23 August 2006

Sihir 1


Peristiwa perutusan Harut dan Marut ke bumi ini adalah untuk mengajarkan umat manusia pada ketika itu berkaitan dengan ilmu sihir. Jelas di dalam al-Quran bahawa mengamalkan ilmu-ilmu sihir adalah ditegah dan dilarang sama sekali. Persoalan yang timbul disini ialah mengapakah ilmu yang sudah jelas pengharamannya di dalam al-Quran masih boleh dipelajari melalui perutusan Harut dan Marut?. Oleh yang demikian, perbincangan kisah Harut dan Marut dengan ilmu sihir ini perlu diberikan huraian terperinci agar penyelewengan dan kesamaran fakta dapat dielakkan.

Firman Allah S.W.T :

واتبعوا ما تتلوا الشيطين على ملك سليمان وما كفر سليمان ولكن الشيطين كفروا يعلمون الناس السحر وما انزل على الملكين ببابل هاروت وماروت وما يعلمان من احد حتى يقولا انما نحن فتنة فلا تكفر فيتعلمون منهما ما يفرقون به بين المرء وزوجه وما هم بضارين به من احد الا باذن الله ويتعلمون ما يضرهم ولا ينفعهم ولقد علموا لمن اشتريه ماله فى الاخرة من خلاق ولبئس ما شروابه انفسهم لوكانوا يعلمون.

Maksudnya : Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”.

Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi sesungguhnya, mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.

Sebab Diturunkan Ayat

Allah S.W.T telah menurunkan kepada kaum Bani Israil syari’at yang lengkap lagi suci iaitu syari’at kitab Taurah. Lantas mereka menolak serta mengingkari ajaran Taurah dengan mempelajari ilmu sihir yang mengabdikan diri kepada syaitan. Manakala telah datang kepada mereka syari’at yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas Rasulullah S.A.W, maka mereka berterusan melakukan kesesatan dengan mengamalkan ilmu sihir dan berpaling daripada wahyu al-Quran. Mereka juga telah menuduh Nabi Sulaiman yang telah memerintah dan mempergunakan jin, manusia, burung dan angin dengan ilmu sihir. Maka Allah S.W.T telah menurunkan ayat ini sebagai celaan terhadap mereka dan menzahirkan kekufuran dan kesesatan mereka itu.

Ibn al-Jauzi Rahimahullah Ta’ala menjelaskan sebab penurunan ayat ini kepada dua pendapat, (Ibn al-Jauzi, 1964 : 120) antaranya ialah:
a) Pertama: sesungguhnya orang-orang Yahudi itu mereka tidak menyoal kepada Rasulullah tentang sesuatu perkara daripada kitab Taurah melainkan dijawab oleh baginda. Tetapi dalam bab sihir, mereka mengingkarinya. Maka turunlah ayat ini.
b) Kedua: apabila diceritakan kisah Nabi Sulaiman di dalam al-Quran di hadapan mereka, maka berkata orang-orang Yahudi Madinah “Adakah kamu tidak berasa hairan kepada Muhammad yang telah mendakwa Ibn Daud (Nabi Sulaiman) seorang nabi?” Mereka menjawab demi sesungguhnya tidaklah Sulaiman itu seorang nabi melainkan seorang ahli sihir. Maka turunlah ayat ini.

Penerangan Ayat

Allah S.W.T telah menurunkan ayat ini sebagai menjawab tohmahan orang-orang kafir terhadap Nabi Sulaiman yang menganggapnya sebagai tukang sihir. Mereka telah terpengaruh dengan hasutan-hasuatn syaitan yang menyebarkan berita-berita palsu mengatakan Nabi Sulaiman mengamalkan sihir.

Tidak syak lagi perbualan Nabi Sulaiman a.s dengan burung, jin dan makhluk yang lain telah menimbulkan kekaguman di kalangan manusia. Semakin mengkagumkan lagi ialah apabila Nabi Sulaiman dapat menguasai jin-jin yang menyebabkan mereka itu mematuhi dan menurut segala perintahnya. Peristiwa pemindahan istana Ratu Balqis tanpa penggunaan sebarang alat untuk memindahkannya atau sebarang cara yang dapat meyakinkan untuk membawanya telah berlaku dalam sekelip mata sahaja. Semua perkara ini mungkin oleh sesetengah orang dianggap sebagai peristiwa-peristiwa sihir yang lumrah di zaman dahulukala.

Sulaiman adalah seorang nabi dan pesuruh Allah, hatinya penuh berisi dengan keimanan kepada Allah dan baginda sudah tentulah tidak kufur. Baginda tidak mengamalkan ilmu sihir sama sekali, tetapi syaitan-syaitan itulah yang kufur kerana mereka mengajarkan manusia ilmu sihir yang ada pada mereka serta menguatkan sihir yang diturunkan Allah kepada dua malaikat iaitu Harut dan Marut di negeri Babil dan menyebarkannya pula kepada orang ramai. Tetapi sihir yang diturunkan Allah kepada dua malaikat itu ialah untuk menentang sihir dan tukang-tukang sihir yang lumrah terdapat di kalangan orang ramai pada masa itu. Oleh yang demikian, dapatlah kedua-dua malaikat itu menewaskan sihir-sihir itu serta memperlihatkan hakikatnya yang sebenar dan membuktikan keburukannya.

Jelas bahawa sihir kedua-dua malaikat itu adalah mengatasi sihir-sihir yang lain seluruhnya. Kedua-duanya telah mengajarkan sihir kepada manusia dan mendedahkan amalan-amalan tukang sihir serta menghapuskannya. Di dalam pengajarannya itu, kedua-dua malaikat itu telah membuktikan bahawa ilmu sihir adalah suatu kekufuran dan fitnah semata-mata. Kedua-duanya mengajarkan ilmu itu supaya orang ramai menjauhkan diri dari sihir dan jangan mengamalkannya. Ia juga mengajar suapaya mencari jalan untuk berlindung darinya.

Mereka telah belajar dari kedua-dua malaikat itu sejenis sihir yang boleh memisahkan di antara suami dan isteri iaitu sejenis sihir yang paling berat, paling pedih dan paling menyeksakan. Ini kerana melalui sihir ini seorang suami akan begitu terpesona dengan isterinya tetapi hilang kemampuan untuk melakukan hubungan kelamin, sebaliknya kemampuan ini tetap ada terhadap wanita-wanita lain. Begitu juga seorang isteri yang dikatakan dengan sihir ini akan kehilangan nafsu untuk melakukan hubungan kelamin dengan suaminya, tetapi tidak pula terhadap lelaki lain. Tidak syak lagi sihir yang memisahkan di antara suami dan isteri ini dengan segala bahayanya sudah terkandung di dalam ilmu Allah S.W.T.

Demikianlah manusia mempelajari apa yang membahayakan mereka dan tidak mendatangkan manfaat kepada mereka dari ilmu sihir ini. Mereka juga mengetahui bahawa dengan mengamalkan ilmu sihir ini, mereka tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak bahkan sebaliknya. Alangkah buruknya keuntungan yang diperolehi oleh mereka akibat perbuatan sihir itu di dunia ini jikalau mereka mengetahuinya. Ini adalah suatu hak yang nyata lagi jelas daripada nas di atas.

Oleh itu perbincangan tentang kisah Harut dan Marut di dalam al-Quran tidak boleh terpisah dengan perbincangan ilmu sihir secara keseluruhannya. Ini kerana kedua-dua malaikat itu secara jelas di dalam al-Quran menyatakan bahawa perutusan mereka ke dunia adalah untuk mengajar manusia mengenai ilmu sihir semasa pemerintahan Nabi Sulaiman di negeri Babil.

No comments:

Post a Comment