14 March 2008

Kebijaksanaan Sultan dan kebodohan UMNO


'Raja adil raja dijulang, raja zalim raja disanggah', inilah kata-kata keramat panglima Melayu dahulu kala yang sinonim dengan Laksmana Hang Jebat. Mungkin darah Hang Jebat juga turut mengalir dalam darah rakyat Malaysia sekarang walaupun bukan di negeri Melaka tapi di negeri Perak Darul Ridzuan.

Apabila Lim Kit Siang menggunakan statusnya sebagai Pengerusi DAP membuat kenyataan untuk memboikot perlantikan Ir. Muhamad Nizar Jamaludin dari wakil PAS sebagai Menteri Besar, bertimbun rasa tidak puas hati rakyat terhadap kenyataan Lim Kit Siang itu samada yang tertera dalam media arus perdana, media maya dan juga cakap-cakap di kedai kopi. Sikap Lim kit Siang itu seolah-olah telah menderhakai Baginda Sultan yang telah memperkenankan akan perlantikan tersebut. Maka, bersegeralah Kit Siang memohon maaf kepada baginda Sultan. Walhal, dengar ceritanya, adegan itu sememang dirancang oleh Kit Siang untuk menyejukkan hati para penyokongnya yang berbangsa Cina yang sedikit kegelisahan atas perlantikan Nizar itu. Apabila Kit Siang memohon maaf kepada baginda Sultan maka reda jualah rasa kegusaran penyokongnya itu.

Al-Kisah Sultan yang bijaksana ini pula begitu saksama adilnya. Maka, untuk meredakan pula perselisahan rakyat jelata, maka diminta kesemua calon yang menang itu mengadap baginda dan menandatangani perjanjian taat setia kepada Menteri Besar yang diperkenannya itu. Biar hilang resah dijiwa, biar padam kesumat membara. Sungguh bergeliga otak baginda Raja...

Namun, lain pula ceritanya pakatan BN kebelakangan ini terutama UMNO yang berlagak perwira itu. Walaupun, panglima-panglima mereka ramai yang kecundang di gelanggang, masih ramai lagi yang tidak sedarkan diri. Panglima Rais Yatim masih sombong menghina kecelaruan yang berlaku di Perak itu. Beliau sanggup membuat kenyataan bahawa Sultan tidak mendapat nasihat yang betul yang menyebabkan baginda terpaksa memilih pakatan Barisan Rakyat sebagai Menteri Besar. Katanya, BN sepatutnya yang lebih layak kerana BN paling banyak yang menang iaitu berjumlah 28 kerusi. Manakala, kemenangan Barisan Rakyat tidak boleh diterima sebagai majoriti kerana tidak ada pakatan secara bertulis. Mentang-mentanglah beliau berkelulusan Phd dalam pelembagaan Malaysia sampai lupa bahawa baginda Sultan adalah bekas hakim negara dan pemangku Sultan juga tidak kurang hebat pendidikannya.

Satu lagi kebodohan UMNO ialah peristiwa yang berlaku di Perlis Indera Kayangan. Setelah turun-naik Shahidan Kassim membodek ketua kesayangannya Abdullah Badawi sebagai Menteri Besar Perlis, tiba-tiba nama Dato' Dr. Md Isa Sabu pula yang timbul menjadi Menteri Besar. Bahkan sebelum ini, beliau mencerca sesiapa sahaja yang menolak perlantikannya sebagai Menteri Besar dan akan dikenakan tindakan disiplin atau dibuang parti. Beliau juga memberitahu sidang media bahawa beliau telah mendapat surat watikah dari Abdullah Badawi dan mendakwa tindakannya itu terkandung dalam peraturan Whip yang dipengerusikan oleh Najib Tun Razak.


Idris Jusoh pula diam membisu perihal namanya sudah tidak disebut sebagai Menteri Besar Terengganu lagi. Sudah tidak ada cakap-cakap besarnya sebelum ini. Bahkan, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) pula yang bertitah ingin berjumpa dengan semua ADUN UMNO yang menang kecuali Idris Jusoh pada pukul 11 pagi esok di sebuah hotel di Putrajaya bagi membincangkan perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru. Inilah nasib Idris Jusoh yang begitu ghairah dengan Masjid Kristalnya itu. Kononnya Terengganulah Pusat Tamadun Islam pada zaman ini. Tengok apa jadi pada bapa Terengganu Bestari ini. Dulunya bukan main membodek PM yang dikasihinya itu.

Sekarang ini Pak Lah juga berada dalam kegelisahan. Sudah Banyak suara-suara dalam UMNO yang menuntut supaya beliau berundur. Bahakan sudah ada satu draf petisyen dan gesaan yang begitu berani dari ahli UMNO supaya Presiden UMNO itu meletakkan jawatan. Inilah UMNO yang kononnya dijulang sebagai jaguh dan pejuang bangsa Melayu. Rupa-rupanya berperang dalam kelambu sendiri...menang sorak, kampung tergadai.

1 comment: