12 December 2007

Hadiah Menurut Islam


Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian ‘athiyyah dan seumpamanya. Amalan ini boleh memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu, seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim. Bahkan ianya dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan-kelebihan dan fadilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.

Rasulullah saw juga sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Nabi saw suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu Baginda bersembahyang dua rakaat. Dan Baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian Baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya (untuk disedekahkan)”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Baginda lagi ketika di atas mimbar yang bermaksud: “Dan Baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

PENGERTIAN HIBAH

Dari segi bahasa: pemberian atau kurniaan

Sebagaimana firman Allah taala:

الحمد لله الّذى وهب لى على الكبر اسمعيل واسحق انّ ربّى لسميعالدّعاء.

Maksudnya: “segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepadaku pada usia tuaku Ismail dan Ishak, sesungguhnya tuhanku amat mendengar doa”. (surah Ibrahim14 : 39)

Dari segi istilah: memberi milik tanpa sebarang gantian.

Daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi Muhammad saw bersabda:

يا نساْ المسلمات لا تحقرت جارة لجارتها ولو فرسن شاة

Maksudnya: “wahai wanita-wanita Islam, janganlah seseorang jiran wanita menghina terhadap jiran wanitanya walaupun dengan memberi kaki kambing”.(Al-Mundziri, 2004)

Hadis ini menggalakkan supaya memberi sesuatu antara satu sama lain walaupun sedikit, terutama antara jiran sesama jirannya. Contoh memberi kaki kambing adalah anggaran yang sedikit.

Daripada cUrwah daripada cAishah r.a bahawasanya ia berkata kepada cUrwah:

يا ابن أختي ؛ ان كنا لننظر الى الهلال ؛ ثلاثة أهلة في شهرين ؛ وما أوقدت في أبيات رسول الله (ص) نار. فقلت : يا خالة ؛ ما كان يعيشكم ؟ قالت الاسودان : التمر والماء ؛ الا انه قد كان لرسول الله (ص) جيران من الانصار ؛ كانت لهم منائح ؛ وكانوا يمنجون رسول الله (ص) من ألبا نها قيسفينا.

Maksudnya: “wahai anak saudaraku, sesungguhnya kami melihat kepada anak bulan kemudian satu anak bulan sehingga tiga anak bulan dalam masa dua bulan dan tidak di nyalakan api dalam rumah-rumah Rasulullah. Aku berkata: wahai ibu saudaraku! Apakah yang menghidupkan kamu? Ia menjawab: cAswadan iaitu tamar dan air. Melainkan Rasulullah saw ada jiran daripada kalangan yang mempunyai unta atau kambing yang mempunyai susu dan mereka memberi susu-susu mereka kepada Rasulullah saw lalu baginda memberi minum kepada kami”. (Al-Mundziri, 2004)

Hadis ini menunjukkan Rasulullah saw pernah menerima pemberian daripada para sahabatnya. Pemberian seperti inilah yang disebut sebagai hibah.


PERBEZAAN ANTARA SEDEKAH, HADIAH DAN ‘ATHIYYAH

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 26/324)

Sementara yang dikatakan sebagai ‘athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan ‘athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (Al-Tahzib: 4/509)

Di dalam istilah syara‘ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.


HUKUM MEMBERI HIBAH

Menurut ijmak ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan, dan belas kasihan. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur‘an, (Mughni Al-Muhtaj: 2/53)

sebagaimana firman Allah:

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”. (Surah Al-Maidah: 2)


RUKUN PEMBERIAN

Menurut ulama Syafi‘eyah, pemberian itu mempunyai beberapa rukun iaitu pemberi, penerima, barang atau benda (sesuatu) yang diberi dan lafaz pemberian (ijab dan qabul). Terdapat beberapa syarat tertentu bagi orang yang memberi, orang yang menerima dan barang atau benda (sesuatu) yang diberikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

(i) Syarat bagi pemberi hendaklah orang itu baligh, berakal, tidak ditegah membelanjakan dan mempergunakan hartanya, dia memberian dengan kehendaknya sendiri dan memiliki sesuatu yang akan diberikan. Maka tidak sah pemberian daripada seorang kanak-kanak, orang gila, muflis, orang yang dipaksa dan daripada orang yang bukan pemilik sesuatu yang diberikan itu.

(ii) Syarat bagi penerima pula ialah hendaklah dia boleh memiliki sesuatu yang diberikan kepadanya. Maka kanak-kanak kecil adalah sah menjadi penerima, tetapi yang menerima bagi pihak dirinya ialah bapa atau penjaganya. Oleh itu tidak sah suatu pemberian jika penerimanya itu masih janin (anak yang masih di dalam kandungan ibunya) atau penerimanya adalah haiwan kerana keduanya tidak boleh memiliki sesuatu.

(iii) Syarat bagi sesuatu yang diberikan itu hendaklah suci, bukan darah, bangkai, arak dan seumpamanya. Hendaklah sesuatu yang diberikan itu boleh memberi manfaat dan boleh diserahkan (bukan barang kepunyaan yang kena rampas). Barang pemberian itu hendaklah ada dalam milik dan kekuasaan pemberi, dan barang yang akan diberikan itu hendaklah diketahui oleh pemberi dan penerimanya.

(iv) Lafaz pemberian pula ialah setiap perkataan atau ucapan yang membawa erti memberi atau menerima, sama ada berupa perkataan atau perbuatan, umpamanya si pemberi berkata: “Aku berikan buku ini kepadamu”, lalu si penerima berkata: “Aku terima pemberianmu”.

Menurut mazhab Syafi‘e perkara hibah, pemberian (‘athiyyah) tidak sah melainkan dengan ijab dan kabul. Ini kerana akad pemilikan itu sendiri memerlukan adanya ijab dan kabul seperti akad nikah. Walau bagaimanapun menurut Ibnu ‘Uqail (ulama mazhab Hanbali) muamalah cara mu‘atah (meletakkan harga barang dan mengambil (membeli) barang itu tanpa ijab dan kabul) dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijab dan kabul sekalipun tanpa lafaz adalah memadai dan mencukupi. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah:

Maksudnya: “”Menurut qaul Al-Shahih Muamalah secara Mu‘atah dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijab dan kabul itu adalah memadai atau mencukupi, tidak memerlukan lafaz. Inilah qaul (pendapat) yang dipilih oleh Ibnu ‘Uqail, kerana Nabi saw pernah memberi hadiah dan diberi hadiah, dan Baginda pernah memberi dan diberi. Baginda juga membahagikan dan mengagihkan sedekah (zakat) dan memerintahkan para sacie (pekerja atau petugas dalam perkara zakat) supaya membahagi dan mengagih-agihkannya. Baginda ada menerima zakat, para sahabat juga berbuat demikian. Tidak ada riwayat daripada mereka tentang wajib ijab dan kabul. Nabi tidak pernah memerintahkan sahabat Baginda dan mengajarkannya tentang wajib ijab dan kabul. Jika ini (ijab dan kabul) merupakan syarat, tentu ada riwayat secara periwayatan yang masyhur daripada mereka. Ketika Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) menunggang unta kepunyaan Umar, lalu Baginda bersabda kepada Umar: “Juallah unta itu kepadaku? Umar menjawab: “Dia (unta itu) untukmu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: “Dia (unta itu) untuk mu wahai Abdullah bin Umar. Buatlah dengannya sebagaimana yang engkau suka”. Tidak ada riwayat bahawa Nabi mengucapkan lafaz kabul daripada Umar, demikian juga tidak ada lafaz kabul daripada Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) yang dia menerima daripada Nabi saw. Kalaulah ini (ijab dan kabul) menjadi syarat sudah pasti Nabi akan melakukannya dan Baginda akan mengajarkannya kepada Ibnu Umar, di samping itu Nabi tidak akan memerintahkannya (Abdullah bin Umar) untuk membuat apa sahaja terhadap unta itu sebelum ada lafaz kabul (penerimanya) oleh Ibnu Umar. (Al-Mughni li Ibnu Qudamah: 6/238)

Oleh yang demikian demi menghormati pendapat semua ulama fiqh, jika hendak menyumbangkan atau memberikan sesuatu kepada seseorang hendaklah ijab dan kabul itu dilakukan dengan ada ucapan (lafaz) memberi dan ucapan menerima terhadap barang yang disumbangkan atau diberikan itu.

PELBAGAI BENTUK PEMBERIAN

Pada dasarnya sesuatu pemberian harus diterima melainkan pemberian yang haram atau berasal daripada yang haram atau tujuan pemberian itu berunsur rasuah. Oleh kerana itu pemberian itu ada berbagai bentuk;

i.Pemberian yang halal bagi pemberi dan penerima.

ii.Pemberian yang haram bagi kedua-dua pihak.

iii.Pemberian yang halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.

Pemberian yang halal bagi penerima ialah pemberian seseorang kepada seseorang yang lain seperti kepada isteri, anak, sahabat, kawan karib dan lain-lain dengan tujuan supaya tercipta perasaan kasih sayang, mahabbah, keakraban dan silaturrahim sesama mereka. Perkara inilah yang sangat digalakkan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah saw di atas. (Maksudnya: “Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu saling cinta mencintai antara sesama kamu”.)

Manakala pemberian haram bagi si pemberi dan penerima ialah apabila pemberian yang diberikan kepada seseorang itu dengan tujuan atau harapan hajatnya akan tercapai, dipenuhi dan diluluskan. Bentuk pemberian seumpama ini disebut juga sebagai rasuah. Dalam hal ini Rasulullah saw memberi amaran, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan) kepada saudaranya, kemudian dia mendapat hadiah diatas pertolongan tersebut, lalu dia menerimanya, maka dia (si penerima hadiah) telah mendatangi satu pintu besar dari pintu-pintu riba”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Ibnu Taimiyah juga ada menyatakan:

Maksudnya: “Sesiapa yang memberikan hadiah kepada wali al-amr untuk melakukan perbuatan yang tidak diharuskan (haram) maka hadiah tersebut haram bagi pemberi dan penerima. Inilah hadiah berbentuk rasuah yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya”. (Fatwa: 5/244)


HIBAH KEPADA ANAK

Daripada cAmar berkata:

عن النعمان بن بشير ؛ رضي الله عنهما قال : أعطلني أبي عطية ؛ فقالت عمرة بنت رواحة : لا ارضى حتى تشهد رسول الله (ص) ؛ فأتى رسول الله (ص) فقال : اني أعطيت ابني من عمرة بنت رواحة عطية ؛ فأمرتني أن أشهدك يا رسول الله ؛ قال : أعطيت سائر ولدك مثل هذا ؟ . قال : لا ؛ قال : فأتقوا الله واعدلوا بين أولادكم . قال : فرجع فرد عطيته .

Maksudnya: al-Nucman bin Basir r.a, ketika ia berada diatas mimbar berkata: bapaku telah memberi kepadaku satu pemberian, lalu cUmrah binti Rawahah berkata: aku tidak senang sehingga engkau menjadikan Rasulullh saw sebagai saksi, lalu ia (bapaku) datang kepada Rasulullah saw dan berkata: Sesungguhnya aku telah memberi kepada anakku daripada cUmrah binti Rawahah satu pemberian. Lalu ia menyuruh aku menjadikan engkau sebagai saksi wahai Rasulullah saw. Rasulullah saw bersabda: apakah engkau memberi kepada semua anak engkau seumpama itu? Bapaku menjawab: tidak. Rasulullah saw bersabda: takutlah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berlaku adil antara anak-anak kamu. Al-Nucman berkata: lalu bapaku balik dan mengambil kembali pemberian itu.

Hadis ini menunjukkan bahawa sah hibah bapa kepada anak, tetapi hendaklah dilakukan secara adil dan saksama antara mereka. Namun demikian harus bagi bapa mengambil semula hibahnya daripada anaknya.


HIBAH KEPADA YANG LAIN

Daripada Kuraib Hamba Ibn cAbbas:

أن ميمونة بنت الحرث رضي الله عنها أخبريته انها أعتقت وليدة ولم تستأذن النبىّ (ص) ، فلمّا كان يومها الذى يدور عليها فيه قالت : أشعرت يا رسول الله أنى أعتقت وليدتى ؟ قال : أو فعلت ؟ قالت : نعم . قال : أما انك لو أعطيتها أخوالك كان أعظم لأجرك.

Hadis ini menunjukkan seseorang harus memberi dan menghibahkan hartanya kepada siapa sahaja yang ia kehendaki. Namun begitu hibah yang dilakukan oleh seseorang kepada yang lain daripada anaknya sendiri adalah tidak harus dirujuk semula kerana hadis Rasulullah saw:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما : أنه شهد عند مروان لبني صهيب أنّ رسول الله (ص) أعطى صهيبا بيتين وحجرة ، فقض مروان بشهادته لهم.

Maksudnya: Diriwayatkan dari ‘Adullah bin ‘Umar r.a bahawa dia bersaksi kepada Marwan (berkaitan dengan anak-anak Shuhaib) bahawa Rasulullah saw telah memberikan kepada Shuhaib dua ekor kudadan sebuah kamar. Maka Marwan memberikan keputusan dengan kesaksiannya (Ibn ‘Umar).

Sebagai kesimpulan, hibah adalah salah satu cara untuk memberi dan menguniakan harta kepada seseorang. Sesiapa sahaja harus menghibahkan hartanya kepada siapa sahaja yang ia kehendaki. Bapa juga boleh menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya dengan saksama. Cara ini adalah agak terbaik bagi seseorang bapa untuk melihat dan melatih anak-anaknya menyelengarakan harta yang diberikan kepadanya.


HADIAH DISEBABKAN JAWATAN

Daripada Abu Hamid al-Sycidi r.a berkata:

"cUmar bin Abd cAziz menegaskan bahawa “hadiah yang berlaku pada zaman Rasulullah saw adalah hadiah dan hadiah yang berlaku pada hari ini adalah rasuah”

Sesetengah dikalangan ulama ada yang berpendapat bahawa hadiah biasanya mempunyai tiga tujuan:

· Untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang yang dihadiahkan. Hadiah untuk tujuan ini adalah dikira terbaik.

· Untuk mendapatkan harta benda daripada orang lain yang dihadiahkan. Hadiah untuk tujuan ini adalah harus kerana mengharapkan pertambahan harta dengan cara yang baik.

· Untuk mendapatkan pertolongan daripada orang yang dihadiahkan. Hadiah untuk tujuan ini mempunyai faktor yang menentukan kedudukan hukumnya iaitu arah tujuan pertolongan berkenaan. Sekiranya pertolongan yang dikehendaki itu maksiat maka hadiah berkenaan adalah tidak halal, sekiranya pertolongan yang dikehendaki itu taat maka hadiah berkenaan adalah sunat dan sekiranya pertolongan yang dikehendaki itu harus maka hadiah berkenaan adalah harus sekiranya orang yang dihadiahkan itu bukan hakim.(Ibn Hajar, 1989)

Ibn Bhatol berpendapat, hadiah kepada camil Pegawai) berlaku disebabkan kesyukuran terhadap kebaikannya, disebabkan kekaguman terhadapnya atau disebabkan ketamakan supaya ia mengugurkan kewajipan. Ibn Hajar menegaskan, sekiranya bentuk yang ketiga itu berlaku kepada camil maka ternyata tidak halal secara jazam (tepat tanpa sebarang andaian) dan bentuk-bentuk yang sebelumnya (yang pertama dan kedua) berada pada tahap boleh diperbincangkan.(Ibn Hajar, 1989)

Para pegawai dicegah daripada menerima sebarang hadiah daripada orang-orang yang berada dibawah tadbirannya. Sekiranya ketua negara tidak mengizinkan kepadanya untuk berbuat sedemikian. Manakala Ibn al-Munir pula berpendapat bahawa para pegawai harus menerima hadiah daripada mereka yang menghadiahkan kepadanya sebelum ini (sebelum pegawai berkenaan menjadi pegawai). Ibn Hajar bersetuju dengan pendapat ini dengan syarat hadiah berkenaan tidak melebihi kebiasaan.(Ibn Hajar, 1989)

Daripada kenyataan tersebut diatas tidak jauh sekiranya disimpulkan bahawa hadiah yang diberikan secara tertutup kepada mana-mana pegawai kerajaan disebabkan jawatan yang disandangnya dan pemberiannya mempunyai kepentingan untuk mendapat atau menghindarkan sesuatu dengan cara yang tidak betul adalah haram.


MENGAMBIL KEMBALI PEMBERIAN

Adapun mengambil kembali pemberian merupakan satu sifat buruk lagi keji. Sabda Rasulullah saw:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : قال النبي (ص) : العائد في هبته كالكلب؛ يقيء ثم يعود في قيئه

Maksudnya: “Orang yang mengambil balik pemberiannya, samalah seperti anjing yang muntah lalu ia menjilat balik muntahnya”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hal ini kita juga sering mendengar di kalangan masyarakat perumpamaan orang tua-tua iaitu “buruk siku”, perumpamaan ini bukan sahaja menggambarkan keji dan buruknya mengambil balik suatu pemberian tetapi realitinya perbuatan mengambil balik pemberian itu suatu tegahan agama.


HIBAH MERUPAKAN AMALAN YANG DIGALAKKAN

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:

تهادوا فان الهدية تﺫهب وعز الصدر

Maksudnya: hendaklah kamu saling hadiah menghadiahkan antara satu sama lain kerana sesungguhnya hadiah mampu memadamkan rasa marah yang terpendam didada (didalam hati).

Hadis ini menggalakkan supaya saling hadiah menghadiahkan antara satu sama lain kerana hadiah mampu memadamkan berbagai perasaan yang tidak baik yang terpendam didalam jiwa manusia.

Daripada Anas r.a:

ان النبي صلى الله عليه وسلم أتي بلحم تصدق به على بريره فقال: هو عليها صدقة وهو لنا هدية

Maksudnya: sesungguhnya Rasulullah saw dihadiahkan dengan daging yang disedekahkan kepada Barirah. Lalu baginda bersabda: ia adalah sedekah untuknya (Barirah) dan ia adalah hadiah kepada kami.(Ibn Hajar, 1989).

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw juga boleh menerima hadiah.

Daripada cAsma’ binti Abu Bakar r.a berkata:

قدمت علي امي و هي مشركة ؛ في عهد رسول الله (ص) ؛ فاستفتيت رسول الله (ص) ؛ قلت : ان أمي قدمت و هي راغبة ؛ افا صل أمي ؟ قال : نعم ؛ صلي أ مك.

Maksudnya: sesungguhnya ibuku datang kepadaku dan ia sebagai seorang musyrik pada zaman Rasulullah saw. Lalu aku meminta petua daripada Rasulullah saw dengan kata: sesungguhnya ibuku datang (kepadaku) dan ia berhajat kepada sesuatu, apakah boleh aku menghubungi ibuku? Rasulullah saw bersabda: hubungilah ibu engkau.(Ibn Hajar, 1989)

Hadis ini menunjukkan harus bagi orang Islam menghadiahkan sesuatu kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam seperti firman Allah taala:

لا ينهكم الله عن الّذين لم يقيلوكم فى الدّين ولم يخرجوكم مّن ديركم أن تبرّوهم وتقسطوااليهم انّ الله يحبّ المقسطين.

Sebagai kesimpulan, orang Islam harus menghadiahkan sesuatu kepada Rasulullah saw, kepada sesama orang Islam, sama ada yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau tidak, samada jiran atau tidak dan kepada orang kafir yang tidak menjadi musuh agama dan negara. (surah al-Mumtahanah 60: 8.)


PENUTUP

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah saw di dalam hadis-hadis Baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya:

Maksudnya: “Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan”.(Hadis riwayat Malik)

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadaNya. Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau riya’ adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil itu disebut melalui sabda Baginda:

يا نساْ المسلمات لا تحقرت جارة لجارتها ولو فرسن شة.

Maksudnya: “Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing”.(Hadis riwayat Muslim)


RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

Al-Bukhari. Sahih al-Bukhari.

Al-Falimbani, Syekh Abd Al-Samad. 2003. Sair al-Salikin ila cibadah rabbi al-calamin. Kedah: Khazanah Banjariah.

Ibn Hajar, Ahmad bin cAli bin Hajar. 1989. Fath al-Bari bi syarah sahih al-imam Abi cAbdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Al-Matbacah al-Salafiyah.

Al-Mundziri, Zaki al-Din Abd al-Azhim. 2004. Ringkasan Sahih al-Bukhari. Selangor: Crescent News sdn bhd.

26 November 2007

Wanita Dalam Perniagaan


Penglibatan wanita di dalam aktiviti ekonomi di Malaysia sudah bermula sejak awal tetapi ianya semakin meningkat dalam pertengahan tahun 1960-an bila dasar mempelbagaikan ekonomi dilaksanakan. Pada peringkat awal kemerdekaan, majoriti wanita adalah terlibat di dalam sektor pertanian diikuti oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan. Keadaan semakin berubah antara tahun 1970-1980, kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam jangka masa tersebut telah menggalakkan lagi pertambahan pelaburan di dalam industri-industri yang berorientasikan eksport terutama industri-industri elektronik dan tekstil.

Keadaan tersebut telah menggalakkan wanita-wanita muda untuk berhijrah dari luar bandar ke bandar bagi memenuhi peluang pekerjaan yang terbuka di sector pembuatan dan perkhidmatan. Kesannya berlaku pertambahan tenaga kerja wanita di dalam sektor pembuatan dengan pesat sekali iaitu 212 % manakala sektor perkhidmatan mengalami pertambahan sebanyak 154 % antara tahun 1970 – 1980. Kini kita dapati lebih kurang 44 % dari wanita di Malaysia adalah termasuk dalam sektor guna tenaga.

Dikebanyakan negara data mengenai kadar penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi adalah terhad. Di Malaysia walaupun beberapa banci telah dibuat oleh Jabtan Statistik mengenai tenaga kerja, namun data mengenai penglibatan wanita secara terperinci di dalam pekerjaan masih kurang. Penglibatan awal wanita di dalam aktiviti ekonomi di Malaysia bermula dari aktiviti sara diri di sektor pertanian dan kemudiannya meluas ke sektor-sektor lain berikutan dengan berlakunya perkembangan ekonomi, kemajuan teknologi dan pertambahan peluang pendidikan.

Peningkatan tenaga kerja wanita di bandar berlaku disebabkan oleh meningkatnya jumlah wanita luar bandar yang berhijrah ke bandar untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor –sektor perkhidmatan dan pembuatan. 65 % dari tenaga kerja yang berhijrah ke bandar adalah terdiri dari wanita dan selaras dengan perlaksanaan Deb, kebanyakan wanita yang memenuhi sektor pembuatan terdiri dari wanita Melayu yang berumur antara 18 – 29 tahun.

Bidang pekerjaan yang diceburi oleh wanita biasanya terbatas kepada beberapa jenis pekerjaan sahaja dan sifat pekerjaan tersebut. Di antara pekerjaan-pekerjaan yang disenaraikan termasuk jurutaip, pekerja kilang elektronik dan kain, jurujual, penyambut tetamu dan jururawat. Di Malaysia, penglibatan wanita dalam perniagaan kecil sudah lama wujud. Di negari-negari Pantai Timur Semenanjung seperti Terengganu dan Kelantan, perniagaan di pasar-pasar pemborong, peruncit dan perniga di kaki lima banyak dimonopoli oleh kaum wanita.

Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang miskin di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di lihat dari segi pendapatan perkapita dan agak ketinggalan dari segi pembangunan di bandingkan dengan negeri-negeri maju di Pantai Barat. Walau bagaimanapun, negeri ini terkenal sebagai sebuah negeri yang mempunyai kadar penyertaan kaum wanita yang tinggi dalam aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan sektor perniagaan kecil.

Kajian mengenai penglibatan wanita dalam perniagaan di Kelantan telah banyak dilakukan mengikut pendekatan antropologi dan sosiologi bagi latihan ilmiah di institusi pengajian tinggi. Di samping itu, terdapat banyak lagi kajian-kajian yang khusus mengenai perniagaan tetapi lebih tertumpu kepada perniagaan Melayu dan kurang menekankan penglibatan wanita.

Selain daripada berniaga di rumah kedai, wanita juga menjalankan perniagaan di pasar-pasar. Salah satu pasar yang menjadi tumpuan mereka ahila Pasar Besar Kota Bharu. Sebenarnyaterdapat tiga pasar dalam kawasan Lembaga Badaran Kota Bharu iaitu Pasar Besar, Pasar Kubang, Pasu dan Pasar Madang Lido.


Rujukan

  1. Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi.1968. Kisah Pelayaran Abdullah. Oxford University Press.kuala Lumpur.
  2. Alice H. Cook.1978. The Working Mother: A Survey of Problems and Programs in Nine Countries. Cornell University.
  3. Aminah Abu Bakar.1975. Peranan Peniaga-peniaga Wanita Melayu di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur.



20 November 2007

Engkaulah Penyejuk Mataku


Musim cuti sekolah kembali lagi. Pelbagai perkara yang tersurat dan tersirat dalam memoriku.Teringat gelagat kawan-kawan sepermainan yang pelbagai ragam. Kenangan yang bermula seawal umur 5 tahun sehingga aku menjejakkan kaki ke menara gading, semuanya masih tersimpan kemas dalam komputer ingatanku ini.

Ah, lupakan seketika dunia persekolahan itu. Bukan itu yang inginku ceritakan di sini. Cuma musim cuti sekolah sekarang yang telah menjadi lanskap baru dalam hidupku sekarang adalah amat berbeza sekali pengertiannya. Musim cuti sekolah adalah musim orang kahwin. Ya, musim orang kahwin..bila tiba musim cuti sekolah atau sebut saja pasal kahwin, kawan-kawanku pasti akan teralih sama padaku. Ish, kadang-kadang rimas juga rasanya. Bukan aku tak nak kahwin. Tapi bagiku ia bukan satu perkara yang enteng untuk dilaksanakan. Misi ini adalah satu misi yang penuh dengan cabaran. Pelbagai persedian yang perlu aku sediakan. Lebih mencabar dari mission imposible lakonan Tom Cruse.

Aku teringat kata-kata ayahku suatu ketika dulu,”Kalau nak kawin, carilah yang betul-betul. Bukan setakat nak buat bini je tapi juga untuk masa depan anak-anak kau. Kalau tersilap pilih nanti kesannya pada anak-anak kau.” Betul juga kata ayahku tu. Sebelum ni, aku hanya fikir nak kahwin je, asalkan berkenan kat hati dan sedap mata memandang dah kira ok. Hampir terlupa pada generasi aku akan datang. Ish,ish…memang tak layak kahwin lagi aku ni rupanya.

Baru aku tahu apa hikmah pensyariatan perkahwinan dalam Islam. Selama ini aku hanya tahu belajar je. Nak skor markah tinggi hafal isi-isi penting pastu hafal sepotong dua dalil dari al-Quran atau al-Hadis. Mudahnya menuntut ilmu agama sekarang ni. Erm…patutla dunia Islam sekarang ni huru-hara sebab ramai sangat ustaz sekarang ni macam aku. Kelulusan tinggi tapi kosong penghayatan dan amalan. Kadang-kadang bila aku tengok pelajar-pelajar jurusan agama sekarang ni macam tak percaya rasanya mereka ambil kursus tu. Bukan memandang lekeh tapi bagi aku merekalah generasi ulama pada masa depan.Aku tertanya-tanya sendirian, mampukah mereka (dan juga aku) untuk memikul tanggungjawab yang pernah diamanahkan kepada para rasul sepanjang zaman ini. Ish…gerun rasanya bila difikirkan azab Allah nanti.

Bila aku fikir masak-masak, aku sememangnya perlu mencari pasangan hidup yang betul-betul mampu untuk membentuk generasi pewaris aku nanti. Biarlah aku bukan dari keturunan alim ulama’ namun aku mengharapkan agar generasiku ini adalah generasi para alim ulama’. Ya. Aku kahwin bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan hati dan naluri tetapi juga untuk tuntutan ummah. Sesungguhnya Rasulullah berbangga dengan umatnya yang ramai.

Aku ingin memetik sebaris doa yang sememangnya telah diketahui ramai, yang juga satu doa yang tertera dalam kitab Agung sepanjang zaman iaitu :

ربنا هب لنا من أزواجنا و ذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما

Yang bermaksud :

“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Menurut Al-Zujjaz, “Allah Taala menyejukan mata kami” ialah menenangkan jiwa kamu dengan memenuhkannya dengan perasaan cinta. Dan berkata Al-Mufaddhal pula dalam masalah قرة العين ini ada 3 pandangan iaitu:

Pertama :Air matanya (iaitu ketika ketawa dan gembira dan airmata kesedihan).

Kedua : Tidurnya (kerana hilangnya kelaparan dan kesedihan).

Ketiga : Berasa redha

Tiada Keraguan lagi bahawa yang dikehendaki daripada ayat ini iaitu menjadi penyejuk mata bagi mereka di dalam beragama bukan pada urusan dunia samada daripada harta dan kecantikan yang difikirkan oleh kebanyakkan orang sekarang. Kemudian disebut dalam ayat ini 2 bentuk :-
Pertama : Mereka memohon daripada Allah Taala akan isteri-isteri dan zuriat di dunia yang bersama-sama dengan mereka dan mereka suka seandainya isteri dan anak-anak mereka itu bersama-sama dengan mereka dalam berbuat ketaatan kepada Allah Taala dan memperkuatkan lagi keinginan mereka untuk memperoleh kebahagiaan bersama-sama anak dan isteri mereka itu di syurga. Justeru memperlengkapkan keseronokan mereka di dunia dan memperoleh pahala di akhirat.
Kedua : Mereka memohon kepada Allah Taala agar menempatkan isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka bersama dengan mereka di dalam syurga. Justeru menyempurnakan kegembiraan mereka pada anak-anak dan isteri mereka.

Ah, hebat sungguh pandangan ulama’ dulu dalam membicarakan perihal pasangan hidup ini. Tidak hairan rasanya ramai para ulama’ dulu lahir dari kalangan generasi dari rantai-rantai ulama’ juga. Tidak cukup tangan untuk dihitung berapa ramai ulama’ Islam yang lahir di dunia dari generasi para ulam’ juga. Bahkan mampu mengharumkan lagi nama Islam pada pandangan mata dunia. Dengan kata lain, doa ini bukan hanya menbentuk generasi yang menyejukkan pandangan mata ibu bapa sahaja tapi juga menyejukan hati Islam keseluruhannya hingga terbeliak juga mata para kufar di persada maya.

Nah, di sini inginku kongsi sedikit lagi beberapa pandagan ulama’ berkenaan doa yang ma’thur ini. Di sini dikongsi pandangan mereka dari sudut susunan bahasa doa ini yang sememangnya satu mujizat kepada Kalam Allah. Sesungguhnya pendapat para ulama berkenaan firman (من أزواجنا ) ialah kemungkinan samada keterangan itu menunjukkan seolah-olah Allah Taala bermaksud ( هب لنا قرة أعين ) kemudian diterangkan tentang penyejuk ( القرة ) dan ditafsirkan dengan firman Allah Taala (من أزواجنا ). Hal ini diambil contoh dari sudut bahasa Arabnya iaitu daripada kata-kata mereka رأيت منك أسدا iaitu انت أسد . Satu lagi pandangan mereka adalah mungkin bermaksud uslub permulaan dengan maksuk هب لنا من جهتهم ما تقربه عيوننا من طاعة وصلاح (kurniakanlah kepada kami daripada mereka yang menyejukan hati kami daripada ketaatan dan amalan soleh. Pendapat yang lain pula adalah tidak disebut قرة عين pada ayat tersebut (iaitu dinakirahkan dan digunakan bilangan mufrad) adalah kerana mudhaf tidak boleh dinakirahkan kecuali dinakirahkan pada mudhaful ilaih seperti: هب لنا منهم سرورا و فرحا dan sesungguhnya disebut أعيون tetapi tidak disebut عيون Kerana Allah Taala ingin bermaksud أعين المتقين iaitu قليلة disandarkan kepada عيون غيرهم seperti firman Allah ( وقليل من عبادي الشكور ).

Erm, mungkin agak rumit untuk difahaminya apatah lagi bila dihurai dalam konteks bahasa Arab yang tidak semua orang dapat menguasainya. Namun, secara ringkasnya boleh disebut di sini bahawa terdapat tiga pandangan ulama’ dari sudut penggunaan tatabahasa Bahasa Arab di dalam ayat ini. Pandangan pertama ialah Allah ingin menyebut bahawa orang-orang yang berdoa itu mendoakan agar dikurniakan penyejuk mata itu dari kalangan isteri dan anak-anak mereka. Perkataan قرة أعين sebagai fokus doanya dan من أزواجنا sebagai maksud kepada penyejuk mata yang diingininya itu iaitu mengharapkan agar Allah tenangkan hatinya dengan dikurniaan isteri (dam juga anak) yang soleh . Pandangan kedua pula meletakkan من أزواجنا sebagai fokus doanya dan قرة أعين sebagai maksudnya iaitu mengharapkan agar jenis isteri (dan juga anak) yang diingininya itu adalah menyejukkan pandangan mata. Manakala pandangan ketiga pula ingin menjelaskan bahawa terdapat sedikit sahaja penyejuk mata dari kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Sedar tak sedar doa yang kita lafazkan setiap kali selepas sembahyang lima waktu ini begitu tinggi nilaiannya. Bak kata peribahasa, “hanya jauhari yang mengenal manikam”. Moga-moga aku juga mampu untuk menggapai inti pati maksud kalimah Allah yang agung ini. Siapakah yang akan menjadi penyejuk mataku? Hanya engkau sahajalah yang mampu menjadi penyejuk mataku.

11 November 2007

Perhimpunan Aman BERSIH yang aman lagi bersih


10.30 pg.

Kami tiba di Masjid Jamek tanpa sebarang masalah. Namun, melihat kepada suasana Masjid yang dikawal oleh FRU, kami merayau seketika di kawasan sekitar masjid. Setelah terasa lapar, kami mengambil kesempatan yang ada untuk menjamu selera di kedai mamak berhampiran. Tanpa dirancang, kaki kami terus melangkah hingga ke KOMPLEK PERTAMA dan seterusnya ke SOGO. Ah, alang-alang dah sampai ke SOGO dan waktu yang ada masih berbaki kurang lebih 4 jam lagi untuk masa berhimpun yang ditetapkan di Masjid Jamek, kami merayau-rayau seketika di situ. Suasana agak tenang, unit Amal Malaysia beratur setia di hadapan bangunan yang tersergam itu tanpa mempedulikan polis-polis yang sedang memerhatikan gelagat mereka. Ramai juga orang awam yang berada di sekitar bangunan tersebut. Dan kami agak pasti, mereka juga sedang menunggu waktu yang bersejarah itu.

1.15ptg.

Kami mengambil keputusan untuk solat Zohor di komplek SOGO. Kaki pun dah rasa kepenatan berjalan pusing KL hari ni. Lagipun masa pun masih agak awal untuk ke Masjid Jamek dalam keadaan begini. Allahu Akbar, surau di Kompleks SOGO penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing ingin mengambil kesempatan solat di awal waktu

. Bahkan ada juga yang terpaksa menunaikan solat di ruang legar lif bangunan sampai berkali-kali jemaah solat berganti. Subhanallah. Tatkala itu, orang lain sibuk membeli belah di bahagian atas SOGO. Indahnya Syariat Islam.

2.00 ptg

Setelah selesai menunaikan tuntutan Ilahi, kami meneruskan tuntutan demokrasi pula. Menuntut keadilan dalam Pilihan Raya Umum nanti. Sebaik sahaja kami keluar dari bangunan pencakar langit itu, kelihatan kelibatan segerombolan manusia berbaju kuning menuju ke arah kompleks SOGO. Dengan diiringi Unit Amal Mala ysia, beberapa orang pimpinan PAS dan juga NGO yang lain seperti Ust Ahmad Awang, Naib Presiden PAS, Ust. Nasharuddin Tantawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ust Riduan Mad Nor, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nik Mohamad Abduh, Ust Nor Azli Taliban, Ust Kamal Asyaari, Ust. Abu Bakar Chik dan beberapa pimpinan lain kelihatan memimpin himpunan aman ini. Suasana tenang pada mulanya bertukar wajah. Orang ramai mula mengenakan pakaian kuning. Seluruh ceruk bangunan manusia mula berkumpul dari dalam dan luar SOGO. Sekelip mata gelombang kuning mewarnai SOGO. Kompleks SOGO ditutup sementara. Mungki n mereka bimbang berlaku sebarang rusuhan agaknya. Kami sekadar menduga. Taujihad pimpinan dimulakan oleh Ustaz Ridhuan, yang sememangnya telah dikenali ramai sebagai `Kaki Demostrasi`. Unit Amal bertugas untuk mengawasi pimpinan dan peserta. Polis hanya memerhati setiap gelagat para peserta perhimpunan aman ini tanpa bertindak semberono. Setelah diakhiri dengan bacaan doa, seluruh warga perhimpunan mula bergerak keluar dari perkarangan SOGO melewati hentian monorel SOGO menuju ke Istana Negara sambil melaungkan kata-kata keramat.

Hidup! Hidup! Hidup Rakyat!...Aman! Aman! Aman Rakyat!... Tenang! Tenang! Polis Tenang! Kami Rakyat! Orang Raja! ......Takbir! Allahu Akhbar!...

Rintik-rintik hujan mula kelihatan, seakan turut bersama kami menuntut keadilan rakyat ini. Kami meneruskan perjalanan dengan semangat yang lebih membara untuk menuntut keadilan. Tiba di hadapan persimpangan Dataran Merdeka. Kelihatan kenderaan FRU meluncur laju melewati barisan hadapan rombongan. Mujur tiada halangan. Para pimpinan memimpin seluruh warga perhimpunan mara ke hadapan melewati DBKL dengan diiringi petugas-petugas Unit Amal. Hujan mulai lebat, orang ramai terus mara ke Masjid Negara. Melalui maklumat yang kami terima, rupanya FRU yang datang sebentar tadi menuju ke Masjid Jamek untuk menyuraikan segerombolan peserta perarakan lain di sana. Tak dapat dibayangkan jika dapat digabungkan tadi. Gegak gempita rasanya bandaraya KL ni.

Di Masjid Negara, kami lihat ramai penyokong dan peserta perhimpunan di Masjid Negara yang sedang menanti. Rombongan kami berhenti seketika di seberang jalan menantikan penggabungan dari Masjid Negara. Di hadapan Masjid Negara, FRU berpadu tenaga mengawasi kumpulan di dalam Masjid Negara dan terus menghalang mereka daripada keluar. Namun, akhirnya FRU terpaksa membenarkan juga peserta keluar dari perkarangan Masjid Negara untuk menyertai perarakan utama.

Kalimah Allahu Akhbar! Terus bergema. Kenderaaan-kenderaan di laluan bertentangan turut memberikan sokongan. Hon dibunyikan sebagai tanda menyatakan sokongan mereka kepada kumpulan perarakan. Pelbagai bangsa dan kaum terlibat samada secara langsung atau tidak, sebagai peserta perhimpunan atau pun sebagai pemandu-pemandu kenderaaan di kiri kanan jalan raya. Sungguh aman dan bersih.

Tidak banyak kain rentang yang dibawa semasa perhimpunan tersebut. Namun yang menariknya ialah kain rentang yang kami bawa adalah antara salah satu daripadanya. Memang kain rentang kami menjadi tumpuan ketika itu. Ada-ada saja orang yang ingin merakamkan kenangan bersejarah ini dengan berlatar belakangkan kain rentang kami, rasanya SB pun ada yang ambil gambar. Begitu juga dengan para peserta perhimpunan ataupun dari para pemandu kenderaan yang sedikit kagum dengan suasana yang ada. Mereka baca dan amati kain rentang itu dan mengukir senyuman tanda faham dan setuju.

Perarakan sudah 20 minit melepasi Masjid Negara. Sesekali kami menoleh ke belakang dan lihat kebawah fly over. Ah, rupanya ada lagi kumpulan perarakan yang bergerak mara ke arah kumpulan utama, kumpulan dari Pasar Seni agaknya.

3.00ptg.

Setibanya di perkarangan Istana Negara, kelihatan lautan manusia sejauh mata memandang di belakang. Kami yang berada di barisan hadapan berasa penuh kagum dengan jumlah yang sedemikian ramai orang. Ish, kalau dicampur dengan para perhimpun di Masjid Jamek mungkin haru-biru polis dibuatnya, kami berbisi-bisik sesama sendiri. Sebelum taujihad dimulakan, kami diarahkan untuk duduk bagi memudahkan lagi proses perhimpanan aman ini. Semua yang hadir pada ketika itu akur dengan arahan pimpinan. Namun, ada juga suara-suara sumbang yang mengeluh dan mencemuh arahan tersebut. Melihat kepada cara berpakaian dan lagak gaya mereka, kami pasti ia datang dari para provokasi SB yang telah diselinap masuk kedalam gerombolan tersebut. Taujihad dimulakan dengan ucapan yang diberikan oleh Mad Sabu, Naib Presiden PAS. Seterusnya disusuli pula oleh Ketua Pemuda PAS,YB Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Ust Nor Azli Taliban. FRU dan Polis lagak gaya macam `anjing kerajaan` dengan tegas menyekat peserta dari menghampiri pagar istana. Unit Amal berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik, dengan membuat satu benteng di hadapan para petugas FRU tersebut. Mimik muka mereka tak tumpah macam para petugas FRU tersebut, serius dan masam.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!..Kalimah keramat itu juga turut menjadi intonasi yang menarik pada hari itu. FRU nampaknya memberi kerjasama yang baik. Takut agaknya. Silap bertindak padah menanti FRU dan Polis. Begitu jugak dengan peserta perarakan, tenang di luar, tapi kencang di dalam.

Tenang! Tenang! Polis Tenang!...Aman! Aman! Rakyat Aman!..Polis Tenang!.Rakyat Aman!

Berkali-kali ucapan keramat itu dilaungkan bagi membangkitkan semangat para peserta perhimpunan dan menenangkan keadaan.


3.25 ptg

Dalam keamanan perhimpunan itu, kelihatan wakil BERSIH iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul HAdi Awang, Presiden PAS, Datuk Seri Anuar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Lim Kit Siang, Presiden DAP berjalan keluar dari Istana Negara dan menuju ke arah kumpulan perhimpunan. Orang ramai yang berada di situ riuh seketika apabila melihat kelibat kedatangan pemimpin mereka datang dan terpaksa ditenangkan oleh Mad Sabu yang menjadi ketua perhimpunan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil kesempatan untuk memberi sedikit taujihad kepada para peserta perhimpunan dan diikuti pula ucapan daripada Datuk Seri Anuar Ibrahim. Mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sanggup berkorban datang dari jauh untuk merealisasikan perhimpunan aman BERSIH ini. Semua peserta perhimpunan berasa puas apabila dapat mendengar ucapan daripada para pimpinan mereka.

Kehadiran helikopter yang berlegar di ruang udara Istana Negara sedikit sebayak mengganggu kelancaran perhimpunan aman dan taujihad yang diberikan.

Kurang lebih jam menunjukkan pukul 3.45 petang, Ketua polis Dang Wangi dari atas jentera FRU, mula memberi amaran bahawa masa 5 minit diberikan untuk bersurai. Pada mulanya seolah-olah rakyat tidak mahu bergajak..namun akur dengan arahan pimpinan, Kami dengan rasa bangga dan girangnya berpusing dan mula bergerak meninggalkan istana Negara..girang..sedikit pun tidak rasa kerugian.

Jalan ! Jalan ! Jalan terusTenang! Tenang! Polis Tenang!...Aman! Aman! Rakyat Aman!..Polis Tenang!. Rakyat Aman!


4.40ptg

Para peserta perhimpunan aman BERSIH telah tiba di Masjid Negara dengan hati yang penuh kesyukuran kepada Allah kerana melancarkan perhimpunan ini dengan baik walaupun masih ada sedikit sebanyak gangguan daripada pihak FRU terutamanya di Masjid Jamek. Di kejauhan, kelihatan masih ramai lagi orang di sekitar masjid dan juga di atas fly over yang melihat kelibat kehadiran kami di situ. Mungkin mereka dari kalangan peserta perhimpuan yang tidak sempat mengikuti agenda penyerahan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung di Istana Negara. Sesekali mereka melambai-lambai tangan ke arah kami dan sesekali ada juga yang masih mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan hari yang bersejarah itu dan kami yang memegang kain rentang sememangnya tidak diabaikan oleh para peminat perhimpunan aman ini.

05 October 2007

analisis PRK UKM

Secara Keseluruhannya mengenai Keputusan Pilihanraya Kampus UKM 2007
  1. Pada PRK kali ini IPU hanya memenangi 4 kerusi drp 34 kerusi berbanding dengan 5 kerusi pada PRK lalu. Kerusi yang berjaya dimenangi FPI thn2, FPI thn3, Fpend thn2 dan Fpend thn3.Kampus Ktsn gagal memenangi sebarang kerusi berbanding yang lalu 1 kerusi melalui FSKB thn3. 4kerusi yang dimenangi IPU berlaku pertambahan undi majoriti kecuali FPI thn3 susut 2 undi. FPI thn2 dari majoriti 285 ke 577, Fpend thn2 dari 45 ke 108, Fpend thn3 dari 10 ke 210. manakala FPI thn3 majoriti 260 ke 258. ini menjadikan FPI dan Fpend sebagai kubu kuat IPU.
  1. Bagi kerusi yang kalah pula, terdapat beberapa kerusi yang menunjukkan peningkatan yang cukup baik terutama bagi kerusi FEP thn3. Walaupun kerusi ini adalah kerusi campuran melayu dan cina tetapi undi IPU meningkat dengan banyaknya iaitu sebanyak 110undi sekaligus majoriti TSB berkurangan drp 222 ke hanya 73. kita menjangkakan calon IPU memperolehi undi dari cina pada PRK kali ini. IPU hampir gagal memperolehi undi cina apabila sentimen perkauman dimainkan tetapi berjaya diatasi beberapa hari sebelum pengundian. Kerusi ini berpotensi untuk dimenangi dalam tempoh selewat lewatnya 2 tahun lagi jika trend yang berlaku sekarang berterusan dengan andaian ‘ceteris paribus’. Suatu penilaian dan kajian terperinci perlu dilakukan oleh IPU FEP bagi menawan kerusi ini memandangkan kerusi ini adalah kerusi tradisi TSB.
  1. Begitu juga bagi kerusi Kejut thn2 yg berjaya mengurangkan undi majoriti TSB walaupun berlaku kekurangan undi sebanyak 4undi. Selain itu kerusi yang berjaya mengurangkan majoriti TSB adalah FEP thn2 dari 883 ke 579, FSSK thn2 dari 970 ke 273, FSSK thn3 dari 330 ke 311, FTSM thn2 dari 285 ke 150, FTSM thn3 dari 23 ke 6, FUU dari 148 ke 85, FST thn2 dari 1377 ke 528.
  1. bagi calon umum thn2 pula, sesemua calon IPU berjaya meningkatkan undi sekaligus mengurangkan majoriti pada tahun lalu majoriti terkecil adalah 3790 berbanding kali ini sebanyak 2411.bagi calon TSB pula rata2 undi calon umum bagi kerusi ini jatuh.untuk umum thn3, undi calon IPU meningkat walaupun undi tertinggi kita berkurangan. Majoriti bagi kerusi ini juga berkurangan dari undi terkecil 1119 ke 569.
  1. Apa yang menarik, di Kolej Pendeta Zaba (kolej hitam dengan kekejaman TSB) menyaksikan kesemua calon2 umum thn3 IPU menang.disini juga calon TSB bagi kerusi FPI thn2 gagal mendapat sebarang undi berbanding calon IPU 129,begitu juga di KTHO calon TSB tersebut gagal mendapat sebarang undi.
  1. Antara perubahan menarik pada PRK kali ini adalah penglibatan dari mat2 motor dalam siri2 kempen IPU.jumlah mereka semakin bertambah hari demi hari sehingga mencecah 500 buah motor. Dengan penglibatan mat2 motor ini pada mulanya dikatakan akan mendatangkan kesan kpd undi IPU tetapi meleset apabila undi kita keseluruhan meningkat. Di kolej Pendeta Zaba yang berlaku kejadian mat motor mengejar siswi TSB menyaksikan kita memperolehi yg memberangsangkan.
  1. Pada PRK sebelum2 ini IPU sering dicop sebagai pro pembangkang tetapi kali ini IPU berjaya mengubah kepada pro mahasiswa.
  1. Nama Sdr Abdullah A.Karim dijadikan senjata oleh TSB pada hari2 terakhir dengan mengaitkan keganasan. Isu ini telah digunakan saban tahun oleh TSB.
  1. Semangat ahli2 IPU meningkat dengan tinggi sekali apabila kita mampu mengedar risalah secara terang2an di kubu TSB iaitu Kris Mas dan Burhan.penglibatan ahli2 thn 1&2 yang berani dalam setiap pertembungan dengan ahli TSB juga wajar diberi pujian.
  1. Bagi kampus KTSN, kita gagal di kesemua kerusi. Walaubagaimanapun bagi kerusi FSKB thn2 undi majoriti TSB berjaya dikurangkan dengan banyak dari 505 ke 128. ini memberi petanda peluang untuk memenangi FSKB thn3 pd PRK akan datang cukup cerah.manakala bagi 3 kerusi lain undi IPU merosot. Bagi kerusi Fgigi, suatu kajian terperinci perlu dijalankan apabila undi IPU merosot lebih daripada separuh iaitu dari 141 ke hanya 66. Kegagalan IPU KTSN untuk memenangi sebarang kerusi juga mempunyai keitan dengan persiapan Jentera Pilihanraya yang lambat digerakkan.
  1. Bagi kampus KTDI pula, kerusi yang dipertandingkan iaitu perubatan thn3 IPU kalah tipis dengan 8undi berbanding majoriti sebelum ini hanya 2undi.
  1. Pada PRK kali ini juga seramai 6 orang ahli dan penyokong IPU telah ditahan oleh Pengawal Keselamatan UKM. mereka terdiri dari seorang muslimin , 2 orang muslimat dan 3 orang mat motor.
Ini adalah pandangan yang dibuat berdasarkan perbincangan dengan beberapa sahabat alumni.
Yang memberi pandangan,
Halim
Exco Jab. Pemb. Mahasiswa DPP Pusat
Merangkap KPJOP05

29 September 2007

Bercintalah di bulan yang Mulia ini



Salam Ramadhan Kareem kepada semua walaupun sudah lebih separuh bulan kita berada di Madrasah Tarbiyyah ini. Namun hakikat ketaatan dan pengabdian kita kepada Allah adalah akan terus dituntut sepanjang kehidupan kita di dunia yang fana ini. Kursus latihan amalan ketaatan ini diharap mampu menguatkan lagi semagat kita sebagai hamba Allah agar melakukan yang terbaik untuk Allah Kekasih Azali dan Abadi.

Buatlah yang terbaik untuk yang Tercinta ini. Pujalah Ia siang dan malam. Pujuklah hatiNya di kala rembulan merajai alam maya. Andai kau mampu memelukNya peluklah Ia sekuat hatimu. Agar kau rasa betapa hangatnya perasaan cintaNya kepadamu. Biar dirimu rasai betapa Ia sentiasa mengharapkan kehadiranmu disisiNya. Sekali kau rapat kepadaNya berjuta kali Ia akan merapati dirimu. Oh alangkah bahagia andai mendapat pelukan dari Sang Kekasih hati.

"Sesiapa yang cinta untuk menemui Allah, Allah juga cinta untuk menemuinya. Manakala sesiapa yang tidak suka untuk menemui Allah maka Allah juga tidak suka untuk bertemu dengannya."

( Hadis riwayat al-Bukhari )

Dengarlah pula rintihan hati Rabiatul Adawiyah dikala mendambakan cinta suci dari Allah yang dicintainya :

"Ya Rabbi, apabila aku menyembahMu kerana takutkan nerakaMu maka bakarlah diriku di dalam neraka itu. Apabila aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu maka jauhkanlah aku darinya. namun, jika aku menyembahMu kerana demi cinta kepadaMu maka janganlah Engkau tutup Keindahan AbadiMu."

Nah, dimanakah kita sekarang? Tidak inginkah kita mencintaiNya dikala Ia menunggu kita dengan penuh kerahmatan dan keampunanNya itu. Sekarang kita dengar pula unggapan cinta agung dari Kekasih yang dirindui ini. Bacalah Warkah CintaNya dengan sepenuh hatimu:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamaNya, maka Allah akan mendatangkan pula suatu kaum yang dia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepadaNya, kaum yang bersifat lemah lembut terhadap orang-orang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir. Maka mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya kerana Allah itu Maha Luas limpah kurnia lagi meliputi pengetahuanNya."
( Al-Maidah : 5 : 54 )

26 August 2007

merdeka oh merdeka!


Merdekakah kita sekarang? pelbagai pandangan dan reaksi yang telah kita terima daripada rakyat negara kita berkenaan sambutan kemerdekaan yang ke 50 ini. Ramai yang merasa bangga dan tidak kurang juga yang merasa kecewa dengan kemerdekaan yang telah kita kecapi menjelang setengah dekad kemerdekaan ini. Apa tidaknya, setelah sekian lama kita merdeka masih ada yang tinggal di pondok usang yang tiada bekalan air dan elektrik, masih ada yang hidup dengan beralas perutkan siput babi sebagai santapan penyambung hidup.merdekakah kita?

Itu baru sikit.nah kita kita tengok pula berita di mutakhir ini.apa jadi?apa kes yang tak timbul di dada-dada akhbar, skrin televisyen, gelombang radio dan di jaring-jaring internet?ada saja isunya. dari sekecil perkara hingga sebesar perkara. dari kes tandas kotor hingga kes jenayah kolar putih.isu rakyat malaysia hina lagu kebangsaan, bas ekspres yang terbabas , pegawai tinggi polis yang terlibat dengan rasuah.nah apa lagi?merdekakah kita?

Inilah yang terjadi bilamana erti kemerdekaan disalah ertikan,bilamana sejarah disembunyikan.Dan ia akan terus terjadi bilamana Al-Quran tidak diendahkan. Masih ingatkah kita pada setiap butir ayat al-Quran yang kita baca? Fahamkah kita isinya?bergetarkah hati kita bila membacanya?


14 August 2007

Hari Konvokesyen Sedunia


Selamat dan tahniah diucapkan kepada semua graduan UKM yang menerima ijazah pada hari konvokesyen masing-masing yang berlangsung pada 11 Ogos 2007 hingga 16 Ogos 2007 ini. Semoga ilmu yang dituntut selama 3 tahun di menara gading di perbukitan Bangi ni dapat dimanfaatkan sepenuhnya di usia yang mendatang nanti dalam kehidupan harian anda semua. Bukan hanya berlegar dalam industri pekerjaan semata-mata.Dunia yang sementara ini perlu di diisi dengan pengabadian kepada tuhan yang menciptakan segalanya. Tuhan yang menguasai sepenuhnya hari konvokesyen sedunia di suatu hari nanti. Dia telah aturkan segalanya untuk persiapan hari konvokesyen yang penuh gemilang dan terbilang itu. Tiada yang lebih berkuasa selain dariNya. Dia Canselor yang agung pada waktu itu. Dia akan anugerahkan kepada semua penuntut-penuntut jurusan dunia melalui pelbagai cara. Ada yang menerima skrol ijazah melalui tangan kanan, ada yang menerima melalui tangan kiri dan ada juga yang menerimanya melalui belakang. Pada waktu itu juga akan dianugerahkan tokoh Diraja kepada manusia yang agung sepanjang zaman iaitu Baginda Nabi Muhammad Saw. Beliau dianugerahakan anugerah doktor kehormat yang membawa gelaran 'syafaat' pada waktu itu. Anugerah ini berkuasa untuk diberikan pula kepada sesiapa yang dirasakan layak menerimanya dan beroleh kenikmatan penginapan yang penuh gemilang di syurga yang dirindui oleh sekelian penuntut jurusan dunia ini. Pada masa itu juga turut dianugerahkan sijil kepada penuntut-penuntut yang gagal menamatkan tempoh pengajian di Universiti Dunia ini berupa sambaran dan julangan api di neraka.tempat bagi sekelian penuntut yang ingkar dan suka berfoya-foya sewaktu mengikuti pengajian di Universiti Dunia ini. Mereka juga adalah golongan yang suka ponteng kelas-kelas fardhu ain yang diamanahkan kepadanya. Mereka juga adalah golongan yang gagal menyelesaikan assigment berupa amalan sunat yang digalakkan. Mereka juga adalah golongan yang suka main-main semasa berada di universiti ini dengan melakukan pelbagai aktiviti berfoya-foya yang boleh menjerumuskannya ke lembah kemaksiatan dan keingkaran kepada perintah-perintah pentadbir universiti ini.Sungguh agung hari itu bagi orang-orang yang beriman padaNya. Firman Allah Taala:

"Dan tidaklah Kami menjadikan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya secara main-main. Tidaklah Kami menjadikan keduanya melainkan kerana melahirkan perkara-perkara yang benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat itu. Sesungguhnya hari memutuskan hukum untuk memberi balasan ialah masa mereka untuk berhimpun."

(al-Dukhan:38-40)

15 June 2007

Mengenal Wali Allah


Dikatakan dinamakan wali itu berdasarkan kepada perlakuan hasil dari kelaziman berlaku taat. Oleh yang demikian, wali Allah SWT adalah seseorang yang mentaati dan mematuhi apa sahaja yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT dan turut serta membenci apa sahaja yang tidak disukai oleh Allah Taala. Ia melakukan apa sahaja yang diperintahkan olehnya dan meninggalkan larangannya. Sesiapa yang memusuhi wali-wali Allah SWT sebagaimana yang telah datang di dalam hadis Qudsi di mana Allah SWT berfirman kepada rasulNya yang bermaksud; “Sesiapa yang memusuhi waliku sesungguhnya ua telah menentangku dengan peperangan.”

Syaikh Ibn Taimiyyah telah menulis dalam sebuah bukunya menyatakan bahawa Allah taala memiliki para wali di antara manusia iaitu hambanya. Namun begitu, syaitan juga memiliki walinya di kalangan manusia. Beliau telah membawakan ayat-ayat yang menunjukkan perkara yang sedemikian. Kemudian beliau menjelaskan adanya perbezaan antara wali Allah Taala dan wali syaitan. Wali Allah adalah orang-orang mukmin yang bertakwa kepada Allah. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman; “Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan pada diri mereka dan mereka tidak merasa khuatir. Mereka beriman dan bertakwa (kepada Allah).” (Yunus, 10:62)

Sementara itu, sesiapa sahaja yang kafir kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul dan hari Akhirat bereti dia telah benar-benar sesat. Demikian pula orang yang mengatakan bahawa mereka beriman terhadap sebahagian ayat-ayat Allah dan ingkar terhadap sebahagian yang lainnya. Mereka hendak menjadikan diantara kedua-duanya jalan tengah. Mereka itu adalah orang-orang kafir yang sebenar-benarnya. Mereka itu adalah wali-wali syaitan. Dalam hal ini, Allah telah berfirman: “Syaitan telah menyimpangkan mereka dari jalan Allah, sementara mereka menyangka bahawa diri mereka mendapat petunjuk.” (Az-Zukhruf, 43:37)

Dalil-dalil wujudnya wali

a)Dari Ayat Al-Quran

Dalam al-Quran sendiri telah dijelaskan oleh Allah dengan terang bahawa para wali Allah itu akan dijamin oleh Allah segala kehidupannya samada di dunia mahupun di akhirat sehingga mereka tidak takut ataupun susah. Firman Allah:

“Ketahuilah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tidak bersedih hati. Mereka adalah orang-orang yangberiman dan selalu bertakwa. Bagi mereka diberikan berita-berita gembira baik dlam kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Allah tidak akan merubah kalimah (janji) Nya, yang demikian itu adalah keuntungan yang besar sekali (bagi mereka).”

(Yunus: 62-64)

Dari ayat yang disebutkan di atas dapat disimpulkan bahawa sebahagian dari hamba allah itu ada yang dijadikan wali Allah. Dan hamba Allah yang dijadikan wali Allah pasti akan diberikan keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri. Keistimewaan-keistimewaan itulah yang kita istilahkan sebagai karamah. (Abu Mazaya 2004,8)

b) Dari al-Hadis

Pada hakikatnya sebahagian hamba Allah ada yang dijadikan sebagai wali Allah iaitu hamba yang dikasihi Allah. Sebahagian yang lain pula ada yang dijadikan sebagai wali syaitan iaitu hamba yang dikasihi syaitan. Keikhlasan hati dan kemurnian iman yang mereka miliki itulah yang mendapat penghargaan yang besar dari Allah. Tidaklah hairan jika Allah memberikan kasih sayangNya pada mereka seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis Qudsi yang bermaksud :

Dari Abu Hurairah RA. Berkata: Nabi bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Siapa yang memusuhi waliKu, maka Aku isytiharkan perang padanya. Tidak seorang pun yang dekat kepadaKu dengan suatu amalan wajib yang Aku sukai dan tidak seorang pun dari hambaKu yang dekat kepadaKu dengan amalan sunnah sampai Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, maka Aku akan menjadi pendengarannya untuk mendengar, dan Aku akan menjadi pandangannya untuk melihat, dan aku akan menjadi tangannya yang dipakai untuk memegang dan Aku pun akan menjadi kakinya untuk berjalan. Maka apa-apa yang dia minta padaKu, nescaya akan Ku berikan permintaannya dan jika dia meminta perlindungan dariKu maka Aku akan lindungi dia.”

(Riwayat Bukhari)

Kandungan hadis ini sangat mendalam sekali. Di mana Allah menerangkan bahawa ZatNya diibaratkan menjadi pandangan, pendengaran, bahkan menjadi tangan dan kaki bagi seorang hamba yang mendekatkan dirinya dengan amalan wajib dan sunnah, yakni para wali Allah. (Abu Mazaya 2004, 7)

Ciri-ciri Wali Allah

Sesungguhya yang disebut wali adalah wali Allah. Hal ini jelas diterangkan dalam al-Quran. Seorang wali adalah manusia yang tidak pernah merasa takut dan gentar kepada apa-apa dan sesiapa pun kecuali Allah. Seorang wali adalah manusia yang benar-benar beriman dan bertakwa serta sentiasa beramal soleh. Keimanannya murni, tidak melakukan syirik sedikit pun. Ketakwaannya ikhlas, tak ternoda oleh perasaan ria’.Amal solehnya pula dilakukan secara istiqamah samada di waktu susah atau senang, lapang atau terdesak, sihat ataupun sakit.

a)Beriman dan bertakwa kepada Allah dan rasulNya

Apabila seseorang mengamalkan apa yang diketahuinya iaitu bahawa Allah taala telah memerintahkan kepadanya untuk beriman dan bertakwa kepada Allah bererti dia termasuk ke dalam kelompok wali Allah. Perwaliannya kepada Allah SWT didasarkan kepada keimanan dan ketakwaannya kepadaNya.. (Ibn Taimiyyah 2000,88)

Firman Allah :

“Katakanlah, (wahai Muhammad kepada umatmu) jika kamu mencintai Allah maka ikutilah aku. Allah akan mencintai kamu.”

(Al-Imran : 31)

b)Taat

Seseorang itu tidak akan menjadi mukmin yang bertakwa melainkan dengan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dengan melaksanakan yang fardhu dan meninggalkan yang haram. Di peringkat ini ia termasuk ke dalam golongan Al-Abrar (orang-orang yang mengerjakan kebajikan) atau pun golongan kanan. Sekiranya ia mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengerjakan yang nawafil selepas fardhu, Ia termasuk ke dalam golonganas-Saabiqun Al-Muqorobbun (orang-orang yang bersegera di dalam melakukan kebajikan). (Ibn Taimiyyah 1993.75)

c)Tidak gila

Tidak sah iman dan takwa seseorang yang gila, begitu juga perbuatannya mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT dengan ibadah fardhu mahupun nawafil. Tidak boleh ia menjadi wali Allah Taala, maka yang demikian itu tidak harus seseorang itu beriktikad bahawa dia seorang wali Allah Taala. Walaupun ia mempunyai hujah atas dakwaannya bahawa orang gila itu wali Allah SWT samada secara mukaashafah yang diberitahu olehnya atau perkara luar biasa yang lain. (Ibn Taimiyyah 1993, 77)

d)Melalui tariqat Nabi SAW

Sesiapa yang beriktikad bahawa wali-wali allah SWT mempunyai jalan yang lain untuk mencapai keredhaan Allah SWT selain daripada jalan Nabi SAW atau pun ia berkata sesungguhnya Nabi telah menyempitkan jalan atau pun Nabi hanyalah contoh ikutan untuk orang-orang awam sahaja sedangkan untuk orang-orang yang khas (para khowas) mereka mempunyai jalan lain untuk mencapai kewalian, maka iktikad itu adalah batil. (Ibn Taimiyyah 1993, 78)

e)Tidak meninggalkan yang wajib

Oleh yang demikian, sesiapa yang telah zahir kewaliannya (sebagaimana wujud mukaashafah dan sebagainya dari pelbagai alamat ) di dalam keadaan ia tidak menunaikan yang fardhu dan tidak pula menjauhkan yang haram bahkan melakukan amalan yang bertentangan dengan syarat kewalian maka tidak patut untuk seseorang yang lain mengatakan ia wali Allah SWT. (Ibn Taimiyyah 1993, 79)

Tingkat Wali

Menurut Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi, dalam kitabnya yangberjudul ‘Fathul Makkiyyah’ bahawa yang dapat diketahui tentang martabat para Aulia itu ialah nama-nama martabat mereka sahaja (Mustaffa Suhaimi 1994,64) :

a) Wali Al-Aqtab

Kalimah ‘Al-Aqtab’ berasal dari kalimah tunggal ‘Qutub’ yang bererti penghulu. Maka dapatlah disimpulkan bahawa Wali al-Aqtab adalah martabat wali yang tertinggi dripada yang lain. Bilangan wali Al-Aqtab adalah terbatas, iaitu seorang pada suatu masa. Apabila yang ada wafat barulah martabatnya diganti oleh wali yang lain.

b) Wali al-Aimmah

Kalimah ‘Al-Aimmah’ adalah dari kata tunggal ‘imam’ yang bererti pemimpin. Martabat ini sangat tinggi, dikatakan bahaw hanya dua orang wali Al-Aimmah pada suatu masa.

c) Wali al-Autad

Kalimah ‘Al-autad’ adalah dari kata tunggal ‘watad’ yang bererti ‘pasak’. Para aulia yangmendapat martabat al-Autad hanya empat orang pada suatu masa.

d) Wali Al-Abdal

Al-Abdal adalah dari kata tunggal ‘badal’ atau pengganti. Mereka yang mempunyai martabat ini dikatakan hanya tujuh orang pada suatu masa. Setiap wali Abdal ditugaskan oleh Allah untuk menjaga satu wilayah di bumi ini kerana bumi allah ini telah dibahagi kepada tujuh wilayah (penjuru). Jika seorang wali Abdal meninggalkan wilayahnya, dia akan diganti oleh yang lain.

e) Wali An-Nuqaba’

Kata ‘An-Nuqaba’’ berasal dari perkataan ‘naqib’ yang bereti ketua suatu kaum. Oleh itu, bilangan mereka pada suatu masa hanya dua belas orang sahaja. Wali an-Nuqaba’ diberikan karamah hingga Allah membukakan kepadanya rahsia yang terpendam di dalam hati manusia. Mereka juga boleh mengetahui sejarah hidup seseorang dripada bekas jejak kakinya di tanah.

f) Wali n-Nujaba’

Kata ‘Nujaba’’ adalah dari perkataan ‘najib’ yang bererti bangsawan yang mulia. Wali An-Nujaba’ adalah antara para Aulia yang paling disukai dan dihormati oleh manusia. Wali An-Nujaba’ hanya lapan orang sahaja pada suatu masa.

g) Wali Al-Hawariyyun

Al-Hawariyyun adalah dari kata perkataan ‘hawariy’yang bererti penolong. Di kalangan para aulia terdapt hanya seorang hawariy sahaja pada suatu masa.

h) Wali Ar-Rajbiyun

Kata ‘Rajbiyun’ adalah dari perkataan ‘rajab’. Ar-Rabiyun adalah para aulia yang berfungsi dan dikenal pasti hanya dalam setiap bulan Rajab setiap tahun. Mereka muncul dari awal bulan Rejab hingga akhir bulan rejab sahaja. Pada masa lain mereka kembali kepada keadaan biasa hingga martabat mereka tidak dikenal oleh orang lain. Wali Rajibun hanya 40 orang pada suautu masa. (Mustaffa Suhaimi 1994, 67)

Dalam kitab Fatawa, Ibn Taimiyyah telah menjelaskan pendapatnya iaitu: Manakala banyak nama yang disebut oleh ahli ibadat dan orang awam seperti Ghawth di Makkah, Awtad ada empat, Qutb ada tujuh, Abdal ada 40, Nujaba’ ada 300, semuanya tiada dalam al-Quran. Tidak ada mathurah daripada Nabi SAW samada sanad sahih atau da’if muhtamal kecuali lafaz Abdal. Menurut riwayat hadith Syami munqati’ al’isnad daripada Ali k.a.w, marfu’ kepada Nabi SAW bermaksud:

“Di kalangan orang Syam (Syria) ada Abdal 40 orang lelaki. Apbila mati seorang, Allah gantikan tempatnya dengan lelaki lain.” (Dr. Abdulfatah Haron 2004, 35)

Tingkat wali menurut Al-Quran

Menurut pandangan al-Quran bahawa wali itu ada dua tingkatan, iaitu sabiqun muqarrabun dan ashabul yamin muqtashidun. Kedua-dua golongan itulah yang benar-benar dianggap wali. Selain itu, masih diragukan kewaliannya. (Abu Mazaya 2004, 50). Firman Allah bermaksud :

“Apabila terjadi kiamat tiada seorangpun dapat berdusta tentang kejadiannya. (kejadian itu) merendahkan (satu golongan)dan meninggikan (golongan yang lain), apabila bumi digoncangkan sedasyat-dasyatnya dan gunung-ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya, maka jadilah dia debu yang berterbangan dan kamu menjadi tiga golongan iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu dan orang-orang yang terdahulu beriman, mereka itu adalah orang-orang yang didekatkan kepada Allah SWT. Mereka berada di dalam syurga kenikmatan, segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu (sebelum umat Muhammad SAW) dan segolongan kecil dari orang-orang yang terkemudian (umat Muhamnmad SAW).

a) Sabiqun Muqarrabun (paling dahulu beriman dan didekatkan kepada Allah)

Mereka mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengerjakan yang wajib kemudian ditambah yang sunat-sunat. Ditinggalkannya segala sesuatu yang haram mahu pun yang makruh. Mereka mendekatkan diri kepada Allah dengan kemampuan yang dimilikinya. Kemampuan tersebut mencakupi kemampuan jiwa dan raganya, zahir dan batin.(Abu Mazaya 2004.56)

Dengan demikian, orang-orang yang didekatkan itu, di dalam pandangan mereka, hal-hal yang mubah adalah juga saranan ketaatan. Mereka mendekatkan diri kepadaNya dengan hal-hal yang mubah itu sehingga seluruh amalnya adalah ibadah kepada Allah. Mereka kelak akan minum air di syurga dengan cara mengalirkannya. (Ibn Taimiyyah 2000, 75)

b) Ashab Yamin Muqtashaidun (Golongan kanan yang pertengahan)

Golongan manusia baik-baik dan tidak berlebihan. Cara mereka lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah sesuai dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Dengan disertai rasa ikhlas, mereka menunaikan kewajipan-kewajipan yang fardhu, mengerjakan ibadah-ibadah yang diperintahkan Allah dan menunaikan yang sunat. Mereka tidak membebani dirinya secara berlebihan dalam beribadah. Tidak suka menunaikan yang sunat sampai melampaui batas. Apa yang dikerjakan dalam batas yang wajar sahaja. Mereka tidak mengekang sesuatu yang diperbolehkan oleh Allah. (Abu Mazaya 2004,56)

Golongan pertengan ini amal-amal mereka adalah sebagaimana yang mereka kerjakan untuk diri-diri mereka sendiri. Mereka kelak tidak diseksa ataupun diberi pahala. Mereka minum (air syurga) dengan cara mengalirkannya, bahkan Allah mencampurkannya dengan minuman orang-orang yang didekatkan kepadanya ssebagaimana mereka mencampur minuman di dunia. (Ibn Taimiyyah 2000,75)

Karamah Wali

Keramah ialah suatu kejadian luar biasa yang diberikan oleh Allah khusus kepada hambaNya yang bertakwa dan soleh yang dalam istilahnya diberikan nama Wali Allah. Keramah ini biasanya datang yang tidak pernah diidamkan-idamkan sebelumnya. Bahkan para wali sangat takut sekali jika terjadi karamah atau kejadian luar biasa pada dirinya.

Oleh sebab itu, biasanya para wali ini jika terjadi sesuatu karamah kepada dirinya maka mereka semakin bertambah khuatir terhadap dirinya, mereka bimbang merasa ujub atau bangga terhadap dirinya yang menyebabkan dia tergelincir hatinya. Mereka akan bertambah tawadhuk dan penuh kekhusyukan seolah-olah mereka sedang berhadapan dengan Allah Taala.

Umumnya Karamah itu terjadi sewaktu dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Sebahagian karamah itu ada yang terjadi dalam waktu yang sangat terhad di saat itu sahaja. Namun, sebahagian lagi ada yang berpanjangan yang dapat disaksikan orang sampai beberapa generasi. Tetapi, yang paling banyak terjadi ialah hanya terhad pada waktu tertentu sahaja. Kejadian itu akan menunjukkan kekuasaan Allah yang diberikan kepada hambaNya yang disukai.

Secara keseluruhannya dapatlah dibuat satu kesimpulan bahawa wali itu memang sebenarnya ada dan juga diakui oleh Islam sendiri berpandukan kepada beberapa potong ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang telah dbentangkan sebelum ini. Namun begitu, ada sesetengah ulama Islam yang berselisih pendapat berkenaan dengan kedudukan tingkat wali itu sendiri di kalangan masyarakat. Ia menjadi persoalan kerana ia didakwa oleh beberapa ulama bahawa ia datang dari fahaman Syiah.

Namun begitu, kebenaran wali itu mendapat kata sepakat dari semua ulama Islam samada dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan selainnya. Mereka juga bersepakat bahawa wali itu pula terbahagi kepada dua iaitu wali Allah dan juga wali syaitan.

Oleh demikian, kepercayaan terhadap adanya wali Allah adalah tidak melanggari syariat Islam selagi ia tidak menjadi satu kesyirikan kepada Allah Taala. Sekiranya seseorang itu terlalu mengagungkan wali-wali tersebut bahkan sampai mendakwa bahawa ia lebih baik dari para nabi dan rasul maka ia adalah satu kesesatan.