103.95 (RM332.52) setong, mengatasi rekod tertinggi yang dicatat pada Jumaat lalu iaitu AS$103.05 (RM329.64) setong.

( Utusan Online )

PUTRAJAYA 4 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan penggunaan dakwat pada kuku semasa pengundian pada pilihan raya umum 8 Mac ini dibatalkan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di sini yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

( Utusan Online )


Apa agaknya ye selepas ni??




01 March 2008

Jangan LAH melampaui batas


“Kerajaan Pusat tidak pernah anak tirikan rakyat Kelantan tetapi mereka dihasut Pas supaya jangan mengundi dan menolak BN serta Umno. Itulah kata mereka kepada rakyat Kelantan, sedangkan BN nak bagi Kelantan maju, bukannya apa... tiada udang di sebalik batu.
(Berita Harian)

‘Yang ingin memajukan Kelantan dengan ikhlas dan tegas adalah kerajaan BN. Jika ada peluang, dengan sokongan kuat, saya berani katakan rakyat akan menyaksikan sesuatu yang belum pernah dilihat (dalam pembangunan) sebelum ini berdasarkan potensi besar negeri ini.
(Utusan Malaysia)


Tiada udang di sebalik batu?? Ikhlas dan tegas?? Apakah tiada udang di sebalik batu apabila datang ke Kelantan hanya menjelang pilihan raya?..Memang BN dasar pembohong. Ikhlas dan tegas ke apabila berjanji untuk untuk membina sebuah universiti di Kelantan sejak 1982 dahulu tidak terbina sampai sekarang? Setelah 26 tahun lamanya rakyat Kelantan menunggu janji manis BN membina sebuah universiti... Memang BN dasar pemungkir janji. Adakah kita juga telah lupa bahawa Kelantan terus dianaktirikan oleh kerajaan korup BN apabila sumber kewangan kerajaan negeri dinafikan dan disekat? Memang BN dasar pengkhianat amanah.

Ucapan beliau di Bachok semalam adalah tanda bahawa beliau akan buat apa sahaja untuk menawan Kelantan. Walaupun angin sekarang lebih banyak memihak kepada PAS dan sokongan padu daripada rakyat jelata di Kelantan sungguh mengharukan, akan tetapi, apa-apa sahaja boleh berlaku sekarang ni. Semua sudah sedia maklum perangai jahat BN yang berhati busuk ini, kalau pilihan raya ke -11 yang lalu, mereka mampu menunjukkkan kemenangan yang besar yang tidak sesiapa pun menjangkakannya. Apatah sangat untuk menawan sebuah negari sebesar Kelantan, tentu sekali perancangan rapi telah diatur untuk merealisasikannya. Nampaknya sikap jahat BN ini telah melengkapkan satu lagi ciri-ciri golongan orang munafik...iaitu melampaui batas.

SAbda Rasulullah SAW bermaksud: "Ciri-ciri orang munafik ialah apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri, apabila diberi amanah ia khianati, dan apabila bergaduh ia melampaui batas."

Sikap melampui batas BN sudah kita sedari dan rasai sejak awal lagi. Segala agensi kerajaan dimanupulasi semahunya untuk tujuan politik mereka. tambahan lagi, SPR juga dikudakannya sesuka hati yang menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Lihat saja apa yang berlaku semasa hari penamaan calon seminggu lalu. Ketelusan SPR betul-betul diragui...
Memang dasar pelampau.

Cukuplah BN, sudah lama kamu memerintah. Terlampau banyak kerosakan yang telah kamu lakukan di negaraku yang tercinta ini.Kenapalah kamu ingin rosakkan pula negeri kesayanganku itu?..bo laa, pade doh!