30 August 2006

sihir 2



Hukuman bagi tukang sihir

a) Pendapat Imam Malik

tukang sihir yang melakukan sihir, dan sihir tersebut tidak dikerjakan oleh orang lain, maka ia bagaikan orang yang disebut di dalam Al-Quran :

maksunya: Demi sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa sesiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat.
(Al-Baqarah : 102)
Oleh itu, menurut pendapat Imam Malik, orang tersebut harus dibunuh apabila yang melakukannya dia sendiri.

b) Ibnu Qudamah

Hukuman (had) bagi tukang sihir adalah dibunuh, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan dari Umar, Uthman Ibn ‘Affan, Ibnu sa’ad, dan Umar Ibn Abd Al-Aziz. Ini adalah juga pendapat abu Hanifah dan Imam Malik.

c) Al-Qurthubi

para fuqaha berbeza pendapat tentang hukuman bagi sihir Muslim dan non- Muslim. Menurut Imam Malik, seorang Muslim yang melakukan sihirnya itu iaitu melalui ucapan, maka hukumnya adalah kufur dan harus dibunuh. Ia tidak perlu diminta bertaubat, bahkan taubatnya tidak diterima. Perbuatannya sama dengan dengan zindiq dan berzina. Allah Taala menamakannya sebagai kufur seperti firmanNya:

Maksud: Sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan, “sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kamu kafir.”
(Al-Baqarah : 102)

Ini adalah pendapat Ahmad Ibn Hanbal, Abu Tsaur, Ishaq, Abu Hanifah dan al-Syafie.

d) Ibnu Hajar

Menurut pendapat Ibnu Hajar, hukuman bagi tukang sihir adalah sama dengan hukuman bagi orang zindiq. Oleh itu, taubatnya tidak diterima dan harus dibunuh sebagai hukuman (had) apabila terbukti ia membunuh dengan sihirnya. Pendapat ini disepakati oleh Imam Ahmad. Sedangkan al-Syafie berpendapat, tukang sihir itu tidak dibunuh kecuali ia mengaku telah membunuh dengan shirnya.

Bolehkah melepaskan sihir dengan sihir

a) Qatadah bertanya kepada Sa’id Ibn al-Musayyab tentang seorang lelaki yang terkena sihir sehingga tidak dapat melakukan hubungan seks dengan isterinya, apakah boleh sihirnya itu dilepaskan atau dibacakan mentera (nusyrah). Sa’id menjawab boleh, kerana mereka menghendaki kebaikan. Hal-hal yang memberi manfaat tidak dilarang.

b) Menurut al-Qurthubi, para ulama berbeza pendapat tentang meminta tukang sihir untuk melepaskan sihir dari orang yang terkena sihir. Dalam hal ini, Sa’id Ibn al-Musayyab berdasarkan hadis riwayat Bukhari membolehkannya.

c) Ibnu Qudamah berpendapat apabila mengubati atau melepaskan pengaruh sihir itu dengan ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir atau ucapan-ucapan yang tidak menyimpang dari ajaran Islam,maka hal itu dibolehkan. Tetapi apabila dengan sihir juga, Imam Ahmad Ibn Hambal tidak memberikan pandangannya (tawaqquf).

Belajar Sihir

a) Menurut Ibn Hajar, firman Allah SWT :

“Sesungguhnya kami cubaan (bagimu), oleh itu janganlah kamu kafir.”
Ayat ini menunjukkan bahawa mempelajari sihir adalah perbuatan kufur.

b) Ibn Qudamah berpendapat, hukum belajar sihir dan mengajarnya adalah haram. Di antara ulama tidak ada perbezaan pendapat dalam hal ini.

c) Menurut Abu Abdillah al-Razi, mengetahui sihir bukan perbuatan yang dilarang.Pendapat ini menurutnya adalah disepakati oleh para ulama. Ini kerana mengetahui sihir itu adalah baik. Juga berdasarkan pengertian umum dari firman Allah :

Maksudnya: Katakanlah “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
(Az-Zumar :9)

d) Abu Hayyan dalam kitab “al-Bahr al-Muhith” menyatakanbahawa hukum mempelajari sihir itu termasuk kufur secara ijma’, apabila di dalamnya terdapat pemujaan selain daripada Allah. Oleh itu, mempelajari dan juga mengamalkannya tidak dibolehkan. Demikian pula mempelajari sihir dengan maksud membunuh dan menceraikan antara suami dan isteri atau antara seseorang dengan temannya. Sedangkan jika semua perbuatan yang mengandungi kufur itu tidak diketahui (secara pasti), tetapi hanya kemungkinan maka ia dikira tidak boleh apatah lagi untuk mempelajari ataupun melakukannya.

No comments:

Post a Comment