tidak sampai sebulan saya mengunjungi blog-blog yang ada tapi terlalu banyak input berguna yang saya perolehi. terasa begitu kerdilnya diri ini bila membaca blog-blog yang lebih kedepan dan komen-komen yang penuh bermaklumat dan idea yang begitu kritis dan membina. kadang-kadang terasa banyak sangat kelompongan ilmu yang ada di dada. ish, sukar sungguh nak jadi seorang pendakwah rasanya. tak termampu nak berhadapan dengan multi pemikiran yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan idealisme.
tapi ada satu perkara yang ingin saya kongsi dengan yang sudi berkongsi; ramai orang Islam yang bercakap tentang Islam dan kadang-kadang dianggap jaguh dalam membahaskan perkara berkaitan dengan Islam tapi ironisnya mereka hanya memberi pandangan dari sudut pandangan mereka sahaja bukannya dari ilmu Islam yang betul-betul mereka miliki. seringkali saya lihat apabila membicara soal-soal dasar dalam Islam, pandangan sebegitu lebih diterima berbanding pandangan para ilmuan dan ulama yang begitu mendalami Islam. Apakah Islam itu terlalu mudah sehingga boleh ditafsir mengikut selera sendiri? Ya, Islam itu mudah tapi bukan dari sudut penafsirannya tapi ia mudah dari segi pengamalannya. itupun seharusnya didalami perkara asas dalam Islam terlebih dahulu.
para ulama dulu begitu berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa pandangan berkenaan Islam. jika ada ulama lain yang sezaman dengannya, diunjurkan terlebih dahulu kepada ulama tersebut sehingga isu itu kembali semula kepadanya barulah dijelaskannya. itupun mereka lebih merendah diri agar tidak menerima pandangannya secara total. ah, sungguh jauh rasanya beza masyarakat Islam dulu dan sekarang. tapi yang lebih mengecewakan lagi, ada pula orang yang bukan Islam memberi pandangan berkenaan dengan Islam. saya tidak menafikan keterbukaan Islam dan saya bukanlah orang yang tidak menerima pandagan tapi harus dilihat apa yang dibahaskan dan dipersoalkan. bukan semua perkara kita boleh terbuka dengan orang bukan Islam dan ini bukan bermakna menutup ruang kepada orang bukan Islam untuk mengenali Islam bahkan ia sekali gus menyekat unsur dakwah itu sendiri tapi ia perlu ada caranya.
saya ingin merujuk kepada satu ayat al-quran yang begitu sinonim dengan konteks dakwah iaitu dalam surah al-nahl ayat 125. maksudnya "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (orang yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." Dalam ayat ini jelas menunjukan bahawa ada tiga cara yang wajar dilakukan dalam berdakwah. pertama; hikmat kebijaksanaan. menurut Ibn Manzur ia bermaksud larangan, tegahan atau bentongan yang bertujuan menghalang sesuatu daripada meresap atau merebak atau berjangkit sehingga memudharatkan perkara yang lain. kedua; nasihat pengajaran yang baik.menurut Muhktar al-Sihah ia bererti memberi nasihat dan peringatan terhadap akibat yang tidak baik (yang akan berlaku jika sesuatu dilakukan atau ditinggalkan). ketiga; berbahas dengan cara yang baik. menurut kebanyakan ulama tafsir ia bererti perbincangan atau perdebatan dengan cara yang terbaik, lemah lembut, mempunyai rasa kasih sayang serta menggunakan konsep memudahkan. menurut al-Ghazali pula kaedah ini adalah sesuai kepada golongan yang menetang aqidah Islam.manakala Ibn Taimiyyah pula berkata bahawa ia sesuai kepada golongan yang tidak boleh langsung menerima kebenaran.
saya tidak bercadang untuk menghuraikan keseluruhannya tapi ingin menyentuh tentang cara berdakwah kepada orang bukan Islam. ini kerana saya melihat pertanyaan dan respon dari segelintir orang bukan Islam sekarang bukan kerana ingin mendekati Islam tapi lebih ingin mempersoalkan kesyumulan dan kemurnian Islam itu sendiri. Saya bukanlah berperasangka buruk tapi daripada Islam terus dikecam lebih baik kita mengambil pendekatan para ulama yang terdahulu yang lebih dulu merasai onak liku dalam berhadapan dengan orang bukan Islam.
menurut pendekatan ulama kalam bahawa memperkenalkan Islam kepada mereka mestilah di dahulukan dengan mengaitkan hubungan antara pencipta dan makhluk yang dicipta. kemudian diperjelaskan mengenai peraturan dan ajaran yang terkandung di dalamnya berserta menunjukkan contoh teladan yang baik. Bukannya terus berdebat soal-soal syariat tanpa memperkenalkan tentang ketauhidan Allah terlebih dahulu.
Cuba kita pandang sekeliling, perhatikan sahabat-sahabat kita, kawan -kawan kita yang bukan Islam, sejauhmana perkembangan Islam sebenarnya. adakah masih berlegar dikalangan orang Islam sahaja ataupun sudah pun dapat dihayati oleh orang bukan Islam sama. ataupun orang Islam sendiri yang telah tersesat dalam memahami Islam itu sendiri sehingga orang bukan Islam makin galak menjaja agama mereka kepada orang Islam sekarang.
No comments:
Post a Comment